Memaparkan catatan dengan label blue label. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label blue label. Papar semua catatan

Rabu, 17 Mac 2010

Kembara

Lagu 'Hati Emas' lalakan kumpulan Kembara memang bikin aku mahu mengembara. Aku mahu tengok negeri orang, tempat orang. Aku mahu tengok orang. Sambil tu, aku mahu tengok diri sendiri.

Masa aku budak-budak, bapak aku suka bawa anak-anak dia berjalan bila cuti sekolah. Tapi bapak aku tak ada kereta. Jadi, pengangkutan utama kami ialah keretapi mel ataupun bas Ekspres Nasional. Kalau kenduri kahwin abang-abang aku, barulah bapak aku sewa kereta.

Semasa aku tingkatan 3, aku mula bekerja sebagai konduktor merangkap kelindan merangkap pembantu pomen bas sekolah. Ini gara-gara aku ditangkap merokok di sekolah, maka bapak aku perintahkan aku berhenti sekolah supaya aku bekerja cari duit sendiri beli rokok. Tapi, aku bernasib baik, aku dapat ke sekolah dan bekerja pada masa yang sama.

Bas sekolah tu banyak jasanya. Aku dapat pergi ke tempat orang dengan bas ni lah. Satu semenanjung aku dah pergi. Ikut rombongan. Paling kerap aku pergi ikut rombongan masa tu ialah ke KL dan Kelantan. Sehinggakan jalan di Kelantan aku lebih hafal dari jalan di Ipoh.

Tapi, apabila ditanya, aku lebih suka mengembara dengan kenderaan apa, sudah tentu lagi yakin aku jawab - keretapi. Kenapa? Mungkin sebab masa aku budak-budak, tiap-tiap malam sebelum tidur, aku mesti dengar bunyi hon keretapi yang sayup-sayup merentap jantung. Mata aku yang mengantuk waktu tu pun mula terbeliak balik. Ketika itu juga, bapak aku akan bercerita mengenai nostalgia dia dari dia lari dari sekolah ke Singapura untuk masuk askar sehinggalah cerita pengalaman-pengalaman dia (ehem, aku tidur dengan bapak aku masa budak-budak dulu).

Sehinggalah bila aku dah pandai bikin anak ni pun, aku masih lagi jatuh cinta malah ada sedikit obses dengan keretapi. Aku suka dengar bunyi 'ketak-ketak' nya yang 'fade in' dan 'fade out'. Bunyi hon nya yang teguh. Relnya. Dan paling aku ingin tahu sekali ialah peranan 'key token' nya dan pengalih rel di stesen-stesen. Bagi aku, keretapi adalah semiotik kehidupan.

Sesetengah orang tak boleh terima perjalanan dengan keretapi kerana ianya lambat. Tapi bagi aku, itulah peluang untuk melihat tempat orang. Di setiap stesen membawa ragam budaya yang berbeza. Aku dapat alami sendiri geografinya. Tidak lagi hanya melihat rajah peta topo pada atlas.

Hari ini, aku mula berminat untuk mengembara. Bukan dengan keretapi. Tapi dengan kapal. Kenapa? Hmmm... kerana hon nya lagi teguh dan padu!

Khamis, 14 Januari 2010

Ayor dan karan

Awal minggu ni, saya mulakan kerja pemasangan paip PVC, menggantikan paip besi yang sudah berkarat di rumah keluarga saya di sini, Kuala Kangsar. Setelah mengharungi pelbagai masalah dan rintangan, akhirnya tadi siap juga. Seronok kerana dapat air yang lebih sejuk.

Saya mula terfikir (mungkin apa yang saya fikirkan ni dah lama digunapakai oleh Mohenjo-daro dan kampung-kampung berdekatan), yakni sumber air sepatutnya diusahasamakan oleh penduduk kampung secara komuniti. Tidak lagi bergantung pada sebuah perbadanan yang perlu dibayar bil setiap bulan.

Maksud saya, sebuah kampung perlu ada sumber air yang sendiri, ada empangan mini dari hulu sungai yang terpilih (empangan sebagai tangki utama). Jika kampung berdekatan tidak punya sumber air (mata air atau bukit bersungai), empangan boleh lah dibina besar dan perkongsian air tidak menjadi masalah kerana air bukanlah milik CEO atau Menteri Tenaga. Ia milik Allah Ta'ala secara total. Dari empangan ini, barulah dipasang saluran paip ke setiap kelompok penempatan.

Jika timbul persoalan siapakah yang akan mengerjakannya, jawapan yang mudah boleh lah diberi - Gerakan Belia 4B atau kawan-kawan anak ketua kampung dan anak-anak muda serta anak-anak tua seluruhnya. Gotong-royong. Sepanjang pembinaan, makanan hendaklah disediakan (macam wagam 'The Road Home' karya Zhang Yimao). Ini pada saya lebih berfaedah pada anak muda dari perebutan projek ladang jagung atau padang ragut ataupun pertandingan futsal yang dikenakan bayaran dan bergaya sakan (berkemeja putih dan bersongkok tinggi).

Bagaimana untuk mendapat modal membeli paip? Kutipan yuran mesti dikenakan pada setiap rumah dan yuran ini hanya sekali seumur hidup. Rumah yang baru dibina juga dalam sesebuah kelompok itu mesti dikenakan yuran yang sama. Duit lebih yang tersimpan mesti dijaga oleh sebuah amanah untuk tujuan pembaikan dan penambahan.

Tidak ada lagi bil bulanan.

Dari empangan itu juga boleh dipasang turbin untuk dijadikan sumber tenaga elektrik. Proses yang sama juga. Tak ada bil bulanan.

