Sabtu, 4 April 2009

OKU

Kawan aku pernah bertanya, kenapa kita, yang jujur dalam bekerja dan kehidupan ni, kita menjadi OKU. OKU? Orang Kurang Untung - kakakakakakaka.

Katanya lagi, dia sudah bekerja keras, tapi rumahnya disita dan anak-bini dia terpaksa menumpang di rumah kawan buat sementara waktu. Aku tahu, dia bekerja sehingga lewat malam, berpeluh keringat, terluka tangan, berlapar, tapi dia tidak mendapat gajinya setiap bulan kerana dia seorang pekerja sambilan - sama seperti aku. Aku faham sakunya sedang nazak kerana pekerja sambilan seperti kami, akan menerima bayaran mungkin 2 atau 3 bulan selepas projek selesai. Bukan satu projek yang sangkut, malah 5, 6 projek dan jumlahnya boleh membeli sebuah Kancil.

Dia seorang profesional tukang kayu. Tapi, dia juga mahir kerja-kerja lain seperti mengukir styrofoam dan mengecat. Malah dia seorang pemain perkusi profesional!

Aku faham perasaan dia ketika ni. Saat seperti ini, dok terbayangkan peti ais yang selama ni takkan gagal dipenuhi makanan, tiba-tiba satu hari, anak dok buka peti ais dan dilihatnya - kosong! Bungkusan 'pampers' dah semakin kempis. Tin susu dah semakin ringan. Saat seperti ini, seorang ayah akan gelabah gila tak ingat. Seluk-seluk poket, ada empat keping je not merah yang nak digunakan untuk ke kerja!

Tapi disebabkan belajar ada tinggi jugak, kami gunapakai teori itik - nampak tenang di permukaan tasik, tapi kakinya yang kita tak nampak sedang mendayung laju!

"Orang dok tengok kita ni kerja boleh gelak-gelak lagi, tapi dia orang tak tahu hati kita ni menanggung sesuatu yang berat!" katanya.

Orang seperti kami, yang meminati seni, belajar ilmu seni, tapi akhirnya memilih untuk menjadi buruh atau kuli, kerana kami tak pandai nak menipu (kami percaya, untuk menjadi kaya mesti pandai menipu). Kalau kami menipu pun, nampak ketara jelas di muka - menipu. Lagipun, kesenian itu bukan terletak pada pameran, tapi bagaimana untuk 'struggle' dalam kehidupan yang penuh tipu daya, supaya hidup ini lebih berharga dan dihargai (tidak untuk orang lain, tapi untuk diri sendiri).

Kalau tak ada orang seperti kami, hasil seni yang kamu lihat cantik tu takkan wujud kerana kuli inilah yang terpaksa mengorbankan bau ketiak dan bulu hidungnya. Dan orang seperti kami inilah yang menghargai seni kerana kami tahu prosesnya yang seni. Bukan orang seperti Siti Hasmah yang melihat karya seni hanya semata 'cantik'!

Kami kuli-kuli ni bukan nak kaya pun. Majalah kereta memang takkan disentuh! Pakaian cantik di butik pun hanya sekadar tengok dan blah je. Fungsi baju adalah untuk dipakai, jadi selagi baju yang ada tak koyak dan reput, selagi itu kami pakai. Apa yang penting pada kami, anak dan bini mesti bahagia.

Kami amalkan hidup yang paling minima. Untuk berfoya-foya di Old Town Kopitiam jauh sekali, apalagi San Francisco Coffee. Perbualan kami pun bukan mengenai 'upline' dan lot-lot di bursa. Kami berbual mengenai kehidupan yang mudah ni kenapa disusahkan? Kenapa perlu susah hati fikirkan rambut aku hari ini nak belah tepi ke, nak belah tengah? - kakakakakaka

Kata kawan aku ni lagi, "jangan dok sembang la pasal ideologi, isme, falsafah perjuangan itu, perjuangan ini, dan mengaku aku punk, tapi lusa jadi hip-hop, membela hak-hak, konspirasi sana, konspirasi sini, seni untuk seni, masyarakatkan seni, bla, bla, bla, bla, bla, bla, bla... Kalau tak puas hati sangat, buat la kalau berani! Setakat sembang, buat cekodok pakai mulut memang 'best'!"

Aku pun termangu sambil mata pedih masuk asap Surya.

Aku terus bersyukur, kerana aku buat keputusan tepat - menetap di kampung, dan syukur sekali lagi, setakat ni rezeki aku okei - agak berbaloi kerja ulang-alik KK-KL, buat banyak kerja dalam satu masa, walaupun aku rasa badan aku macam dah nak kondem, aku tetap bersyukur.

Tiba-tiba kawan aku ni tanya sewaktu aku sedang membalas SPR (sistem pesanan ringkas), "Hang bila nak kawin?"



Hahahahahahahahahahahaha