Selasa, 26 Januari 2010

Posmen

Di kampung Lubok Merbau, dan juga di mana-mana kampung yang lain, rumah-rumah di sini kebanyakannya tidak bernombor. Jika zaman posmen guna basikal dan warong-warong kopi masih aktif di pekan kecil kampung, surat-surat biasanya dihantar ke warong-warong kopi. Warga kampung yang pulang dari membanting tulang di petang hari akan ke warong dan memeriksa surat-surat mereka jika ada.

Hari ini, zaman posmen bermotor Honda EX5 seragam warna merah, telefon bimbit 3G (mungkin dah 4G, aku tak tahu), menara pencawang terpacak di mana-mana, tapi di sebalik semua ini, kenyataannya, rumah-rumah kampung ini masih tidak bernombor dan warong-warong kopi sudah tidak wujud, digantikan dengan warong tomyam. Namun, dalam proses untuk mencapai tahap perhubungan ke tahap canggih-manggih hari ini, posmen-posmen mula menjelajah rumah-rumah yang tidak bernombor dan posmen-posmen tersebut sudah menjadi sebahagian dari masyarakat kampung kerana dia lebih mengenali warganya.

Dalam hayat aku membesar di kampung, seorang posmen bernama Pi'e, adalah posmen yang berkhidmat dari abang-abang aku dapat surat tawaran universiti sampai lah zaman aku terima surat hutang! Dari Pi'e ni bujang dan 'hensem', sampai lah dia berkeluarga dan perut semakin naik. Rumah aku masih tidak bernombor, dan Pi'e mengenali seluruh anggota keluargaku yang ramai dan keluarga jiran-jiran aku dan keluarga warga kampung! Padahal, Pi'e bukanlah warga kampung aku. Tapi, Pi'e tidak lama berkhidmat sebagai posmen. Dia memilih untuk berniaga di Tasik Raban.

Tempat Pi'e digantikan dengan posmen lain yang aku tak kenal langsung. Semakin lama, semakin huru-hara jadinya. Surat-surat keluarga aku dihantar ke rumah-rumah jiran. Begitu juga surat-surat rumah jiran dihantar ke rumah aku. Malah, di sampul surat ditulis tanda soal sebesar alam dengan pertanyaan 'NOMBOR?' - maksudnya nombor rumah lah tu. Ada juga posmen yang bermulut celaka menyuruh kami warga setempat supaya meletakkan nombor pada alamat. Alasan smereka, mereka pening mencari alamat rumah. Kesan dari ini, ramai juga jiran-jiran kami yang kehilangan surat-surat dan surat-surat 'urgent' diterima lewat.

Wahai encik posmen daerah Kuala Kangsar. Jangan bikin malu orang Kuale le. Kami dah lama hidup tanpa nombor rumah. Kad pengenalan kami pun tak ada nombor pada alamat. Dah lebih 30 tahun menetap di sini tanpa nombor rumah, tapi sebelum-sebelum ni surat-surat kami terima tepat dan betul. Kenapa posmen-posmen yang ada sekarang ni tak berapa nak baik dengan warga kampung? Muka nak samseng je. Kau orang PEKIDA ke? Ke, memang kau orang MELAYU BODOH!

Khamis, 14 Januari 2010

Ayor dan karan

Awal minggu ni, saya mulakan kerja pemasangan paip PVC, menggantikan paip besi yang sudah berkarat di rumah keluarga saya di sini, Kuala Kangsar. Setelah mengharungi pelbagai masalah dan rintangan, akhirnya tadi siap juga. Seronok kerana dapat air yang lebih sejuk.

Saya mula terfikir (mungkin apa yang saya fikirkan ni dah lama digunapakai oleh Mohenjo-daro dan kampung-kampung berdekatan), yakni sumber air sepatutnya diusahasamakan oleh penduduk kampung secara komuniti. Tidak lagi bergantung pada sebuah perbadanan yang perlu dibayar bil setiap bulan.

Maksud saya, sebuah kampung perlu ada sumber air yang sendiri, ada empangan mini dari hulu sungai yang terpilih (empangan sebagai tangki utama). Jika kampung berdekatan tidak punya sumber air (mata air atau bukit bersungai), empangan boleh lah dibina besar dan perkongsian air tidak menjadi masalah kerana air bukanlah milik CEO atau Menteri Tenaga. Ia milik Allah Ta'ala secara total. Dari empangan ini, barulah dipasang saluran paip ke setiap kelompok penempatan.

Jika timbul persoalan siapakah yang akan mengerjakannya, jawapan yang mudah boleh lah diberi - Gerakan Belia 4B atau kawan-kawan anak ketua kampung dan anak-anak muda serta anak-anak tua seluruhnya. Gotong-royong. Sepanjang pembinaan, makanan hendaklah disediakan (macam wagam 'The Road Home' karya Zhang Yimao). Ini pada saya lebih berfaedah pada anak muda dari perebutan projek ladang jagung atau padang ragut ataupun pertandingan futsal yang dikenakan bayaran dan bergaya sakan (berkemeja putih dan bersongkok tinggi).

Bagaimana untuk mendapat modal membeli paip? Kutipan yuran mesti dikenakan pada setiap rumah dan yuran ini hanya sekali seumur hidup. Rumah yang baru dibina juga dalam sesebuah kelompok itu mesti dikenakan yuran yang sama. Duit lebih yang tersimpan mesti dijaga oleh sebuah amanah untuk tujuan pembaikan dan penambahan.

Tidak ada lagi bil bulanan.

Dari empangan itu juga boleh dipasang turbin untuk dijadikan sumber tenaga elektrik. Proses yang sama juga. Tak ada bil bulanan.

Bukankah ini dapat mewujudkan sebuah kampung yang aman-damai lagi makmur bahagia? Tidak ada lagi tekanan hidup warga kampung yang terpaksa memikirkan bil-bil bulanan!

Jumaat, 8 Januari 2010

Allah, Islam dan Api

Kerana Allah kita semua bergaduh, berbakaran, berbalah, bongkak dan gelojoh.

Benarkah dengan menyembah Allah kita jadi mulia dan berada di jalan yang benar?