Bukankah ini dapat mewujudkan sebuah kampung yang aman-damai lagi makmur bahagia? Tidak ada lagi tekanan hidup warga kampung yang terpaksa memikirkan bil-bil bulanan!

Rabu, 23 Disember 2009

Avatar wagam tauhid

Unsur kekaguman yang dibawa oleh James Cameron ini boleh lah dilupakan. Kehebatan teknologi telah dikondemkan sendiri oleh James dalam wagam Avatar ini. Sehalus mana sekalipun teknologi yang digunakan, namun tiada tandingannya dengan ciptaan Tuhan yang maha esa lagi maha pencipta.

Jika kita mahu pelajari bagaimana kapitalis datang menjajah tanahair, boleh belajar pada wagam ini. Bagaimana kapitalis menjadi imperialis dengan menggunakan alasan sains dan pendidikan dan akhirnya tentera digunakan jika diplomasi gagal dilaksanakan. Saksilah sejarah. Cukuplah melihat sejarah negeri Melaka.

Na'vi mengajar kita jalinkan hubungan pada alam, haiwan, sesama manusia, ruh dan akhirnya hubungan pada Tuhan. Apa yang penting dalam hubungan ini ialah HORMAT dan KASIH SAYANG. Bukankah ini ajaran Islam - agama yang kalian semua anuti?

Di sini, kita dapat lihat, seruan yang suci murni bukan saja datangnya dari Islam semata yang kitabnya berbahasa Arab dan disampaikan pada majlis sambutan Ma'al Hijrah, malah ia juga diseru oleh James Cameron (boleh dapat tokoh ma'al hijrah dia tahun depan). Pangkalnya, kembali pada pencipta sekalian jagatraya dan alam semesta. Teknologi, keduniaan (tamak) pasti membawa kehancuran jiwa dan jasad.

Isnin, 28 September 2009

Perempuan di bar

Aku duduk di sebelah perempuan yang aku perhatikan dari petang tadi dia duduk di bar. Ada botol bier di hadapannya - airnya sudah hampir kehabisan. Aku tegur dia.

"Nak saya belanja bier? Atau nak minum lain - apa-apa saja. Minta pada Kid."

Perempuan tu pandang aku atas bawah.

"Saya ada duit sendiri. Tak perlu belanja."

"Hari ini awak istimewa. Saya belanja."

"Baiklah. Kalau begitu, awak mesti minum bersama saya."

Aku pun arahkan Kid si bartender, dan dua botol bier pun diletakkan di atas meja.

"Apa mimpi awak nak belanja saya? Saya jadi istimewa pulak hari ni!"

"Tak ada mimpi apa-apa. Cuma dah lama tak tengok perempuan minum bier..."

"O... Saya pun dah lama tak minum bier. Hari ni rindu pulak."

"Apabila rindukan seseorang, bier adalah penawar yang terbaik."

"Ya?"

"Ya."

Kami sama-sama ketawa.

Khamis, 3 September 2009

Panjut - merayakan ibadat


Dalam bulan Remdan, atau yang pandai bahasa Arab akan menyebutnya sebagai 'Romadhon', alam Melayu ini akan menyambut pra-perayaan pada 'malam tujuh likur' iaitu bersamaan dengan 27 Ramadhan. Pada malam ini, umat Melayu ini akan mempersiapkan kawasan rumah mereka dengan pelita atau juga disebut 'panjut'. Maka seluruh kampung itu akan terang benderanglah dengan cahaya. Ahah, tidak lagi sekarang kerana lampu-lampu lebuhraya dan kilang-kilang serta lampu dari warong tom yam lebih terang dari panjut ni.

Dipercayai, persiapan panjut ni ada berkenaan dengan kepercayaan umat Melayu malah umat Islam seluruhnya iaitu terdapat satu malam yang amat bermakna yang disebut sebagai 'Lailtul Qadar'. Malam ini tidak diketahui bila datangnya dalam tiga malam terakhir bulan Ramadhan. Dikatakan, pada malam 'Lailatul Qadar' ini, Jibril akan datang dan mengaminkan doa serta zikir mereka yang bersembahyang dan ianya tiket ekspres ke syurga - bagi saya ianya KARUT!

Kaitannya dengan panjut bagi saya ia lebih mengarut! Tujuan panjut itu adalah untuk menyambut kedatangan Jibril pada malam yang dianggap suci tu. Tidakkah mereka tahu bahawa malaikat itu dicipta dari cahaya? Kenapa mesti disambut dengan cahaya? Baiklah, saya ada kesimpulan saya sendiri.

Panjut sebenarnya ialah lambang semangat umat Melayu yang berpuasa dan juga lambang sifat azali manusia itu sendiri iaitu mahukan cahaya. Manusia sediakala takut apabila berada dalam kegelapan. Nah, pada awal bulan Ramadhan, cahaya bulan tidaklah begitu terang sehinggalah 15 haribulan - bulan purnama. Selepas sahaja 15 haribulan, cahaya bulan mula kembali gelap sehinggalah 1 haribulan. Ini sistem peredaran bulan ya.

Dari sini, bagi mereka yang seronok berpuasa dan berterawih, akan merasai sinar puasa ini pada cahaya bulan. Niat puasanya kerana Allah Ta'ala itu ternampak pada seronoknya melihat cahaya bulan. Apabila bulan mulai mengurangkan intensiti cahayanya, umat yang berpuasa ini mulai gelabah kerana tidak mahu kegelapan! Sinar purnama itu jikalau boleh mahu berterusan sehingga datangnya 1 Syawal. Lalu di sini, mereka menerangi kampung mereka dengan pelita panjut. Dan malam 'Lailatul Qadar' itu bagi saya tidak ada malam khusus untuk Jibril turun. Ianya nikmat individu yang beribadat - puasa, terawih, cuci jamban, jaga anak, cabut duri, sapu sampah, dan sebagainya.

