Sabtu, 28 Mac 2009

SembangSumbang

Kelmarin, malam Jumaat lalu, aku ke masjid untuk baca Yaa siin berjemaah, sambil berdoa kehidupan aku sekeluarga diberkati Allah Ta'ala adanya dan sedikit kenduri kesyukuran sempena usia anak aku yang dah 3 tahun. Ini pertama kali aku datang ke masjid kampung aku pada malam Jumaat, setelah hampir sepuluh tahun aku tak jejak!

Aku terpaku sekejap bila perhatikan makmum yang hadir, dan aku rasa aku dah masuk 'time-machine'. Aku terus teringat waktu aku usia 7, 8 tahun (masa ni aku 'mat mesjid'), dengan baju 'bush-jacket' aku serta kain pelikat yang berbondol tebal kat perut (sebab kain besar), bermain dengan Slee, melastik cicak, dan aku ditegur Cikgu Zubir yang berbau tembakau cap nenas, "Kamu nak jadi Yang Berhormat ke besor nanti, pakai 'bush-jacket' ni?"

Serentak dengan itu, Cikgu Zubir juga menegur aku, "Ada orang muda..." aku tersedar dari lamunan, dan aku hanya mampu tersengih.

Dah 20 tahun lebih. Aku menyaksikan makmum yang sama rupanya di masjid ni. Bapak aku, Cikgu Zubir, Cik Amat, Imam Nayan, Pak Sudin, Pak Mat Za, Pak Cik Tahir... Aku cuba mengingati yang lain, yang dah meninggal - Atok aku, Pak Mat Sakam, Pak Mail Jelapang, Pak Wi, Pak Berahim Kedai, Cik Kamat...

Dan malam tu, alunan suara Pak Mat Za sebagai imam masih sama merdunya ketika dia mengajar aku mengaji Qur'an di masjid ni. Ketika berwirid, tak dengar lagi suara Cik Amat yang lantang dan bertenaga ketika berzikir 'La illahailallah'. Suaranya perlahan dan letih.

Keluar dari masjid, aku masih terngiang-ngiang suara Pak Mat Za dengan surah al-A'la <klik>, dan terus aku terfikir, masjid ni akan kosong ke?