Khamis, 15 Januari 2009

Sharifah Sahaja

Kak Puri,

Nama saya - Sharifah. Sharifah sahaja. Sharifah Binti Majid. Ramai yang bertanya kenapa nama bapa saya bukan 'Syed'?

Saya dilahirkan pada subuh Jumaat, dan menurut kepercayaan masyarakat saya, sesiapa yang lahir pada hari Jumaat, mesti letak nama Syed atau Sharifah.

Ianya kelakar kan? Tapi itulah realiti yang saya hadapi.

Sehingga ke hari ini saya masih bertanya, kenapa kelahiran pada hari Jumaat dianggap sebagai suatu yang suci lalu diletakkan nama dari keturunan Saiyidina Ali - Syed dan Sharifah. Kenapa mesti pergi jauh ke kota Karbala sedangkan saya lahir di Manong.

Masyarakat saya dan Saiyidina Ali tak dapat dipisahkan. Lihatlah pokok-pokok herba yang diberi nama tongkat ali dan kacip fatimah (isteri Saiyidina Ali dan anak Muhammad). Saya keliru sama ada masyarakat saya ini pengikut syiah atau sunni?

Namun, saya cuma manusia biasa, yang mengikut untuk menjaga nama baik bangsa dan agama.

Seperti kebiasaan gadis lain, saya juga punya impian. Impian saya ialah berkahwin dengan lelaki yang bernama Syed. Saya tak peduli, saya mesti gapai impian saya kerana hanya cara ini sahaja saya dapat meneruskan kesinambungan nama saya.

Tetapi, lelaki yang saya cintai itu bukanlah dari keturunan Syed. Namanya Mahmud. Cinta tak mengizinkan impian saya. Walaupun sedikit kecewa kerana impian saya tidak tercapai, tapi saya bahagia kerana Mahmud seorang yang baik.

Mahmud tahu impian saya adalah untuk berkahwin dengan keturunan Syed malah Mahmud sudah membuat pelbagai cara untuk saya gapai impian saya. Dia sanggup kenalkan saya dengan kawannya yang bernama Syed tetapi saya menolak. Mahmud juga menyuruh saya memanggil dirinya Syed sebagai ganti nama 'abang'. Juga saya tak sanggup kerana itu bukan dia. Dia adalah Mahmud Bin Berahim, anak tokeh balak!

Biarlah saya tidak mencapai impian saya, tapi saya bahagia. Akhirnya kami pun diijabkabulkan.

Setelah lima tahun berumahtangga, Mahmud ditangkap dan dimasukkan ke penjara kerana menanam ganja di dusun ayahnya. Bapa mertua saya pula meninggal dunia lalu syarikat balaknya juga muflis. Kini, saya punyai tiga orang anak. Keluarga saya pula menyalahkan saya kerana salah pilih bakal suami, sedangkan masa pernikahan kami, bapa sayalah yang beriya benar hendak menikahkan Mahmud.

Untuk menyara hidup, saya menjual kundas. Dan dalam pada itu, saya juga berkenalan dengan seorang jejaka yang sangat menjaga kebajikan saya dan nama jejaka itu ialah Syed Hamid. Dia seorang duda tapi tidak punya anak.

Kak Puri,

Hati saya kini sudah berbelah bahagi. Saya masih lagi isteri kepada Mahmud dan masih sayangkan dia. Tapi dalam pada masa yang sama, saya mula mencintai Syed Hamid yang merupakan impian saya.

Yang kebingungan,

Sharifah.