Dan oleh kerana sudah lebih dua minggu seronok berulang-alik ke masjid setiap malam, maka mereka tidak mahu jalan ke masjid itu gelap (sebab bulan dah tak terang). Ini juga salah satu tujuan panjut - merayakan ibadat!

Lama-kelamaan, panjut bertukar menjadi pesta. Setiap rumah akan menggunakan kreatif masing-masing untuk menatarias pelita-pelita ini. Ada yang disusun menjadi gerbang, ada yang disusun menjadi KLCC dan macam-macam. Lebih menyayat hati, pesta ini ada pula pertandingannya. Hiasan yang lebih cantik akan mendapat hadiah - nah, itulah hadiah 'Lailatul Qadar'.

Disebabkan umat Melayu hari ini dalam pada masa yang sama menyokong pembangunan, maka seri panjut itu hilang kerana seperti yang saya tuliskan di perenggan awal - lampu-lampu lain lebih terang. Dan lampu-lampu itu langsung tidak membantu kesan dramatik bulan Remdan kerana ianya terang sepanjang malam - tidak seperti cahaya bulan. Dan umat Melayu ini merasakan kerugiannya kerana semangat untuk membuat panjut itu sudah tidak ada. Meriah malam pra-perayaan mereka hari ini hanya pada lampu lip-lap.

Saya terfikir, adakah ini yang dimaksudkan oleh Nik Aziz sebagai 'ISLAM PLASTIK'?

Ahad, 23 Ogos 2009

Mahathir bertopengkan...?

Gambar ihsan Berita Harian
<klik> <klik>


"Pakai topeng mulut dan hidung. Satu paket baru 16 ringgit. Satu paket ada tiga keping topeng. Beli tiga paket dapat percuma ABC spesial 'Che Det'. Mai, mai, mai adik kakak abang pakcik makcik tokcik. Mai beli topeng! Mai beli topeng! Murah! Murah! Murah!"

Banyak air sedikit minyak, minyak juga di atas

Utopia inilah yang ditakuti para kapitalis.


Ahad, 16 Ogos 2009

Seri

Dalam minggu-minggu sebelum melayu-islam ni berpuasa atau dengan lebih tepatnya - menyeksa diri dengan berlapar bukan kerana Allah Ta'ala tapi kerana berpuasa itu satu perbuatan 'cool' turun-temurun, ramai kaum kerabat yang melangsungkan perkahwinan. Ada juga yang tak sabar mengedarkan kad-kad jemputan untuk kenduri yang berlangsung pada hari raya ketiga, keempat, kelima atau ketujuhbelas sekalipun.

Ahah, aku bukannya nak kondem orang nak kahwin. Aku taklah jaki sangat sebab aku tak kahwin-kahwin. Apa yang aku nak bagitahu, kenduri kahwin hari ini sudah hilang serinya. Apabila kenduri kahwin sudah hilang seri, ini menunjukkan kelompok masyarakat itu juga sudah hilang seri!

Dey, apa da seri, seri ni... Nak seri, beli je lah kuih seri muka banyak-banyak. Tak pun, suruh je orang datang kenduri tu pakai baju ala-ala M. David Sparkle (M. Daud Kilau).

Apa yang dimaksudkan dengan 'seri' ni?

Mengikut Kamus Dewan, seri yang dimaksudkan - cahaya semarak. Adakah cahaya di sini sama dengan cahaya lampu di istana iskandariah atau cahaya al Ghazali?

Sebelum aku merapu merepek, baik kembali pada tajuk seri di kenduri kahwin. Kenapa sudah tak ada seri? Nah, di sini sukacita aku katakan bahawa keikhlasan dapat dipancarkan melalui air muka. Kenduri di zaman dahulu, setiap warga yang datang menolong, tak kira sama ada tolong kupas bawang, buat lepor, hias daun kelapa di kemah, ataupun tolong balutkan ganja untuk pengantin yang gemuruh. Setiap pertolongan adalah ikhlas dan keikhlasan ini menimbulkan suasana meriah. Hah, di situ lah serinya!

Hari ini, masyarakat kita tidak lagi mengambil peduli akan hal keihklasan ini. Apabila setiap warga sibuk mengejar duit dan kekayaan, maka majlis keramaian seperti kenduri ini sudah dihinggapi virus 'pakej'. Hari ini, kenduri sudah ada pelbagai pakej. Ada pakej untuk 'catering', pelamin dan baju pengantin, pakej ranjang pengantin dan pakej kemah. Setiap pakej ini pastinya berbayar dan setiap bayaran ini selain dibayar menggunakan benda alah duit, aura yang mengalir bersama bayaran itu ialah keluhan - "cari duit sikit punya susah, tapi habis bayar pada pakej hanya sekelip mata".

Pakej-pakej inilah yang menghilangkan seri kenduri.

Seri ini hilang bukan saja pada kenduri, tapi juga airmuka setiap manusia yang bergantung pada kesegeraan dan kekayaan. Tak percaya - lihat saja nanti bazar remdan dan hari raya!

Khamis, 16 Julai 2009

Istilah

Kalau diikutkan, tentu ramai yang tidak berpuas hati dengan budaya hidup hari ini yang serba-serbinya berkehendakkan wang, duit, pitis, fulus, sen, ringgit, ragak, dan sebagainya. Ramai yang menghembuskan nafas keluh kesah seberat 10 kilogram kerana setiap saat dan tempat, pasti tidak terlepas dari lingkungan kewangan. Parking, tandas, makan, cuci-mata, sekolah, hospital, malah bernafas juga dikenakan caj.

