Sabtu, 20 Jun 2009

Idea kasar



Ramai orang di kaki bukit. Semuanya bersongkok dan bercapal. Ada juga yang lengkap berbaju songket berkilauan siap bertanjak tengkolok. Semua orang ada keris di pinggang. Suasana riuh-rendah. Tiba-tiba terdengar pekikan - "hidup melayu!" dan disambut orang ramai dan diulang tiga kali. Bergegar langit seketika sehinggakan malaikat tergelincir. "Tak guna punya melayu," kata malaikat.

Di antara orang ramai itu, kelihatan seorang lelaki yang paling gelisah. Ke sana tidak kena, ke sini tak boleh, ke sinun mengeluh. Beberapa orang di sekeliling memerhati dia - buatkan dia lebih tak tenteram.

"Woi Najib! Apa cerita ni?" salah seorang dari orang ramai itu bertanya. Dia - Najib berhenti mundar-mandir dan memandang orang yang bertanya dengan rasa serba-salah. "Berapa lama kita nak tunggu?" tanya seorang lagi. Kemudian tiba-tiba, bertindih-tindih soalan diajukan sehingga tak kedengaran butir kata. Najib jadi bingung. Tak tahu nak buat apa. Lututnya menggigil. Tangannya menggigil. Seluruh badannya menggigil lah. Sementara itu orang-ramai mula bising - memberontak.

"Diaaammmmmm!!!!!!" Semua orang diam. Sekali lagi malaikat tergelincir kerana terkejut mendengar pekikan tadi. "Tak guna punya betina. Nasib baik tak patah tulang radius aku!" kata malaikat.

Semua orang bertumpu pada susuk tubuh di sebelah Najib. Semua orang tunduk takut. Kedengaran bisikan-bisikan di celah-celah orang ramai menyebut, "Bik Mama."

"Cuba bawa bersabar!" kata Bik Mama kepada orang ramai. "Sekejap lagi datanglah Hadi membawa kitab untuk kita semua. Najib tak pernah berbohong malah dia tak pandai berbohong!" ujar Bik Mama lagi.

Tiba-tiba suasana terang-benderang. Bersemarak cahaya dari atas bukit. Semua orang cuba menahan mata mereka dari terkena silau. Dari arah silauan itu, kelihatan siluet susuk tubuh datang ke arah mereka. Cahaya yang bersilau itu hilang beransur-ansur. Apabila pupil masing-masing dah mula mengecil, maka jelaslah kelihatan oleh mereka bahawa susuk tubuh yang turun dari bukit itu ialah Hadi. Di tangan Hadi terdapat seketul batu sungai yang bertulis jawi.

"Nah, untuk kalian!" kata Hadi sambil menjulang batu bersurat itu. Maka disambutlah dengan jerit pekik sorak sorai!!!