Rabu, 11 Jun 2008

Sajak

Aku tengah dok selongkar buku-buku aku, tiba-tiba aku terjumpa sajak-sajak aku yang dah lama aku tulis. Sini, aku nak kongsi dengan saudara semua sajak aku yang tak seberapa ni tapi bagi aku sangat bermakna.

kehilangan
(buat Natalie Portman
kalau-kalau dia datang ke kampungku)

kampungku tiada salji
tiada bunga sakura
tiada daun maple luruh

hanya kubang dan bendang
dan masyarakat yang riang
setiap kali pesta tuai
pasti berjoget dendang
kau kuharap dapat menerimanya

kampungku tiada stout dan bir
melainkan tapai dan nira
tiada suit untuk kita
lempiaskan penat malam pada empuk
tilam
yang ada cuma pondok buruk
beratap nipah dan tikar mengkuang
buat alas pinggang tika sejuk
mencengkam

kalau kau rindukan neon
kau kiralah bintang
kalau kau rasa kehilangan
dakaplah aku kerana aku
juga kehilangan sepertimu.


uda dan fantasi

aku manusia yang jauh hati
dalam kelompoknya.
ketawaku bohong
senyumku lakonan
demi kebahagiaan mereka.
inginku lari
tapi kotakafir ini penuh duri
aku manusia yang mudah rasa sakitnya
aku pernah sakit dan tak mahu sakit lagi
aku mahu lari
setelah fantasiku berjaya larikan diri
terbang, terbang anganku
terbang ke bulan mengambang
jauh kau pergi dan tak mahu pulang
aku di sini gelisah
terhimpit oleh bayang kubukukuh kota
malang
tiang menara bertukar jadi pagar penjara
dudukku kesal di ceruk lorong gelap -
terperosok
sambil didendangkan
nyanyian bomba
berlagu malang

kenapa aku sering ditinggalkan
sedang anganku terbang
melayang di segenap ruang.


merdeka

merdeka jadikan aku menderhaka
jadikan aku keparat
dalam nafas-nafas korporat
aku bukan mani Jebat
apalagi mani bertuah
aku ini mani dari kuli
yang tak mengerti.


sofa

aku ibarat sebuah sofa buruk
sudah beberapa kali dibuang
namun dikutip kembali
atas rasa simpati dan nostaljik.

aku ibarat sofa buruk
di ruang bilik padu ini
mana saja diaturkan
nyata aku tidak lagi diperlukan.