Jumaat, 3 Ogos 2012

'Paper Crane' dan 'Deus Ex Machina' Teater Malaysia



Imej pertama yang aku lihat semasa menonton teater 'Paper Crane' - belakang pentas.

Ada 1001 drama di belakang pentas sebenarnya. Drama yang ada di pentas, yang dipertontonkan itu cuma 2 hingga 3% sahaja. Selebihnya adalah drama belakang pentas. Drama yang sebenar. Tetapi, 'Paper Crane' me-muzikal-kan drama ini sebab untuk dibawa ke Pentas 1, klpac. Sebuah pendedahan sebenarnya.

Jika kita masih mempunyai persoalan kenapa, mengapa, industri teater Malaysia tidak maju-maju? Aku sarankan, tontonlah 'Paper Crane' kerana di situ ada jawapannya. Tak perlu buat tesis atau kajian atau andaian atau tunjuk kepandaian dalam memberi jawapan kepada persoalan di atas. Cukup sekadar menonton sebuah muzikal yang 'simple', dan dalam bahasa Kantonis. Pada pendapat aku, eloklah dalam bahasa Kantonis kerana jika aku faham apa yang dicakapkannya, mungkin aku akan lagi sakit hati - hehehe...

Ego dan kebodohan. Ini masalah utama yang bersarang dalam industri teater Malaysia. Inilah kisah yang dibawa. Bukanlah masalah kewangan (masalah utama juga), tetapi paling utama ialah masalah komunikasi antara generasi senior dan generasi amatur. Yang Senior berlagak macam dia maha hebat. Yang Amatur pula bodoh semberono. Semua mahu dilanggar, sehinggakan kuih pau yang dijamu kepada tuhan pun dia tibai (Tuhan pun dia tak hormat)! Senior memang patut berlagak kerana auranya. Amatur yang mahu masuk ke dalam industri kerana dua perkara - nak makan dan glamor. Bukan kerana betul-betul mencintai kesenian teater.




Apabila nama si Amatur ni sudah berjaya dan menggantikan tempat Senior, dia mula lupa diri. Lebih-lebih lagi dapat bercinta dengan anak Tokeh Panggung. Kawan baik pun dia buang. Paling sedih, Tokeh Panggung pun dia halau. Nampak tak betapa bongkaknya si Amatur ni. Inilah sikap yang dilarang Tuhan - bongkak, sombong. Tuhan tidak menyuruh kita membenci Israelite. Tetapi Tuhan menyuruh kita supaya jangan ada sikap sombong dan bongkak seperti yang dibawa oleh Israelite. Bermula dari sikap ini, ia merebak kepada tamak, dengki, khianat, cemburu, dan bermusuhan. Inilah yang dinamakan sebagai penyakit hati.

Nah, kenapa cerita ini berlaku di belakang pentas - kerana ia cerminan kepada hati kita sendiri. Belakang pentas juga semiotiknya dalaman, jiwa, batin, hati kita. Jika hati kita rosak, nescaya zahirnya diri kita tak keruan, menerima balasan Tuhan. Balasan Tuhan, kebanyakan orang mentafsirkannya dalam bentuk bencana alam, ribut taufan, tsunami, dan sebagainya. Tetapi, perbuatan manusia lain ke atas kita juga sebenarnya balasan Tuhan - 'deus ex-machina' - watak Senior yang ambil colok / mancis dari tokong, lalu membakar pentas. Tabiklah Yusman Mokhtar, kau kasi Pentas 1 terbakar!

Akhirnya, akibat dari kebodohan dan kesombongan, di penghujung usia, si Amatur tadi hidup dalam nostalgia - tak ke mana. Inilah yang berlaku dalam industri - karyawan-karyawan Malaysia ramainya bernostalgia zaman kegemilangan, kesannya - tak berkembang.

Apapun, tabik dan 'salute' kepada Joe Hasham (pengarah), Yusman Mokhtar (sinografer) dan Lex Lakshman (koreografer), serta seluruh tenaga kerja, walaupun berlainan agama, bangsa dan bahasa, tetapi mereka bersatu hati menyampaikan cinta...