Aku, seorang penumpang setia bas Transnasional - yang mengangkut aku dari Kuala Kangsar ke Kuala Lumpur. Dari tambangnya berbelas-belas, hari ini dah jadi dua puluh lebih. Ada 'surcharge' konon sempena tragedi harga petrol naik melambung. Bila harga petrol dah turun, tak pula 'surcharge' ini hilang. Okei, tak apa, Transnasional gantikan dengan kerusi yang empuk lagi enak - dari 44 orang penumpang terus jadi 33 orang penumpang - kerana kerusinya besar dan selesa.

Tapi, hari ini, kerusinya ditukar kembali ke kerusi lama yang kecil dan keras dan dibahagi dua bahagian. Bahagian depan hingga ke tengah, kerusi berpasangan; bahagian tengah ke belakang, kerusi tunggal yang disusun tiga barisan, dan ada tugu di tengah-tengah bertulis 'C-Club'. Aku tak tau apa yang dimaksudkan dengan 'C' tersebut. Sama ada 'cibai', ataupun 'cipet', tak pasti. Yang penting - langsung tak selesa!

Di sini, kita boleh lihat, bagaimana mereka para korporat ni mempergunakan istilah agar kita para pengguna boleh terpengaruh malah percaya langsung. Ini samalah dengannya hal yang digunakan oleh bank dalam soal sistem kewangan islam, dengan pelbagai istilah bahasa Arab. Maka orang Melayu yang bodoh pun percaya kerana bahasa Arab ialah bahasa Kur'an dan bahasa syurga, maka segala yang berkaitan dengan istilah bahasa Arab adalah islam dan yang penting - HALAL.

Ubat gigi 'Mukmin' adalah halal kerana namanya 'mukmin' dan ia diperbuat dari ekstrak kayu sugi, dan apa yang penting, ianya sebuah produk bumiputera islam. Apa salahnya kalau terus saja gunapakai kayu sugi? Tidakkah terfikir bahawa proses ubat gigi islam halal ini juga dilakukan di makmal?

Begitu juga halnya dengan tongkat ali kacip fatimah. Bagaimana sebatang akar kayu itu boleh menghasilkan beratus-ratus tin air 'Ali Cafe'? Tidakkah ini semua hasil produk makmal? Kenapa, tidak sendiri masuk ke hutan dan kenal sendiri bagaimana rupa akar tongkat ali ni, kemudian reneh sendiri.

Pelik, hairan, ajaib, tapi itulah kenyataan.

Apabila insurans diletakkan istilah 'takaful', maka berduyunlah orang Melayu yang membelinya dan mereka juga ditakut-takutkan bahawa kos perubatan hari ini kian meningkat mahal. Tidakkah mereka tahu bahawa perubatan adalah tanggungjawab sebuah kerajaan dalam memastikan rakyatnya sentiasa sihat?

Akhirnya, mereka mengeluh sendiri, tidak punya masa berehat kerana mengejar kerja yang dibayar upah. Salahkan mak bapak yang bekerja siang dan malam sehingga anak-anak terabai dan berlaku apa yang mereka labelkan sebagai gejala sosial. Pak Ustaz berbuih mulut dan keluar anak tekak berceramah di 'Forum Perdana', tapi penonton yang mendengar tak ubah macam zombi.

Sampai bila mahu hidup macam ni? Sampai bila mahu berbudaya 'on cinta' dan hantarkan ke 34667? Sampai bila mahu menyimpan koleksi kasut Vincci? Sampai bila mahu jadi islam ala-ala Erma Fatima? Sampai bila mahu bayar pakar motivasi dan kita masih lagi dok pegang kata-kata semangat yang positif sedangkan Fadzilah Kamsah dah pegang stereng Mercedes Benz? Sampai bila kita dok ternganga dengar ceramah MLM dan jutawan segera?

Bilakah agaknya tiba masa Hadi Awang peluk Joe Kidd?


Ahad, 28 Jun 2009

Terima kasih



Seperti biasa, aku tak ada kamera (sebab aku terus dari KL naik bas ke Teluk Intan, tak sempat nak balik Kuale ambil kamera) untuk merakam peristiwa yang berlaku di "Pentas Kita... Karya Kita..." yang berlangsung di Kampung Sungai Sumun, Bagan Datoh. Apa yang boleh aku tulis, ianya berjaya dan dengan tidak disangka-sangka, album Nik dan Meor laku dan dibeli oleh pakcik-pakcik dan makcik-makcik. Nah, di sini kita boleh lihat bahawa Mawi dan Tomok, Siti Nurhaliza dan Waheeda bukanlah selama-lamanya bertakhta di hati mereka.

Aku persembahkan dua buah monolog. Gementar weh... Bila tengok kat depan, penonton semua berkain pelikat dan berkopiah (baru balik dari masjid), rasa macam nak buat ceramah PAS pulak, ahak! Kemudian, ada budak-budak main kat keliling pentas ( ye la, kat laman rumah), kamera berdesup-desap lampu 'flash' nya. Ianya sebuah suasana baru bagi aku yang selama ini berpentas di rumah kedai dan di galeri lukisan dan di dewan seminar. Kalau lama dulu, aku berpentas di panggung yang tertib dan gah. Terus aku rasa, tak sia-sia aku kutuk Rais Yatim - hahahahaha.

Cerita yang sama oleh orang lain ada di sini sini sini.

Apapun, aku nak ucapkan jutaan terima kasih istimewa kepada Pak Karamu dan keluarga yang bersusah-payah dalam segala hal, Meor Lanterajiwa, tim Bloggers Network Perak yang dikepalai oleh Mat Saman Kati, seniman-seniman yang terlibat termasuk Abdullah Jones (hahahaha, tu la kau, dok lagi kat tepi tu, lain kali dok kat depan, jadi audiens) serta warga kampung Sungai Sumun.

