Selasa, 16 April 2013

Pilihan Raya

5 May 2013 - Pilihanraya Umum ke 13. Kalau musim lepas, aku sempat juga berceloteh mengenai pilihanraya di dalam Pojok Riang-Riang ni... ye lah, masa tu arwah Sam Ahmad pun ada lagi. Sekarang ni, makin tengok politik Malaysia, makin menyampah rasanya.

Aku, walaupun daftar sebagai pemilih di kawasan undi parlimen Padang Rengas dan N20 Lubok Merbau; tapi aku tak pernah sekali pun turun mengundi. Aku tak tahu pun apa perasaan seorang pemilih kerana aku tak ada pengalaman tu. Alasan aku - calon yang bertanding tak menarik minat aku. Padahal, aku tak berminat dengan sistem pilihanraya ni. Bagi aku, dari sibuk pasal pilihanraya, lebih baik perelokkan jalanraya.... Aku dah tak tahan dah melanggar lubang di Kuala Lumpur ni.

Tak kiralah apa parti yang menjadi kerajaan sekalipun, kalau jalanraya tak dijaga elok, tak dipelihara, kerajaan tu teruk lah. Sesebuah negara dinilai dari jalanrayanya. Jangan salah faham, bukan jalan yang bertar elok diambil kira, tetapi kelancaran kenderaan, sistem lampu isyarat, papan tanda, termasuklah pemanduan berhemah dan polis yang baik.

Isnin, 24 Disember 2012

Sabtu, 29 September 2012

Kritikan Seni Persembahan

Tak perlu fikir nak letak konsep, teori apa pun sebenarnya dalam nak buat persembahan. Buat saja. Begitu juga dalam jurus kesenian yang lain seperti catan dan filem. Tetapi, ada juga segelintir pelajar malah pengkarya yang telah menilai dan meletak hukum pada karyanya, maka hasil kerja seninya tidak siap atau nampak terbeban (dibebankan dengan hukum). Ini samalah juga halnya dalam masyarakat yang suka meletak hukum pada seseorang, lalu seseorang itu kelihatan bebal dan sangat buruk dek kerana beratnya hukuman tersebut. Perlu diingat, kerja seni adalah cerminan pengkarya.

Begitu juga dalam perihal kritikan seni persembahan, seseorang pengkritik tak sepatutnya menghukum, lebih-lebih lagi hukuman yang bersifat peribadi dan emosi, seperti "saya suka" atau "saya tak suka". Seseorang pengkritik menilai dan menghuraikan apa yang tersembunyi di sebalik kerja seni tersebut. Menggali pemikiran. Walaupun cuma menghuraikan struktur persembahan sahaja, perlu digali juga pemikirannya - kenapa begitu strukturnya?

Rujukan amat penting kepada seseorang pengkritik (juga kepada pengkarya). Seseorang pengkritik mesti berpengetahuan dalam apa jua bidang ilmu, supaya apa yang digalinya dalam kerja seni itu dapat disabitkan dengan ilmu-ilmu yang pernah dirakam. Bukan nak tunjuk pandai, tapi untuk memudahkan khalayak dalam memahami sesuatu kerja seni itu. Oleh yang demikian, pengkritik jangan sesekali menggunakan istilah sesuka hati. Meletak istilah dalam kritikan tidak mlambangkan ilmiahnya kritikan tersebut. Boleh jadi terpecah tembelang, kelihatan kebodohan pula.

Seperti yang saya tuliskan awal tadi, buat saja. Tak perlu fikir. ;-)

Jumaat, 28 September 2012

Binatang Be Nothing


"Selagi seseorang tidak menyayangi haiwan, jiwanya belum dibangkitkan."

Saksikan koreografi hebat dari Akmal Ayob, Lex Lakshman, Fairuz Tauhid, Ezdianie Omar dan Nazri Zahauddin dalam KIV3 - BINATANG or BE NOTHING. Bertempat di The Actors Studio @ Lot 10, pada 4 Oktober - 6 Oktober 2012, jam 8.30 malam. Pada 7 Oktober 2012, jam 3 petang.

Tiket berharga RM20. Promosi: beli 10 tiket, percuma 1 tiket. Tiket boleh didapati di Box Office The Kuala Lumpur Performing Arts Center atau hubungi 03 4047 9000 atau boleh dibeli secara online di ilassotickets.

Maklumat lanjut, sila lawat ke laman web TAS.

Ajak sama anak-anak, jiran tetangga, atuk opah, handai taulan dan semua orang dan pastikan jangan ketinggalan!

