Ahad, 16 Ogos 2009

Seri

Dalam minggu-minggu sebelum melayu-islam ni berpuasa atau dengan lebih tepatnya - menyeksa diri dengan berlapar bukan kerana Allah Ta'ala tapi kerana berpuasa itu satu perbuatan 'cool' turun-temurun, ramai kaum kerabat yang melangsungkan perkahwinan. Ada juga yang tak sabar mengedarkan kad-kad jemputan untuk kenduri yang berlangsung pada hari raya ketiga, keempat, kelima atau ketujuhbelas sekalipun.

Ahah, aku bukannya nak kondem orang nak kahwin. Aku taklah jaki sangat sebab aku tak kahwin-kahwin. Apa yang aku nak bagitahu, kenduri kahwin hari ini sudah hilang serinya. Apabila kenduri kahwin sudah hilang seri, ini menunjukkan kelompok masyarakat itu juga sudah hilang seri!

Dey, apa da seri, seri ni... Nak seri, beli je lah kuih seri muka banyak-banyak. Tak pun, suruh je orang datang kenduri tu pakai baju ala-ala M. David Sparkle (M. Daud Kilau).

Apa yang dimaksudkan dengan 'seri' ni?

Mengikut Kamus Dewan, seri yang dimaksudkan - cahaya semarak. Adakah cahaya di sini sama dengan cahaya lampu di istana iskandariah atau cahaya al Ghazali?

Sebelum aku merapu merepek, baik kembali pada tajuk seri di kenduri kahwin. Kenapa sudah tak ada seri? Nah, di sini sukacita aku katakan bahawa keikhlasan dapat dipancarkan melalui air muka. Kenduri di zaman dahulu, setiap warga yang datang menolong, tak kira sama ada tolong kupas bawang, buat lepor, hias daun kelapa di kemah, ataupun tolong balutkan ganja untuk pengantin yang gemuruh. Setiap pertolongan adalah ikhlas dan keikhlasan ini menimbulkan suasana meriah. Hah, di situ lah serinya!

Hari ini, masyarakat kita tidak lagi mengambil peduli akan hal keihklasan ini. Apabila setiap warga sibuk mengejar duit dan kekayaan, maka majlis keramaian seperti kenduri ini sudah dihinggapi virus 'pakej'. Hari ini, kenduri sudah ada pelbagai pakej. Ada pakej untuk 'catering', pelamin dan baju pengantin, pakej ranjang pengantin dan pakej kemah. Setiap pakej ini pastinya berbayar dan setiap bayaran ini selain dibayar menggunakan benda alah duit, aura yang mengalir bersama bayaran itu ialah keluhan - "cari duit sikit punya susah, tapi habis bayar pada pakej hanya sekelip mata".

Pakej-pakej inilah yang menghilangkan seri kenduri.

Seri ini hilang bukan saja pada kenduri, tapi juga airmuka setiap manusia yang bergantung pada kesegeraan dan kekayaan. Tak percaya - lihat saja nanti bazar remdan dan hari raya!