4 Julai ini, selain dari menyambut hari kemerdekaan Amerika Syarikat, ayuh kita ke Kajang -

"MALAM SENI RAKYAT" (klik poster di sebelah)

Rabu, 17 Jun 2009

Pentas Kita... Karya Kita...

Poster oleh LanteraJiwa


Tarikh :

26 Jun 2009 (Jumaat)

Masa :
8.30 malam

Tempat :
Laman Teratak Budi Ust. Ariffin Ngah Nasution @ Pak Karamu
Sungai Sumun, Bagan Datoh, Perak.
(selepas stesen minyak BHP Sungai Sumun)

MASUK PERCUMA, JAMUAN MAKAN DISEDIAKAN

*** Penghargaan kepada Pak Karamu atas budi tajaan tempat, pentas, cahaya, sistem bunyi dan makanan. Terima kasih.

Para Seniman:
Pyanhabib, Meor, Nik, KulupSakah, Mohammad Hariry, AirMas, Mat Saman Kati, LanteraJiwa & Bloggers Network @Perak.


Kepada sesiapa yang berminat untuk bersama-sama menyertai malam seni ini dengan mempersembahkan bakat samada mendeklamasikan puisi atau mendendangkan lagu dengan diiringi muzik akustik (secara langsung), sila hubungi unsur cinta berahi, putus cinta dan apa-apa yang berkaitan dengan nafsu Adam dan Hawa. Keaslian karya ciptaan sendiri adalah diutamakan.

Terima kasih.

Sabtu, 13 Jun 2009

Muzikal, pentas bergerak & murid


Sebuah teater muzikal ampu (Najib) 'Razak' akan dipersembahkan di Istana Budaya, tak tahu bila, mungkin bulan Ogos. Saja malas nak ambil tahu sebab langsung tak berminat. Baru-baru ni aku menonton persembahan tari di ASWARA dan di lobi Panggung Eksperimen terpamer sebahagian dari set muzikal ampu (Najib) 'Razak', iaitu dua buah kerusi dan meja kopi, pasu bunga dan apa benda lagi entah perabot yang ditaruhnya. Mungkin itu pejabat Tun Razak atau ruang tamu rumah Tun Razak. Maaf, aku tak tahu langsung.

Bila aku tak tahu langsung pasal muzikal ampu ni, tak bermakna aku langsung tak mengambil tahu pasal sejarah dan mungkin kau orang boleh tuduh aku langsung tak baca biografi Tun Razak ataupun sewaktu pertandingan melukis darjah enam dulu, aku langsung tak melukis potret Perdana Menteri kedua ni. O, bukan sampai macam tu tahapnya...

Dengarnya, muzikal ampu ni pernah dipentaskan di Panggung Eksperimen ni, dikerjakeraskan oleh ASWARA. Seperti biasa, sebuah projek ampu akan mendapat tempat yang dilabelkan oleh pengampu-pengampu ni sebagai tempat yang lebih mulia lagi bermartabat iaitu Istana Budaya. Wop, jangan ingat aku tak dapat buat kerja di Istana Budaya sebab tu aku kutuk Istana Budaya, ya!

Aku bukan apa, cukup-cukuplah buat projek membazir ni. Banyak keburukannya. Dan yang paling buruk sekali kesannya ialah - yang terlibat dalam projek ampu ni semuanya hebat-hebat belaka dan ada tanggungjawab iaitu anak murid. Di dalam kelas, mereka melarang anak murid mereka jangan buat seperti ini, tapi mereka buat! Ini lebih teruk kesnya dari 'cikgu kencing berdiri, anak murid kencing berlari'. Dan lebih dahsyat lagi apabila mereka yang hebat ni menyokong kepuraan - tu, program 'Anak Wayang Astro' tu!

Apa kata anak murid mereka bila melihat cikgunya taklah sehebat dan segah mana. Cikgu-cikgu mereka ni hanya bernostalgia zaman primadona! "Aku hebat suatu ketika dahulu dan inilah hasil yang aku buat hari ini". Hasilnya dilihat sebagai ... (tak ada perkataan kerana lebih teruk dari tahi)! Kemudian, apabila melihat hasilkerja anak murid, mereka menyalahkan anak murid kerana tidak memahami apa yang diajar. Halo, macam mana nak faham kalau kau orang bagi contoh macam ... (tak ada perkataan kerana lebih teruk dari tahi)!

Teruk kan jadi cikgu... Hehehehe. Tapi lebih teruk untuk berlaku jujur dan ikhlas.

Bila difikirkan balik, ada bagusnya juga bila wujud istilah dan label 'teater ampu' atau 'teater islam' (ni satu lagi kes - kakakakaka - islam konon, cait! Teater islam mesti pakai tudung Waheeda - hahahahaha - untung makcik-makcik yang jual tudung ni kat Masjid India). Sebagai murid yang bijak dan bersungguh dalam belajar, murid-murid ini akan melihat keburukan dan mereka akan belajar dari situ. "O, jangan buat begini - tak bagus." Paling tidak pun murid ini akan fikirkan "bagaimana untuk tidak menggunapakai pentas wagon di Istana Budaya".

Cis, sebenarnya aku nak tulis pasal teater 'Dumb Waiter' hasil tulisan Harold Pinter <klik> yang dipentaskan di Kotak Hitam, ASWARA, 7 Jun itu hari. Sebuah projek penilaian akhir. Aku datang dengan harapan yang menggunung tinggi bahawa ianya sebuah teater yang, yang 'wow'! Tapi aku juga dah bersedia untuk kecewa dan selepas menonton, aku terus kecewa. Tak mahu menilai lebih-lebih, tapi aku syorkan kepada penyelia murid-murid ni supaya memikirkan sama keselesaan penonton. Aku tahulah teater murid-murid ni bukan muzikal ampu yang tak ada permaidani merah dan bunga manggar, tapi jangan lah lepas tangan habis-habisan.

