Ahad, 26 April 2009

Filem Malaysia ‘Karaoke’ dipilih untuk tayangan “Director's Fortnight” Di Cannes

Chris Chong si sutradara (yang ada 'headphone' tu) bersama para
pelakon di set karaoke.


Mislina Mustaffa


KARAOKE, hasil karya pembikin filem Malaysia Chris Chong Chan Fui akan ditayangkan di “Director’s Fortnight” Festival Filem Cannes ke-62 dari 14 hingga 24 Mei 2009. Ia merupakan filem cereka Malaysia pertama dalam 14 tahun yang akan ditayangkan di Cannes. KARAOKE juga dicalonkan untuk Camera d’Or (Kamera Emas), anugerah yang menghargai filem cereka sulung terbaik yang ditayangkan dalam mana-mana tayangan pilihan Cannes (Official Selection, Directors’ Fortnight dan International Critics’ Week).


Apabila dihubungi melalui telefon di Bangkok, di mana beliau sedang menyiapkan kerja pasca-produksi, Chris nyatanya terkejut: “Cannes sungguh tidak dijangka. Menyertai festival filem yang terbesar di dunia dan menikmati tayangan serentak dengan filem Francis Ford Coppola merupakan satu penghargaan yang hebat!”


KARAOKE ialah filem cereka Chris yang pertama. Sebelum ini, pengarah filem dan pengkarya media kelahiran Sabah ini menerima penghargaan antarabangsa untuk filem pendeknya BLOCK B (2008), dan dokumentarinya KOLAM (2007).


Diterbitkan oleh Tanjung Aru Pictures, kelolaan Chris sendiri, filem 75-minit dalam Bahasa Malaysia, KARAOKE dibikin di lokasi penggambaran di Selangor dalam jangkamasa 12 hari pada bulan Disember 2008. Akan tetapi sebelum penggambaran bermula pun, KARAOKE telah dijemput untuk menyertai Klinik Skrip Festival Filem Berlin 2007, dan dipilih untuk menyertai Forum Penajaan Filem Hong Kong-Asia(HAF) pada 2008.


KARAOKE merupakan hasil nukilan penulis teater, penyanyi dan pencipta lagu Shanon Shah, yang juga mencipta lagu dan lirik dalam filem tersebut. Ia mengetengahkan persembahan daripada barisan pelakon yang hebat, diterajui oleh Zahiril Adzim dan dibantu oleh Mislina Mustaffa, Mohammad Hariry, Amerul Affendi dan Nadiya Nissa. Paling kini, pendatang baru Zahiril Adzim dan Amerul Affendi telah mengagumi penonton Malaysia dalam pementasan teater Air Con, kebetulannya juga hasil tangan Shanon Shah. Seorang lagi bakat kelahiran Sabah yang tersohor pada peringkat antarabangsa, artis Yee I-Lann, merupakan pereka produksi KARAOKE.


Jalan cerita


Di sebuah perkampungan ladang kelapa sawit di Malaysia … Betik pulang.

Siang hari, Betik membantu dalam penggambaran video karaoke. Malam, dia membantu ibunya yang keberatan di pusat karaoke kendaliannya. Inilah tempatnya dia jatuh hati pada Anisah. Rezeki, jodoh dan keluarga. Kepulangannya terikat oleh takdir.


Akan tetapi kehidupan tidaklah sebegitu lurus. Setiap orang mahukan sesuatu. Pendalangan kecil yang didorong oleh kepentingan diri dan nafsu tetap berlaku, dan lagu-lagu tetap dinyanyikan. Tanpa goyah.

Kampungnya berubah. Pohon kelapa sawit tumbuh dalam simetri yang tidak berakhir. Lanskapnya berkarat dan nostalgia berputar.


“Directors’ Fortnight” di Festival Filem Cannes


Directors’ Fortnight Festival Filem Cannes telah lama menjadi platform di mana pendatang baru boleh menyerlah, sambil menonjolkan bakat baru dalam dunia perfileman antarabangsa. Dimulakan pada tahun 1969 oleh Persatuan Pengarah Perancis, programnya termasuklah tayangan filem dari seluruh dunia ketika Festival Filem Cannes.


Sejak kelahirannya, Directors’ Fortnight telah menyerlahkan dan mengendalikan tayangan pertama di Perancis filem-filem sulung oleh Werner Herzog, Rainer Werner Fassbinder, Nagisa Oshima, George Lucas, Martin Scorsese, Michael Haneke, Jim Jarmusch dan Spike Lee, antara yang lain.


Sebagai salah satu program yang diadakan serentak dengan Cannes, Directors’ Fortnight dibuka untuk tayangan umum. Pada tahun 2008, seramai 40,000 penonton telah menghadiri tayangan-tayangannya.

http://www.quinzaine-realisateurs.com/?LNG=us

http://www.quinzaine-realisateurs.com/download/Selection_41e_quinzaine(2009).pdf


Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://www.tanjungarupictures.com/


Untuk pertanyaan selanjutnya, hubungi Nandita Solomon di +6019 234 7317 atau nansolo@gmail.com.


Gambar oleh Danny Lim © Tanjung Aru Pictures 2008