Jumaat, 15 Ogos 2008

Mencari Kesucian

Bila dikatakan, seseorang itu diberi jawatan Imam di masjid, maka dia dianggap ahli syurga dan hatinya suci bersih lagi harum mengalahkan bau lemon? Semua orang (makmum) mahu bersalaman dengan Pak Imam dan Pak Imam ni pula terasa macam dia 'king of the king, king of the kong'. Hey, jangan ingat aku nak persenda Islam ya! Ini berlaku dalam masyarakat kita. Menyanjung Pak Imam kerana dia memandu kita ke syurga. Tapi, bagaimana dengan Tok Siak?

Tok Siak ialah jawatan di masjid atau surau dan kerjanya mencuci jamban, mencuci kolah tempat ambil wuduk, membancuh teh, menyediakan pinggan mangkuk, membuang taik cicak di saf, menyusun sejadah, dan apabila bulan puasa, kadang-kadang tugasnya memasak bubur kanji untuk berbuka. Ini tugas Tok Siak.

Aku bukan nak bandingkan Imam dan Tok Siak. Tapi, mari kita tengok, yang mana tugasnya kalau mengikut adat pemikiran masyarakat kita dianggap mulia. Di Malaysia ni ada 4 jenis Imam yang berjaya aku catat secara rasmi.

1. Imam UMNO
2. Imam PAS
3. Imam Masjid India
4. Imam Tabligh

Imam-imam ini memiliki pengikutnya masing-masing dan pengikut-pengikut ini tidak mempercayai malah menolak mentah-mentah Imam dari fahaman lain. Pernah terjadi ketika mensyuarat agung jawatankuasa masjid, terdapat kelima-lima puak ini dan masing-masing mempertahankan puak masing-masing. Di surau di sebuah taman perumahan, mesyuarat agungnya berakhir dengan tumbuk-menumbuk (hey, ni berlaku dalam surau tau - tempat sembahyang). Akhirnya, puak-puak ini berpecah dan membuat surau atau masjid masing-masing - tidak bermakmum lagi di bawah satu kubah, hanya kerana mengikut Imamnya.

Semalam, aku boleh layan pulak Akademi Nasyid - dari mula sampai habis. Aku tak peduli dengan persembahan nasyid dari peserta-peserta tu semua kerana bagi aku ini rancangan nak 'glamour'. Kat Malaysia ni seorang je yang 'glamour' dan orang lain tak boleh ambil takhta dia. Dia ialah DIN GLAMOUR, seorang pelakon di awal 90an dulu. Hahahaha... Hah, yang aku tumpu betul-betul pada rancangan ni ialah komen dari para juri. Apa yang juri tekankan semalam selain dari teknik menyanyi dan persembahan, juri sangat, sangat menekankan ROH dan JIWA dalam nyanyian dan persembahan. Apabila ada roh dan jiwa, barulah nyanyian itu boleh meruntun hati penonton, khalayak dan pendengar. Ini dalam nasyid. Tapi bagaimana soalnya dalam tugas Imam? Adakah tugas Imam sekadar membaca surah Fatihah dan Surah Ikhlas dan Kaafirun, serta baca doa dan wirid panjang-panjang, tetapi makmumnya sekadar ikut bodoh dan mengaminkan apa yang dia tak faham malah tak merasai langsung! Tak 'feel' kata zaman sekarang.

Bukan senang nak dapat Imam yang betul-betul boleh meruntun hati makmumnya. Sebenarnya bukan pada taranum dan lagu bacaan Imam tu yang membuatkan hati makmum tersentuh. Tapi, kefahaman dan fasihnya Imam itu tentang apa saja yang dibacanya ketika dia mengimami sembahyang serta diletakkan roh dan jiwa dalam tugasnya. Dan dilakukan dengan ikhlas hati.

Kebanyakan Imam hari ini, biasanya Imam UMNO, tugasnya tidak dibuat dengan ikhlas malah kerana berjaya mengutip satu lagi jawatan dalam kampung. Selain Imam, dia juga Pengerusi JKKK, Ketua Kampung, Bendahari UMNO, Amil Zakat dan juga Ketua Belia 4B (walaupun usianya sama dengan usia Nabi Muhammad wafat, tapi masih nak jadi belia lagi). Apabila dia dah pergi haji dan berjaya menghafal doa dan wirid termasuk tahlil dan talkin, maka dia layak untuk menjadi Imam. Imam jenis ini memang ramai. Apa yang pasti, Imam-imam ini tak kiralah dari puak mana pun, merasakan merekalah yang benar, suci dan dijamin oleh Lever Brothers masuk syurga.

Jadi, soalnya, budak-budak muda ni nak ikut Imam yang mana? Dari memeningkan kepala kami, baik tak payah ikut. Aku ada cerita tentang orang tua jemaah masjid dan budak-budak muda yang nakal. Peristiwa ni berlaku di Masjid Jamek Lubok Merbau. Pada setiap malam Jumaat, kat masjid ni mesti 'arwah' - jamuan makan yang disediakan oleh sesiapa saja yang nak buat doa selamat, tahlil ataupun meminta hajat, sebab malam Jumaat inilah ada bacaan Yaasin beramai-ramai. Biasanya, makanan yang dihantar ke masjid ialah nasi lemak ataupun roti canai. Kalau kaya sikit, nasi ayam atau beriyani atau mi rebus.

Pada malam Jumaat inilah budak-budak ni ramai ke masjid sebab ada makan 'free'. Sekali tu, budak-budak ni kena 'sound' dengan sorang orang tua ni - "Mengkome bukannye nok semayang, nak melantok pri je baik tak payah datang!" (Korang bukan nak sembahyang, nak makan 'free' je baik tak payah datang!) Sekali tu satu hari ni, ditakdirkan Allah Ta'ala, budak-budak ni sudah ternampak ini orang tua sudah sorok itu makanan dua tiga bungkus dalam raga motornya, nak tapau bawak balik lah tu. Padahal jamuan belum bermula lagi. Lainlah kalau ada lebih, boleh juga bawak balik dari dibiar membazir. Ini, belum dijamu lagi, dah sapu dulu! Apa punya perangai la ini orang tua yang tak lekang dengan jubah dan serbannya dan bau tengit harum minyak attarnya. Apa lagi, masa orang tua ni masuk sembahyang, kami (alamak, kantui aku punya kerja - hahahaha), ambil makanan yang dia tapau tu, kami makan ramai-ramai kat bawah jambatan sungai Chepias.

Budak-budak sekarang cuba-cuba juga nak ikut pemuda-pemuda yang nampak alim - muka bersih, senyum tak putus, berpelajaran tinggi, agak terbuka dalam sosialnya, tidak banyak pantang larang, tegurnya betul dan logik, tapi malangnya pemuda jenis ini amat 'rare' kepala kain sifatnya. Kalau adapun, ianya umpama perkenalan yang sangat sekejap, kerana pemuda alim jenis ini lama-lama kelamaan dia juga akan binasa kerana desakan dan tuntutan keadaan.

Dalam masa muda inilah masanya untuk meneroka alam dan ilmu serta kehidupan. Jika didapati Imam kita sudah korup dan untuk mengusirnya kita tak ada daya sebab kuasa di tangan mereka, maka, adalah lebih baik kita menolong Tok Siak cuci sisa tahi Pak Imam yang tak pandai siram tahi dia betul-betul sebab Pak Imam ni pegang pada petua tak boleh tengok tahi, nanti mata rabun. Ironinya Pak Imam ni memakai cermin mata berkanta tebal.