Aku taklah menganggap mereka tu semua sibuk dengan muzikal ampu sehingga lupa mereka ada anak murid, tidak.... Aku cuma mengingatkan bahawa muzikal ampu itu memanglah lumayan tapi merosakkan pemikiran dan menjadikan pentas Istana Budaya tu seperti pasar malam, adalah dosa besar. Kakakakakaka

Kepada penulis skrip muzikal ampu ni, aku cadangkan di penamatnya, akan muncul sebuah kapal selam dari bawah pentas dan jalur gemilang dikibarkan dengan meriahnya.

Apa dia? Hah! Aku salah cerita? Bukan cerita Tun Razak Hussein? Habis tu cerita siapa? Hah? Razak Baginda? Alamak...



Hahahahahahahahaha



Isnin, 25 Mei 2009

Cicak

Kalau pakcik-pakcik dan tokcik-tokcik semua kecewa dengan suasana masyarakat hari ini, pakcik-pakcik dan tokcik-tokcik semuanya wajiblah merenung kesilapan diri kerana sewaktu muda dahulu tidak menyokong total perjuangan KMM, PKM, API, dan AWAS. Pakcik-pakcik dan tokcik-tokcik seharusnya menyesal menyokong kuat Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau dengan nama Inggerisnya - UMNO.

Aku faham, pakcik-pakcik dan tokcik-tokcik semua masa tu tak boleh tak tengok betis minah Inggeris yang memerah jambu di atas rumput hijau. Lebih-lebih lagi mat-mat Inggeris ni lebih terbukti bijak dan bertamadun. Pakcik-pakcik dan tokcik-tokcik semua mana yakin mat-mat Melayu seperti Ahmad Boestamam tu tadbir negeri!

Tadi, kerajaan UMNO baru sedar dan tahu bahawa fahaman komunis masih lagi menular dan disebarkan melalui internet. Orang-orang bijak pandai UMNO ni pun bagitau bahawa fahaman komunis ni bahaya dan bimbang ia menusuk masuk ke pemikiran anak muda hari ini. Fahaman komunis sepatutnya tidak wujud di dalam negara yang mengamalkan demorasi - kata mereka.

Cet, apa punya bodoh la...

Kemudian, pakcik-pakcik dan tokcik-tokcik ni pun cerita lah keadaan dia orang waktu zaman komunis tu. Nasib baik ada askar-askar Inggeris datang tolong. Kalau tak, dia orang tak merasa naik LRT hari ini.

Cerita-cerita menakutkan orang akan bahaya komunis ni samalah dengannya cerita 'cicak musuh nabi'. Jika ternampak cicak, haruslah dibunuh kerana cicak inilah yang mengeluarkan bunyi semasa Muhammad bersembunyi di gua ketika diburu Abu Jahal dan geng. Maka, berduyunlah budak-budak mencari lastik untuk memburu cicak di masjid.

Halo, cicak yang jadi musuh tu cuma cicak yang dalam gua tu je lah! Tak pasal-pasal seluruh keturunan cicak kena lastik! Apa la... Kalau cicak tu berak atas sejadah, angkat buang je lah taik dia. Apa susah!

Tapi ini pakcik-pakcik dan tokcik-tokcik yang disekat pengetahuannya, tidak dibenarkan membaca bahan-bahan ilmiah, tidak memikir lojik, terlalu mengharap metafizik, maka mereka pun ikut saja pemimpin UMNO. Sepandai-pandai Mahathir Mohamed, ada juga bodohnya. Dia fikir dengan berkempen 'celik IT', dia boleh bikin bisnes. Tapi dia tak tahu bahawa IT telah membongkar segala rahsia!

Kalau mereka risaukan fahaman komunis ni akan tersebar ke pemikiran anak muda, aku syorkan supaya mereka tak perlu risau tetapi mereka cuma perlu mengucap. Dah terlambat dah... Fahaman komunis ni sudahpun tersebar dengan riangnya di minda anak muda dan anak muda hari ini sudah tahu sejarah sebenar pembentukan negara Malaysia malah anak muda hari ini pemikirannya lebih demokratik dan liberal berbanding pakcik-pakcik dan tokcik-tokcik yang kononnya mengamalkan demokrasi-islam.

Cet!

Cet!

Ptuih!

Janganlah pakcik-pakcik dan tokcik-tokcik ni salahkan fahaman komunis pulak bila kadar jenayah meningkat! Hahahahahaha UMNO tu cuma makhluk biasa je. Tak ada keramat apalagi mukjizat. Tak ada kesuciannya UMNO tu. Kalau semua benda UMNO ni bikin yang mulia-mulia je, aku cadangkan tukar nama kepada 'Pertubuhan Rasul Ulul Azmi'. Hahahahahahaha Faham ke tidak ni? Hahahahahahaha

Sultan ada daulat? Hahahahaha ini satu lagi. Kalah nabi Muhammad rasul junjungan pakcik-pakcik dan tokcik-tokcik ni. Sultan tak boleh dihina. Kahkahkahkahkahkah... Nabi Muhammad tu jenuh kena hina. Siap luka lagi masa berperang. Daulat ke, syirik yang sultan ni ada? Wei, pikio (berfikir) la sikit! Kata islam.



Hahahahahahahahahahahaha

Sabtu, 23 Mei 2009

Lagenda 'Jun Gila'

Nama sebenarnya Zul atau Tajul. Aku tak tahu, Tapi orang kampung panggil dia 'Jun Gila'. Dia anak kepada arwah Man Ikan. Ops, sebelum tu, si Jun ni pun dah arwah. Dia ni lelaki.