'Paper Crane', mungkin juga sebuah doa dari Joe Hasham dan Faridah Merican. ;-p




Sila klik sini dan sini untuk maklumat lanjut.


*** Paper Crane (origami burung jinjang) adalah simbol kepada panjang umur, kebahagiaan, tuah dan keamanan.

Selasa, 24 Julai 2012

Cuba Menjawab Lenny


Bukit Panau, Tanah Merah Kelantan. Tempat bertapa Syeikh Jamaluddin Jumadil Kubro sehingga puncak bukit ini bercahaya berkilat-kilatan. Dari sinilah asal nama negeri Kelantan - Kilatan. Syeikh Jamaluddin Jumadil Kubro juga digelar sebagai Adi Putra dari kalangan jin yang menuntut ilmu darinya.

"Saya suka dengan pendapat seorang calon PhD yang membuat kajian tentang kesenian Butoh, katanya sejarah perkembangan teater di Barat dan Asia seperti dua arus bertentangan. Ketika orang Asia berusaha meninggalkan "space" untuk mencari "stage", orang Barat pula cuba meninggalkan "stage" untuk mencari "space". Dan satu soalan daripada seorang ahli akademik di sini, kenapa orang Barat mengambil masa berbelas malah berpuluh tahun untuk menguasai satu kesenian di Asia tetapi orang Asia hanya mengambil masa kurang dari 10 atau 5 tahun untuk memahami ilmu yang datang dari Barat?"
 ~ Lenny Erwan @ daribawahbayu ~ 
Pada zaman Rasulullah, 300 orang saudagar Arab dengan rela hati mengembara ke Negeri Samudera (kepulauan Nusantara) demi menyampaikan dakwah Islam. Tetapi, Rasulullah memerintahkan supaya mereka membawa sama 3 orang tukang kasut. Lalu, 3 orang tukang kasut pun dicari seperti yang diarahkan. Setelah lengkap, maka mereka pun belayar lah.

Sesampainya mereka ke Negeri Samudera, 300 orang saudagar cuba berdakwah melalui perdagangan dan menunjukkan kemewahan sebagai ganjaran jika memeluk Islam. Tetapi, usaha mereka bertemu kegagalan. Lain pula dakwah yang dibawa oleh 3 orang tukang kasut, yang berjaya mengislamkan ramai penduduk Negeri Samudera.

Penduduk Negeri Samudera - Tanah Jawa, Tanah Jawi (Tanah Melayu), Kilatan (Kelantan) dikira sebagai orang Asia. Orang Asia secara fitrahnya adalah manusia yang selalu bermain dengan alam malah mereka sangat menghormati alam - tanah, air, api, angin - inilah asas kepada orang Asia. Aspek kehidupan mereka termasuk kesenian yang dianggap sebagai upacara agama berkaitan dengan alam.

Mereka bukan saja percaya malah menyaksikan bahawa alam ini punya roh yang perlu dihormat. Unsur inilah yang dibawa oleh 3 orang tukang kasut. Persoalan hati, batin, rasa, karsa, roh, jiwa, cahaya. Dan itulah perihalnya Islam - bukan semata-mata Syari'at kerana tiap-tiap yang zahir, ada batinnya. Segala-galanya berpaksi pada Cinta (sebut : Allah).

Hehehe... boleh pakai tak jawapan aku ni, Lenny? Hahaha...

Rabu, 18 Julai 2012

Skrip teater 'Sesudah Subuh' karya Seni Bayan

'Dunia adalah penjara bagi orang yang beriman, syurga bagi mereka yang kafir.'

~Hadis~

Sam Ahmad

Kali terakhir aku hubungi dia sehari sebelum kenduri menyambut perkahwinan aku di Kuala Kangsar. Aku tak sangka, itu adalah panggilanku yang terakhir. Dan paling mengecewakan aku, berita pemergiannya aku sedari setelah lebih setahun. Teruk betul aku sehingga tak pernah ambil tahu pasal kawan. Maafkan aku, keadaan aku masih huru-hara.

