“PERLEMBAGAAN amat diperlukan untuk menjayakan institusi negara dan mencorakkan tingkahlaku pemerintahan dan rakyat negara berkenaan. Umumnya, perlembagaan dianggap sebagai satu alat penting yang dapat mengelakkan berlakunya konflik dalam sesebuah masyarakat. Apa yang nyata, manusia menghadapi banyak masalah dan mereka sentiasa mencari jalan untuk menyelesaikannya dan perlembagaan diharapkan untuk memberi keadilan kepada semua dan tidak meragukan mana-mana pihak sekalipun.
Namun, persoalannya sekarang ialah adakah syarat-syarat perlembagaan mudah difahami oleh rakyat atau ia terlalu teknikal dan abstrak sehingga ia dikatakan agak mengelirukan? Ia dirasakan sedemikian kerana kini telah wujud perubahan sosial dan sikap manusia juga berbeza jika dibandingkan pada abad ke-16 atau abad ke-18. Manusia kini telah menyedari dan percaya kepada apa yang dikatakan oleh sebuah kerajaan yang berdasarkan undang-undang dan bukannya kata-kata orang yang memegang tampuk pemerintahan. Kini, perlembagaan diterima sebagai satu formula hakiki yang mencorakkan kuasa di sesebuah negara yang harus diterima dan dipraktikkan selaras dengan perkembangan ilmiah manusia itu sendiri. Di sinilah peranan perlembagaan dapat ditekankan dalam menguatkan kehendak-kehendak manusia yang sentiasa inginkan keselesaan penghidupan dan mengharapkan agar penguatkuasaan perlembagaan dan undang-undang akan menjaminkannya.
Namun, ruang lingkup perlembagaan perlu diperluaskan dalam banyak perkara dan aspek. Misalnya, yang berhubung dengannya sumber kuasa dan kedaulatan, ciri-ciri hak asasi, jenis kebebasan yang dibenarkan dan persoalan siapa yang menjamin dan mengekalkan syarat-syarat perlembagaan supaya ia tidak dimansuhkan oleh golongan yang ada kepentingan tertentu.”
dipetik dari K. Ramanathan, ‘Asas Sains Politik’, Penerbitan Fajar Bakti, Kuala Lumpur, Edisi ketiga 2003, hal. 240.