Selasa, 22 Mei 2012

Cinta seni


Aku seorang pelukis, seorang pembuat gambar;
Setiap saat aku melukis satu bentuk yang cantik,
dan kemudian di hadapanmu,
aku leburkan semua.
Aku menyeru seratus bayang-bayang
dan berkati jiwa mereka;
Apabila aku melihat engkau wujud,
aku lemparkannya ke dalam api.
Engkaukah minuman yang memabukkan
atau musuhnya yang tenang,
atau adakah engkau yang menghancurkan
tiap-tiap rumah yang aku bina?
Kepadamu jiwa itu dilarutkan, bercampur-aduk;
Ingatlah! Aku akan menghargai jiwa,
kerana jiwa adalah wangianmu.
Setiap titisan darah yang mengalir aku berkata kepada debu:
"Aku adalah satu warna dengan kasih sayangmu,
aku berkongsi kasih sayangmu."
Dalam rumah yang dibina dari air dan tanah,
hati ini sepi tanpamu;
Wahai cinta,
masuklah ke rumahku, atau aku yang pergi.

~DIVANI SHAMSI TABRIZ : 34~

Isnin, 21 Mei 2012

Nak buat apa?

Banyak cakap - terutama tentang mempertahankan 'SIAPA YANG BETUL', adalah alasan semata-mata. Alasan - samalah tamsilnya seperti kain 'sprah' - untuk melapik meja yang buruk, dengan tujuan menunjuk kecantikan.

Aku dah malas nak ambil pusing pasal teori-mori, bahkan aku langsung hilang minat untuk itu. Tak tahu ke mana hilangnya. Sama lah mulut longkang aku yang dahulu semerbak melekat pada telinga kawan-kawan sehingga putus kawan, tetapi hari ini tak tahu ke mana perginya.. Mungkin longkang sudah dikambus dan menjadi kebun fertigasi (harapnya lah...).

Kesenian bukan bergerak atas teori. Kesenian bergerak atas KEGHAIRAHAN - suatu perkara yang bukan untuk diwacanakan. Ghairah ada pada setiap insan. Untuk orang miskin dan tak pandai bahasa Inggeris, apalah yang dia tahu pasal teori. Tapi kerja seninya cukup menyentuh sanubari... Dia tak pernah memikirkan kenapa dia menggambarkan keadaan begitu. Tapi dia merasakan bahawa keadaan begitu patut digambarkan sedemikian. Fikir dan rasa adalah dua tempat yang berbeza sama sekali... Fikir berkehendakkan rujukan, manakala rasa pula perlu merujuk kepada yang berkehendak... Apabila sudah kembali kepada asal, apalah maknanya Bertolt Brecht, Samuel Backett, Jean Paul Sarte, Shakespear, Plato, Aristotle, dan seangkatannya? Begitu juga Jalaluddin Rumi, apalah maknanya? Apa lagi yang perlu diperkatakan dan diperdebatkan?

Tak perlu menerawang meneroka angkasa lepas jika bumi yang dipijak masih lagi merasa jijik. Cukup sekadar kenal yang mana baik, yang mana tidak dan dari mana puncanya baik dan buruk, kenal CINTA, KASIH dan SAYANG... Akhirnya, lihat ke dalam diri sendiri - "SIAPA AKU?