Aku bekerja dengan polystrene atau styrofoam secara seriusnya sudah 4 tahun. Di Trend Matrix, syarikat pengendali kelab malam-kelab malam di Jalan Parry (Jalan P. Ramlee), syarikat milik Ronny Chong ini, aku sebagai Set Artist, boleh dikatakan tak ada barang lain yang mesti dihadap selain styro ni. Walaupun pada milenium ni orang dah tak pakai 'backdrop' yang tempek huruf styro (sekarang ni senang kalau 'print' je), tapi bini si Ronny Chong ni iaitu Judy Chong, masih lagi menghargai styro dan kalau diikutkan hatinya, tanglung pun disuruhnya bikin dari styro! Sehingga ke hari ini, aku masih lagi mengukir styrofoam yang sudah menjadi darah daging. Kalau tak buat, rasa lain macam.
Mengukir blok styro menjadi apa saja objek seperti binatang, kereta F1, statue of liberty, arch de triumphe, santa claus, tok pek kong, dan segala benda lain, memang kepakaran kami (aku menggelar pekerjaan ini sebagai pekerjaan bapak Nabi Ibrahim - pembuat berhala), pasukan Set Artist di situ, cuma 4 orang - aku, Baha, Jiji, dan Wan. Tapi kami ada 'part-timer' yang silih berganti iaitu Doha, Salleh, Panjang dan Ajoi. Zaimy, pakar dari Mid Valley, akan dipanggil untuk projek tertentu. Ketua kami - Baha, memang aku tabik lah dia ni. Walaupun kena 'lancau', malah kena tumbuk dengan Ronny Chong, dia tetap 'cool' (Mat Bangla di situ siap kena 'flying kick'). Mungkin dalam kepala dia fikir ada lima perut lagi yang perlu diisi - TABIK LAH BAHA. Baha jugalah pakar ukir styro di situ dan ukirannya siap dengan begitu cepat. Pap pap, siap! Dan aku banyak belajar dengan dia. Seorang bos dan kawan baik yang kalau aku kahwin tak jemput dia, berdosa besar lah aku.
Itu cerita lama. Sekarang, semua dah bawak haluan masing-masing sebab Ronny nak kurangkan kos, jabatan Set Artist ditutup! Berbalik kepada polystrene dan styrofoam. Aku bercadang nak buat doa selamat untuk harijadi anak aku. Paling simpel, aku bercadang hantar makanan ke masjid pada malam Jumaat, ambil berkat baca Yaa sin berjemaah. Aku berbincanglah dengan mak aku nak hantar apa? Mak aku cakap, nasi lemak paling simpel. Aku tanya, nasi lemak siapa yang paling sedap? Mak aku cakap, nasi lemak Ali, seringgit satu. Nasi lemak Kak La, tujuh kupang satu. Dua-dua sedap. Aku tanya, apa beza? Kak La, nasi lemaknya dibungkus dengan kertas surat khabar yang dilapik plastik. Ali, nasi lemaknya dibungkus dengan polystrene. Polystrene?
Masyarakat kita, memandang polystrene sebagai kemajuan yang memudahkan. Dalam industri pemakanan, bungkusan menggunakan polystrene dilihat sebagai canggih dan hadhari. Apa kelas daun pisang, beb? Syeikh Muzzaphar dah ke bulan, takkan kita nak pakai daun pisang? Cawan dan pinggan polystrene juga laku dijual untuk tujuan kenduri kedemat dan parti-parti. Senang, lepas guna, terus buang. Kalau awal 80an, dunia plastik menjadi fenomena sehingga Osman Tikus dalam filim 'Kembara Seniman Jalanan' mempertikaikan kewujudan zaman plastik. Hari ini, Osman Tikus mungkin akan melontarkan dialog baru - "polystrene... polystrene.."
Polysterne ini dibuat dari petroleum. Di Eropah dan Amerika Syarikat serta negara-negara maju, penggunaan polystrene ini diharamkan kerana ianya tidak lut dimakan tanah. Tujuan utama polystrene ini dicipta selain untuk membungkus TV dalam kotak, ianya digunakan dalam kejuruteraan sivil. Sebelum jalanraya ditambak dengan batu kerikil dan tar, polystrene diletakkan dengan tujuan dapat mengurangkan gegaran bumi supaya jalanraya tidak merekah. Bukan polystrene nipis tu yang diletaknya. Blok polystrene - 8' x 4' dengan ketebalan 2'. Sila perhatikan lebuhraya yang sedang dalam pembinaan. Polystrene juga, apabila dibakar, akan mengeluarkan asap hitam yang tebal (ye lah, petrol) dan ini akan mengakibatkan bomba datang berlumba-lumba serta disaman oleh Jabatan Alam Sekitar.
Apabila sumber dari petroleum ini diletakkan sebagai pembungkus makanan, ianya seperti menghina sistem manusia yang memerlukan zat. Manusia tidaklah sama dengan kereta. Manusia memerlukan zat-zat seperti yang terdapat pada poster piramid pemakanan seimbang di klinik desa. Daun pisang, walaupun ulat bulu suka bersarang kat situ, tapi, daun pisang masih ada aroma semulajadi yang membantu makanan menjadi wangi serta membuka selera, bukan proses makmal. Selain itu, keburukan polystrene selain menghapuskan suasana muhibbah musim kenduri, ia juga melahirkan generasi yang takut nak pijak rumput dan pegang pokok!
Aaahh, lantak kau orang lah! Aku tulis ni mungkin sebab aku dah muak kut dengan polystrene!
Hehehehehehehehe