Tak perlu fikir nak letak konsep, teori apa pun sebenarnya dalam nak buat persembahan. Buat saja. Begitu juga dalam jurus kesenian yang lain seperti catan dan filem. Tetapi, ada juga segelintir pelajar malah pengkarya yang telah menilai dan meletak hukum pada karyanya, maka hasil kerja seninya tidak siap atau nampak terbeban (dibebankan dengan hukum). Ini samalah juga halnya dalam masyarakat yang suka meletak hukum pada seseorang, lalu seseorang itu kelihatan bebal dan sangat buruk dek kerana beratnya hukuman tersebut. Perlu diingat, kerja seni adalah cerminan pengkarya.
Begitu juga dalam perihal kritikan seni persembahan, seseorang pengkritik tak sepatutnya menghukum, lebih-lebih lagi hukuman yang bersifat peribadi dan emosi, seperti "saya suka" atau "saya tak suka". Seseorang pengkritik menilai dan menghuraikan apa yang tersembunyi di sebalik kerja seni tersebut. Menggali pemikiran. Walaupun cuma menghuraikan struktur persembahan sahaja, perlu digali juga pemikirannya - kenapa begitu strukturnya?
Rujukan amat penting kepada seseorang pengkritik (juga kepada pengkarya). Seseorang pengkritik mesti berpengetahuan dalam apa jua bidang ilmu, supaya apa yang digalinya dalam kerja seni itu dapat disabitkan dengan ilmu-ilmu yang pernah dirakam. Bukan nak tunjuk pandai, tapi untuk memudahkan khalayak dalam memahami sesuatu kerja seni itu. Oleh yang demikian, pengkritik jangan sesekali menggunakan istilah sesuka hati. Meletak istilah dalam kritikan tidak mlambangkan ilmiahnya kritikan tersebut. Boleh jadi terpecah tembelang, kelihatan kebodohan pula.
Seperti yang saya tuliskan awal tadi, buat saja. Tak perlu fikir. ;-)