Aku kenal Sam Ahmad sebagai Pikar. Nama sebenarnya Zulfikar. Dia sebaya aku. Mula kenal sejak tingkatan tiga, naik bas sekolah yang sama. Cuma dia sekolah Clifford dan aku sekolah RMM. Dia memang pendiam dan selalu senyum. Tapi, apabila bicara soal 'grunge', 'punk', 'hard-core', 'trash-metal', dan yang seangkatan dengannya, dialah yang paling fasih. Dia tak peduli langsung pada awek-awek sekolah RPK yang memenuhi bas tersebut. Senang cerita, sangat berlawanan dengan aku. Tapi, kami bersetuju atas satu tajuk - politik.

Setelah tamat tingkatan lima, masing-masing membawa haluan hidup. Takdir, kami ditemukan di Universiti Bangsar Utama (UBU). Dia datang menonton teater lakonan aku - 'Waiting For Godot'. Aku kenal dia ketika itu sebagai penuntut Undang-undang di UiTM. Sejak itu, kami selalu berhubung melalui maya. Dia ada buat satu laman web tajuk 'Arah Kiri' dan aku ada sumbangkan beberapa rencana dan sajak.

Kemudian, 'Arah Kiri' senyap untuk beberapa tahun. Dia pun lama aku tak hubungi. Tiba-tiba, sedang aku YM, dia muncul bertanyakan khabar. Kami menjalin hubungan kembali dan kali ini, dia menjemput aku untuk menyertai blog dia yang terbaru - 'Republik Kata'. Apa saja yang agak menarik pada dia di blog 'Pojok Riang-Riang' ni, akan diterbitkan juga di 'Republik Kata'.

Sampai masa, kami bertemu di Hotel Double Lion, Kuala Kangsar. Bersama Mat Saman Kati dan beberapa taulan lagi dari 'Perak Ekspres', membincangkan perihal 'Pentas Kita Karya Kita' anjuran Lantera Jiwa dan juga membincangkan perihal menubuhkan UREKA (seperti UBU, tetapi di Kuala Kangsar). Sewaktu pertemuan ini, sungguh aku tidak sangka, dia tidak lagi seperti kali terakhir aku jumpa di UBU. Dia tidak bermaya, tetapi dia gagahkan juga untuk bergerak. Kena 'stroke', katanya. Tak tahu nak cakap apa...

"Kamu jangan merokok kuat sangat... Nanti jadi ghope (seperti) aku nanti, yop... Masa aku belajo dulu, tension sikit isap rokok, tension sikit isap rokok... Penyudahnya, jadi ghope ini..."

Kami sempat mengadakan beberapa pertemuan. Maaflah, bukan aku tak mahu membantu melaksanakan UREKA, tetapi jiwa aku kacau bilau ketika itu. Aku rasa bersalah ni... Tak sangka, aku hubungi dia buat kali terakhir rupanya. Hubungi untuk menjemput dia datang ke kenduri perkahwinan aku, tetapi Allah Ta'ala menjemput dia pulang terlebih dahulu...



Al Fatihah
Ahmad Zulfikar Samsuri
1 May 1980 - 11 Mac 2011

Isnin, 9 Julai 2012

Teater 'Beng Hock'







Alhamdulillah... Segala puji-pujian hanya berhak kepada Cinta... Tidaklah layak untuk hamba... Hamba cuma melaksanakan amanah yang dititipkan...


"Sebuah teater gelap lagi menginsafkan." 
- rohaniahnoor @ twitter

"Contoh 'art imitate life' selepas persembahan, mencetus penonton berfikir atas sempadan nipis antara fiksyen dan realiti?"
- Ajami Hashim @ twitter

"Excellent - sensitive and clever direction. Very good acting."
- Jo Kukathas @ twitter

"I could feel the pressure felt by late Teoh Beng Hock when he was being interrogated."
- ben @ twitter

"Satu pendekatan yang menarik dalam mengupas isu ini. Ini magik pentas yang menarik perhatian saya!"
- Fasyali Fadzly @ twitter

"An unsettling combination : disturbing and dark, yet done with humor and sense of hope."
- Brian Yap @ twitter

UNTUK ORANG UTARA, PEMENTASAN 'BENG HOCK' AKAN BERLANGSUNG DI STUDIO 1 PENANGPAC PADA 13 & 14 JULAI 2012, JAM 3 PETANG & 8.30 MALAM. TIKET RM15.