Ahad, 7 Disember 2008

SembangSumbang

Semasa aku bekerja di 'Beach Club' dulu, ada seorang 'waiter' bernama Nik, dan aku memanggilnya 'Nick di 9' (sempena kartun Nickleodeon yang dibahasa melayukan di TV9). Dia bekerja shif pagi.

Aku perhatikan, setiap pagi, Nik ni akan ke pondok merah (tok pekong) di belakang 'Beach Club' untuk menukar buah-buahan baru dan menambah minyak sembahyang yang berwarna merah. Aku tak pasti sama ada ini adalah salah satu skop kerja dia, ataupun dia beragama buddha ataupun dia merasakan sebagai seorang 'waiter' atau pelayan, mesti melayan tuhan terlebih dahulu sebelum melayan manusia.

* * *

Di mana-mana sahaja aku perhatikan trend anak-anak muda hari ini ke hulu dan ke hilir dengan kamera digital SLR. Wow, banyak duit dia orang ni.

Baguslah... Sekurang-kurangnya mereka menghargai fotografi.

Tapi, benarkah mereka meneroka fotografi dan merakam peristiwa-peristiwa yang sangat bermakna atau sekadar gajet ('gadget') yang ditayang kepada kawan-kawan, siapa lebih gempak, sepertimana menayang henfon dan leptop?

Digital SLR bagi aku, bukanlah fotografi kerana fotografi ialah merakam imej secara terus ke seluloid dengan bantuan cahaya. Bukanlah rakaman ke mikrocip, dan menamakannya digital fotografi.

* * *
Semalam, aku menemani Mislina untuk mencuba rambut palsu (untuk watak dalam filem 'indie' baru dia - "karaoke", arahan Chris Chong). Kami ke kedai rambut palsu di Jalan Kenanga, berhampiran flat Sri Sarawak. Perghh, kejutan budaya aku kerana banyaknya rambut palsu dan segala macam bulu.
Pelanggan yang datang ke situ juga ada bermacam-macam. Dari amoi yang putih cantik, hinggalah ke nenek tua yang berambut perang. Dan yang paling mengejutkan, dua orang lelaki sasa, seorang tu bermisai dan berjanggut - juga mencuba rambut palsu sedangkan mereka masih berambut.
Hmmm...
* * *
Esok, hari raya eidiladha. Hari raya korban.
Aku, orang Perak, dan perayaan ini bukanlah satu perayaan seperti yang disambut di Kelantan dan Terengganu. Mereka di sana menyambutnya dengan meriah.
Aku pun tak balik kampung pada cuti umum ni, sebab aku baru balik minggu lepas dan tambang bas sekarang mahal nak mampus - tak mampu aku. Jadi, aku berayalah di Kuala Lumpur, seperti sebelum-sebelum ni...
Dan aku terpaksalah makan di mamak selama seminggu kerana warung tomyam semua tutup!
* * *
Mengenai hari raya korban.
Dalam kur an, umat islam difahamkan bahawa nabi ismail lah yang disembelih oleh ibrahim untuk menguji ketaatan ibrahim kepada Allah Ta'ala. Lalu Allah menggantikannya dengan seekor kibas yang sihat.
Dalam genesis, umat judaisme dan umat kristian difahamkan bahawa nabi isaac lah (ishak) yang disembelih oleh abraham (ibrahim) untuk menguji ketaatan ibrahim kepada Jehovah. Lalu Jehovah menggantikannya dengan seekor biri-biri yang sihat.
Mereka berdua, ismail dan ishak ialah adik-beradik lain mak. Ismail anak Hajar, manakala Ishak anak Sarah. Ismail di Mekah, manakala Ishak di Palestin (di masjid batu yang kubahnya berwarna emas - dan kita difahamkan bahawa itulah masjid al-aqsa, padahal masjid al-aqsa di tebing kota, kubahnya berwarna perak yang kusam, dan bersebelahan dengan gereja kristian, dan di bawahnya ialah tembok ratapan yahudi!).
Keturunan ismail membentuk bangsa arab yang akhirnya muncul nabi terakhir - muhammad. Keturunan ishak pula membentuk bangsa yahudi dan dipanggil bani israel kerana bermula dengan nabi yaakob (jacob) atau dengan nama lainnya israel, iaitu anak kepada ishak. Yaakob mempunyai 12 orang anak lalu menjadi 12 puak dalam bangsa yahudi, dan keturunan inilah yang banyak melahirkan nabi-nabi hebat seperti yusuf, musa, haron, daud, sulaiman, zakaria, yahya dan isa.
Jadi, kita tak boleh lah mengatakan bahawa mereka yang beragama kristian dan judaisme itu telah menyeleweng dari islam. Ishak dan ismail, kedua-duanya disembelih. Islam cuma pelengkap kepada kitab-kitab sebelumnya. Jehovah itu cuma bahasa hebrew yang membawa maksud Allah Ta'ala iaitu tuhan yang satu juga.