Ini adalah beberapa petikan dari buku 'Social Contract'.
Jika kita soal apakah matlamat sebenar sesuatu sistem perundangan supaya ia dapat memberi kebaikan kepada orang ramai, kita dapati ia tertumpu pada dua perkara: "kebebasan" dan "persamaan". "Kebebasan" dari sebarang ikatan bermakna kuasa itu diambil dari kerajaan, sementara "persamaan" dalam konteks ini sangat penting kerana "kebebasan" tidak boleh wujud tanpanya.
Saya telah memberi definisi kebebasan awam. Berhubungan dengan persamaan, kita perlu fahamkan bahawa darjah kuasa dan kekayaan yang dimiliki tidak sama bagi semua orang, sebaliknya kuasa yang ada itu jangan disalahgunakan hingga mengakibatkan berlakunya kezaliman, dan kuasa yang digunakan mestilah mengikut pangkat dan undang-undang; berhubung dengan kekayaan pula, jangan ada rakyat yang terlalu kaya sehingga boleh membeli orang lain dan jangan ada yang terlalu miskin sehingga terpaksa menjual diri. Ini bermakna, orang-orang besar perlu bersifat sederhana kaya dan sederhana dalam kedudukan, sementara rakyat pula mestilah sederhana dalam kemahuan dan mencari harta.
Persamaan sedemikian rupa ialah satu ideal yang tidak praktik, yang tidak boleh wujud. Tapi kalau penyelewengannya tidak dapat dielakkan, adakah ini bermakna sekurang-kurangnya kita tidak patut mencuba membuat undang-undang yang berhubung dengannya. Memandangkan bahawa tekanan keadaan yang selalu membawa kehancuran terhadap persamaan, maka kuasa perundangan sepatutnya cuba mengekalkan persamaan ini.
Walau bagaimanapun, matlamat umum sistem perundangan yang baik ini perlu diubahsuaikan pada tiap-tiap negeri mengikut keadaan tempatan dan tingkahlaku penduduknya; dan keadaan ini mestilah menentukan sistem institusi yang paling baik bagi negeri yang berkenaan.
Apa yang menjadikan perlembagaan sesebuah negeri itu kuat dan kekal ialah sifatnya yang mematuhi apa yang sewajarnya, supaya hubungan semula jadi akan bertepatan dengan undang-undang pada tiap-tiap perkara, sementara undang-undang hanya menjamin, mengikuti dan membetulkannya. Tetapi kalau pembuat undang-undang tersilap tujuan dan menerima dan menerima dasar yang bertentangan dengan keadaan; kalau dasarnya menyebabkan perhambaan, sedangkan keadaan mahukan kebebasan; atau kalau ia menyebabkan kekayaan, sedangkan keadaan mahukan penyebaran; atau kalau ia menyebabkan perdamaian sedangkan keadaan mahukan penaklukan, undang-undang itu akan hilang pengaruhnya, perlembagaan akan berubah dan negeri tidak bebas dari kekacauan sehingga undang-undang itu dimansuhkan atau diubah, sementara keadaan alam terserah kepada suratan azali.
Sekiranya penggubal undang-undang atau rakyat seluruhnya mengenepikan dasar umum dan menumpukan perhatian kepada perkara tertentu sahaja, ini bererti mereka melakukan satu amalan yang tidak baik. Malah tidak ada yang lebih bahaya daripada pengaruh kepentingan persendirian dalam hal ehwal awam, sementara kerajaan yang bertindak menyeleweng dari undang-undang tidaklah mendatangkan kesan yang begitu buruk jika dibandingkan dengan rasuah yang dilakukan oleh penggubal undang-undang untuk kepentingan persendirian. Dalam perkara ini, kerajaan perlu diubah dari asalnya tetapi untuk memperbaikinya ianya mustahil dapat dilakukan. Mereka yang tidak menyalahgunakan kuasa kerajaan tidak akan menyalahgunakan kemerdekaan; mereka yang memerintah dengan baik tidak perlu diperintahkan supaya berbuat demikian.
Tidaklah memadai sekiranya perhimpunan rakyat menetapkan perlembagaan negeri itu sekali sahaja iaitu dengan meluluskan beberapa undang-undang; tidaklah mencukupi sekiranya perhimpunan tersebut mendirikan sebuah kerajaan yang kekal atau menggubal undang-undang sekali sahaja untuk melantik hakim. Selain daripada perhimpunan luarbiasa yang diperlukan dalam keadaan yang tidak disangka-sangka, perhimpunan berkala yang tetap yang tidak boleh dimansuhkan atau dibatalkan mestilah ada, supaya pada hari yang ditetapkan menurut undang-undang rakyat dengan sah dipanggil tanpa perlu dijemput secara rasmi.
Jean-Jacques Rousseau (1712-1778), dia ni ahli falsafah politik moden yang ulung. Dia ni diibaratkan sebagai garis pemisah antara falsafah politik lama dengan yang moden. Buku 'Social Contract' dia ni, dah jadi satu penggerak kepada Revolusi Perancis. Jika dilihat balik, apa yang diunsurkan oleh Rousseau ni samalah dengannya sistem demokrasi zaman Aristotle dan juga dalam Manifesto Komunis. Begitu juga, sebelum Rousseau ni dapat wahyu, Moses, Jesus dan Muhammad juga mendapat wahyu yang sama.
Warga, apabila membaca petikan 'Social Contract' tu, dan bandingkan dengan situasi kita sekarang di sini, Malaysia kita, adakah kerajaan kita dan sistem feudal yang ada di sini masih berguna atau tidak?
Jika warga merasakan ianya sudah tidak berguna, AYUH, apa tunggu lagi, ayuh kita jeritkan hasrat tak puas hati kita!!! Kita rakyat, kita yang bekerja dengan bayaran sejam RM5, sehari RM40, sebulan RM840 dan kita rakyat yang dibebankan dengan pelbagai kerenah keperluan hidup seperti beras dan minyak serta sekolah dan hospital dan jumlah semua keperluan ini melebihi dari gaji! Kita rakyat yang sering dijamukan dengan iklan-iklan KFC dan McDonalds serta iklan pelangsing badan! Kita rakyat yang dimomokkan dengan RINGGIT itu penting ketika ini kerana segalanya hari ini sudah menjadi dunia plastik dan polystrene, maka kita sering saja menjadi mangsa bank yang menawarkan pinjaman ekspress dan syarikat kredit menghalalkan hutang-piutang untuk segala jenis barangan yang tidak perlu! Kita juga dikhutbahkan dengan 'Multi-level marketing' supaya kita menjadi kaya-raya dan akhirnya kita yang jauh ketinggalan berputih mata!! Dan kita rakyat yang diharamkan untuk hidup secara haram! Dan untuk SENIMAN dan BUDAYAWAN, kita kena desak untuk mengubah semula DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN!