Rabu, 23 Disember 2009

Avatar wagam tauhid

Unsur kekaguman yang dibawa oleh James Cameron ini boleh lah dilupakan. Kehebatan teknologi telah dikondemkan sendiri oleh James dalam wagam Avatar ini. Sehalus mana sekalipun teknologi yang digunakan, namun tiada tandingannya dengan ciptaan Tuhan yang maha esa lagi maha pencipta.

Jika kita mahu pelajari bagaimana kapitalis datang menjajah tanahair, boleh belajar pada wagam ini. Bagaimana kapitalis menjadi imperialis dengan menggunakan alasan sains dan pendidikan dan akhirnya tentera digunakan jika diplomasi gagal dilaksanakan. Saksilah sejarah. Cukuplah melihat sejarah negeri Melaka.

Na'vi mengajar kita jalinkan hubungan pada alam, haiwan, sesama manusia, ruh dan akhirnya hubungan pada Tuhan. Apa yang penting dalam hubungan ini ialah HORMAT dan KASIH SAYANG. Bukankah ini ajaran Islam - agama yang kalian semua anuti?

Di sini, kita dapat lihat, seruan yang suci murni bukan saja datangnya dari Islam semata yang kitabnya berbahasa Arab dan disampaikan pada majlis sambutan Ma'al Hijrah, malah ia juga diseru oleh James Cameron (boleh dapat tokoh ma'al hijrah dia tahun depan). Pangkalnya, kembali pada pencipta sekalian jagatraya dan alam semesta. Teknologi, keduniaan (tamak) pasti membawa kehancuran jiwa dan jasad.

Jumaat, 18 Disember 2009

Le Penseur 2 : S.E.N.I.

Aku mengaku, untuk menulis mengenai seni, apalagi untuk mengajar seni, adalah bukan keberanianku. Takutnya sama seperti untuk bercakap benar. Kepada sahabat yang mengajar seni, aku memang tabik spring 80 kali!

Semakin lama aku mendekati pelajaran seni, semakin aku rasa takut. Seni bukanlah terhad kepada silibus yang diajarkan di Fakulti Seni UiTM dan di ASWARA iaitu Sejarah Seni, Catan, Arca, Tari, Muzik, Drama, Filem dan cabang ilmu seni yang lain. Akan tetapi, bahan-bahan yang dicetak untuk majalah gosip, langsung tidak boleh dipanggil seni. Perhatian ya!

Di Akademi Seni Kebangsaan, aku belajar mengenai simbol, tanda, petanda, indeksikal, lambang dan perlambangan. Aku yakin bahawa hidup ini penuh dengan petunjuk yang menunjukkan kewujudan Tuhan yang esa. Tuhan yang esa tidak dapat dizahirkan dan tidak pula dapat digambarkan kerana itulah bukti kekuasaannya. Kita manusia ini langsung tidak mampu untuk membayangkan Tuhan yang esa - total tidak mampu! Tuhan yang esa tidak sama langsung dengan makhluk-makhluk yang ada di jagatraya dan alam semesta.

Nah, oleh yang demikian, aku belajar mencari pengertian SENI yang sebenar iaitu kewujudan yang paling seni - MAHA SENI - Tuhan yang esa.