Jun bukan lah gila macam orang gila yang lain. Untuk menjadi SB, jauh sekali - Jun tak layak. Jun cuma mengidap penyakit epilepsi ataupun sawan babi. Oleh kerana dia miskin, suka berbaju kemeja dan berseluar 'bell-bottom' yang sama selang sehari, berbau hancing sepanjang masa, maka itu orang menggelarnya gila.

Jun gila.

Masa aku budak-budak dulu, aku selalu ditakutkan dengan retorik makcik jiran aku - "pergi lah main jauh-jauh, culik dek Jun gila nanti baru tau!" Dan aku yang jujur lurus ni pun takut setiap kali melihat kelibat Jun berjalan kaki di jalanraya. Badannya tinggi, sasa, tegap. Rambutnya pendek macam komando. Matanya meliar, cukup untuk menakutkan aku yang masa itu baru darjah tiga atau empat.

Kalau aku ke kedai untuk membeli 'bon bon' atau 'cintan', selalunya aku nampak dia lepak dengan pakcik-pakcik. Aku langsung tak mahu pandang dia, terus laju capai basikal dan pecut! Takut beb.

Bila aku dah tingkatan, aku cuba buang rasa takut pada dia. Kemudian, aku dah tahu dia sebenarnya sakit sawan babi. Aku tak lari lagi setiap kali berhadapan dengan dia. Aku menegur dia setiap kali berselisih di jalanraya atau di kedai sebagai tanda aku juga kenal kau, Jun.

Satu ketika, di sebuah kenduri saudara-mara di kampung, Jun datang untuk membantu. Dia tidak digalakkan membuat kerja. Tapi dia akan menjadi penghibur pakcik-pakcik yang penat menyiang, menggulai dan melantak. Aku melihat di hadapan mata aku, beberapa orang pakcik ni menyuruh Jun ni hisap rokok. Jun pun hisaplah. Kemudian, Jun disuruh hembus asap ikut telinga. Jun pun mencubanya, tapi tak berjaya. Salah seorang dari pakcik ni mencadangkan supaya Jun menutup mulut dan hidungnya, barulah asap keluar ikut telinga. Jun pun buat.

Asap keluar ikut telinga juga, ikut matanya... Merah mata dia, tercungap nafas dia.

Sewaktu aku tingkatan, aku tinggal di asrama, jadi aku tak tahu apa lagi yang berlaku kat dia. Akhirnya aku dapat berita yang dia mati lemas kat sungai ketika diserang epilepsi.

Al fatihah dan sejuta 'salute' gua pada lu sebab boleh kasi keluar asap rokok ikut telinga!

Jumaat, 22 Mei 2009

Mat saleh

Sultan Melaka hari ini


Asal-usul perkataan 'mat saleh', yang kita selalu panggil bagi lelaki dari Eropah dan Amerika Syarikat.

***

Pada zaman kesultanan melayu Melaka, para pedagang-pedagang dari seantero dunia telah singgah di pelabuhan Melaka dan menjadikan pelabuhan itu mahsyur lagi gemilang, cemerlang, terbilang, dan pailang. Pedagang-pedagang dari Eropah, yang mengambil lautan sebagai jalan alternatif untuk ke China, selain dari 'jalan sutera' yang telah turun-temurun sebelumnya menjadi jalan utama.

Jika pedagang itu datangnya dari kepulauan Inggeris, pelayarannya tentu melalui Lautan Antlatik, kemudian singgah di Tanjung Harapan, kemudian menempuh pula Lautan Hindi, singgah di Goa, memasuki Selat Melaka, ke Laut China Selatan, dan baru tiba di negeri China. Ianya sebuah pelayaran yang panjang dan lama.

Ketika singgah di pelabuhan Melaka, Dato' Syahbandar seperti biasa menjalankan tugasnya dengan benar, amanah, tabligh dan fatonah mengutip cukai dari setiap kapal-kapal dan pedagang-pedagang yang berlabuh di pelabuhan tersebut. Saat ketika Dato' Syahbandar ini sedang mengutip cukai dari kapal Inggeris ini, maka kedengaranlah pesta riuh-rendah, gegak-gempita dari atas kapal milik Inggeris ini. Maka adanya mereka itu berhibur sakan dan bermabuk sayang lah mereka di atas dek setelah penat berlayaran. Kelakuan mereka itu telah menimbulkan pertanyaan pada jemala Dato' Syahbandar dan dengan tidak keberatan, bertanyalah dia kepada kapten kapal itu.

"Hu ar dei? (who are they?)" tanya Dato' Syahbandar.

"O... They're 'mad sailor'. Don't worry about them. Now give me back my change!" jawab kapten kapal Inggeris itu sambil Dato' Syahbandar segera memulangkan baki duit cukai. Setelah itu, beredarlah kapten itu naik semula ke dek untuk turut sama berhibur.

Tinggallah Dato' Syahbandar terpinga-pinga mengingat kembali perkataan 'mad sailor' tetapi disebutnya 'mat saleh'...

Wallahua'alamfissawwab...

***

Ahad, 26 April 2009

Filem Malaysia ‘Karaoke’ dipilih untuk tayangan “Director's Fortnight” Di Cannes

Chris Chong si sutradara (yang ada 'headphone' tu) bersama para
pelakon di set karaoke.


Mislina Mustaffa


KARAOKE, hasil karya pembikin filem Malaysia Chris Chong Chan Fui akan ditayangkan di “Director’s Fortnight” Festival Filem Cannes ke-62 dari 14 hingga 24 Mei 2009. Ia merupakan filem cereka Malaysia pertama dalam 14 tahun yang akan ditayangkan di Cannes. KARAOKE juga dicalonkan untuk Camera d’Or (Kamera Emas), anugerah yang menghargai filem cereka sulung terbaik yang ditayangkan dalam mana-mana tayangan pilihan Cannes (Official Selection, Directors’ Fortnight dan International Critics’ Week).


