Selasa, 31 Mac 2009

Kritik kretek kritikal!

Pada bulan penghabisan tahun lepas, aku berborak dengan Adman Salleh di Bau-Bau Cafe (yang dah arwah - so sad) mengenai 'melukis'. Adman memberitahu bahawa dia sudah banyak tahun tidak memegang catan. Padahal, orang tua ni belajar seni halus sebelum dia blah ke London belajar filim.

Dalam dok kami bersembang, muncul lah susuk tubuh yang masa aku di tingkatan, aku tengok dia dalam TV - Yusof Gajah. Dia pun duduk lepak bersama kami. Adman bertemu dengan manusia yang tepat ketika itu untuk meluahkan rasa rindunya untuk kembali melukis. Aku, cuma budak-budak di situ, dok dengar je lah apa yang dua orang tua ni bersembang sambil menikmati teh o serai dan nasi lemak ayam.

Tiba-tiba Yusof bercerita senario seni di Indonesia (negara yang lebih mengkagumi gajahnya) amat jauh berbeza dari senario seni di sini. Hoh, dalam hati aku, perkara ni memang dah nyata lama dah... Dan aku simpulkan seni kita di sini masih boleh lagi bersarapan di La Cucur, makan tengahari di Ibramsha, minum petang di Cheng Ho dan makan malam di Mali's. Di Indonesia, mungkin seharian tu cuma dapat makan bakso je.

Tapi Yusof memberi pendapat yang sedikit ilmiah. Menurutnya, seni kita kekurangan 'pengkritik'. Kita tidak ada pengkritik. Kita cuma ada 'art historian' dan 'pengulas seni'. Menurut Yusof, peranan pengkritik lah yang membina tahap baru dalam sesuatu bidang. Di Indonesia, seseorang artis (pelukis ya, bukan artis majalah URTV), dengan membeli prakata seorang pengkritik terhebat untuk karya mereka yang terbaharu, ini menjadi satu strategi pemasaran penjualan karya mereka. Ye lah, kitaran kat sana hidup subur. Masing-masing 'menyapot' masing-masing.

Aku menulis ni sebab aku baru saja menonton dokumentari 'Einstein' - bagaimana teori relativiti Einstein ni pada mulanya dianggap 'wow', kemudian apabila kajian praktikal dibuat, Einstein disifatkan sebagai salah dan dia dikritik hebat. Tetapi, kajian itu dibuat sekali lagi dan disertai oleh ramai saintis, akhirnya teori ini diangkat sebagai satu revolusi 'triple' wow!

Di dalam doku ni, ada terselit ucapan Einstein yang mengatakan bahawa "dengan kebebasan lah maka dunia melahirkan tokoh-tokoh seperti Shakespear, Isaac Newton..." (sebenarnya ramai lagi dia sebut, tapi aku tak ingat).

Mungkinkah pengkritik kita di sini dah ditegur Sang Kelembai atau seniman kita semuanya berhati dan berjiwa kuih bahulu - sekali celup dalam kopi, terus lembik - maka di sini pengkritik lebih baik buang masa mereka dengan membaca surat khabar Utusan Melayu, belajar jawi semula, sambil hisap kretek! (di rumah Pena)



Hahahahahahahahaha