*Cuma jangan bawa pemburu binatang. Mungkin ada binatang yang tak sukakan mereka... ;-p

Jumaat, 3 Ogos 2012

'Paper Crane' dan 'Deus Ex Machina' Teater Malaysia



Imej pertama yang aku lihat semasa menonton teater 'Paper Crane' - belakang pentas.

Ada 1001 drama di belakang pentas sebenarnya. Drama yang ada di pentas, yang dipertontonkan itu cuma 2 hingga 3% sahaja. Selebihnya adalah drama belakang pentas. Drama yang sebenar. Tetapi, 'Paper Crane' me-muzikal-kan drama ini sebab untuk dibawa ke Pentas 1, klpac. Sebuah pendedahan sebenarnya.

Jika kita masih mempunyai persoalan kenapa, mengapa, industri teater Malaysia tidak maju-maju? Aku sarankan, tontonlah 'Paper Crane' kerana di situ ada jawapannya. Tak perlu buat tesis atau kajian atau andaian atau tunjuk kepandaian dalam memberi jawapan kepada persoalan di atas. Cukup sekadar menonton sebuah muzikal yang 'simple', dan dalam bahasa Kantonis. Pada pendapat aku, eloklah dalam bahasa Kantonis kerana jika aku faham apa yang dicakapkannya, mungkin aku akan lagi sakit hati - hehehe...

Ego dan kebodohan. Ini masalah utama yang bersarang dalam industri teater Malaysia. Inilah kisah yang dibawa. Bukanlah masalah kewangan (masalah utama juga), tetapi paling utama ialah masalah komunikasi antara generasi senior dan generasi amatur. Yang Senior berlagak macam dia maha hebat. Yang Amatur pula bodoh semberono. Semua mahu dilanggar, sehinggakan kuih pau yang dijamu kepada tuhan pun dia tibai (Tuhan pun dia tak hormat)! Senior memang patut berlagak kerana auranya. Amatur yang mahu masuk ke dalam industri kerana dua perkara - nak makan dan glamor. Bukan kerana betul-betul mencintai kesenian teater.




Apabila nama si Amatur ni sudah berjaya dan menggantikan tempat Senior, dia mula lupa diri. Lebih-lebih lagi dapat bercinta dengan anak Tokeh Panggung. Kawan baik pun dia buang. Paling sedih, Tokeh Panggung pun dia halau. Nampak tak betapa bongkaknya si Amatur ni. Inilah sikap yang dilarang Tuhan - bongkak, sombong. Tuhan tidak menyuruh kita membenci Israelite. Tetapi Tuhan menyuruh kita supaya jangan ada sikap sombong dan bongkak seperti yang dibawa oleh Israelite. Bermula dari sikap ini, ia merebak kepada tamak, dengki, khianat, cemburu, dan bermusuhan. Inilah yang dinamakan sebagai penyakit hati.

Nah, kenapa cerita ini berlaku di belakang pentas - kerana ia cerminan kepada hati kita sendiri. Belakang pentas juga semiotiknya dalaman, jiwa, batin, hati kita. Jika hati kita rosak, nescaya zahirnya diri kita tak keruan, menerima balasan Tuhan. Balasan Tuhan, kebanyakan orang mentafsirkannya dalam bentuk bencana alam, ribut taufan, tsunami, dan sebagainya. Tetapi, perbuatan manusia lain ke atas kita juga sebenarnya balasan Tuhan - 'deus ex-machina' - watak Senior yang ambil colok / mancis dari tokong, lalu membakar pentas. Tabiklah Yusman Mokhtar, kau kasi Pentas 1 terbakar!

Akhirnya, akibat dari kebodohan dan kesombongan, di penghujung usia, si Amatur tadi hidup dalam nostalgia - tak ke mana. Inilah yang berlaku dalam industri - karyawan-karyawan Malaysia ramainya bernostalgia zaman kegemilangan, kesannya - tak berkembang.

Apapun, tabik dan 'salute' kepada Joe Hasham (pengarah), Yusman Mokhtar (sinografer) dan Lex Lakshman (koreografer), serta seluruh tenaga kerja, walaupun berlainan agama, bangsa dan bahasa, tetapi mereka bersatu hati menyampaikan cinta...

'Paper Crane', mungkin juga sebuah doa dari Joe Hasham dan Faridah Merican. ;-p




Sila klik sini dan sini untuk maklumat lanjut.


*** Paper Crane (origami burung jinjang) adalah simbol kepada panjang umur, kebahagiaan, tuah dan keamanan.