Apabila dihubungi melalui telefon di Bangkok, di mana beliau sedang menyiapkan kerja pasca-produksi, Chris nyatanya terkejut: “Cannes sungguh tidak dijangka. Menyertai festival filem yang terbesar di dunia dan menikmati tayangan serentak dengan filem Francis Ford Coppola merupakan satu penghargaan yang hebat!”


KARAOKE ialah filem cereka Chris yang pertama. Sebelum ini, pengarah filem dan pengkarya media kelahiran Sabah ini menerima penghargaan antarabangsa untuk filem pendeknya BLOCK B (2008), dan dokumentarinya KOLAM (2007).


Diterbitkan oleh Tanjung Aru Pictures, kelolaan Chris sendiri, filem 75-minit dalam Bahasa Malaysia, KARAOKE dibikin di lokasi penggambaran di Selangor dalam jangkamasa 12 hari pada bulan Disember 2008. Akan tetapi sebelum penggambaran bermula pun, KARAOKE telah dijemput untuk menyertai Klinik Skrip Festival Filem Berlin 2007, dan dipilih untuk menyertai Forum Penajaan Filem Hong Kong-Asia(HAF) pada 2008.


KARAOKE merupakan hasil nukilan penulis teater, penyanyi dan pencipta lagu Shanon Shah, yang juga mencipta lagu dan lirik dalam filem tersebut. Ia mengetengahkan persembahan daripada barisan pelakon yang hebat, diterajui oleh Zahiril Adzim dan dibantu oleh Mislina Mustaffa, Mohammad Hariry, Amerul Affendi dan Nadiya Nissa. Paling kini, pendatang baru Zahiril Adzim dan Amerul Affendi telah mengagumi penonton Malaysia dalam pementasan teater Air Con, kebetulannya juga hasil tangan Shanon Shah. Seorang lagi bakat kelahiran Sabah yang tersohor pada peringkat antarabangsa, artis Yee I-Lann, merupakan pereka produksi KARAOKE.


Jalan cerita


Di sebuah perkampungan ladang kelapa sawit di Malaysia … Betik pulang.

Siang hari, Betik membantu dalam penggambaran video karaoke. Malam, dia membantu ibunya yang keberatan di pusat karaoke kendaliannya. Inilah tempatnya dia jatuh hati pada Anisah. Rezeki, jodoh dan keluarga. Kepulangannya terikat oleh takdir.


Akan tetapi kehidupan tidaklah sebegitu lurus. Setiap orang mahukan sesuatu. Pendalangan kecil yang didorong oleh kepentingan diri dan nafsu tetap berlaku, dan lagu-lagu tetap dinyanyikan. Tanpa goyah.

Kampungnya berubah. Pohon kelapa sawit tumbuh dalam simetri yang tidak berakhir. Lanskapnya berkarat dan nostalgia berputar.


“Directors’ Fortnight” di Festival Filem Cannes


Directors’ Fortnight Festival Filem Cannes telah lama menjadi platform di mana pendatang baru boleh menyerlah, sambil menonjolkan bakat baru dalam dunia perfileman antarabangsa. Dimulakan pada tahun 1969 oleh Persatuan Pengarah Perancis, programnya termasuklah tayangan filem dari seluruh dunia ketika Festival Filem Cannes.


Sejak kelahirannya, Directors’ Fortnight telah menyerlahkan dan mengendalikan tayangan pertama di Perancis filem-filem sulung oleh Werner Herzog, Rainer Werner Fassbinder, Nagisa Oshima, George Lucas, Martin Scorsese, Michael Haneke, Jim Jarmusch dan Spike Lee, antara yang lain.


Sebagai salah satu program yang diadakan serentak dengan Cannes, Directors’ Fortnight dibuka untuk tayangan umum. Pada tahun 2008, seramai 40,000 penonton telah menghadiri tayangan-tayangannya.

http://www.quinzaine-realisateurs.com/?LNG=us

http://www.quinzaine-realisateurs.com/download/Selection_41e_quinzaine(2009).pdf


Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://www.tanjungarupictures.com/


Untuk pertanyaan selanjutnya, hubungi Nandita Solomon di +6019 234 7317 atau nansolo@gmail.com.


Gambar oleh Danny Lim © Tanjung Aru Pictures 2008


Karaoke

http://amirmu.blogspot.com/2009/04/press-release-karaoke-goes-to-cannes.html

Jumaat, 24 April 2009

Cinta

Love must be sincere. Hate what is evil; cling to what is good. Be devoted to one another in brotherly love. Honor one another above yourselves. Never be lacking in zeal, but keep your spiritual fervor, serving the Lord. Be joyful in hope, patient in affliction, faithful in prayer. Share with God's people who are in need. Practice hospitality.

Bless those who persecute you; bless and do not curse. Rejoice with those who rejoice; mourn with those who mourn. Live in harmony with one another. Do not be proud, but be willing to associate with people of low position. Do not be conceited.

Do not repay anyone evil for evil. Be careful what to do what is right in the eyes of everybody. If it is possible, as far as it depends on you, live at peace with everyone. Do not take revenge, my friends, but leave room for God's wrath, for it is written: "It is mine to avenge; I will repay," says the Lord. On the contrary:

"If your enemy is hungry, feed him;
if he thirsty, give him something to drink.
In doing this, you will heap burning coals on his head."

Do not be overcome by evil, but overcome evil with good.

ROMANS 12:9-21