Selasa, 26 Januari 2010

Posmen

Di kampung Lubok Merbau, dan juga di mana-mana kampung yang lain, rumah-rumah di sini kebanyakannya tidak bernombor. Jika zaman posmen guna basikal dan warong-warong kopi masih aktif di pekan kecil kampung, surat-surat biasanya dihantar ke warong-warong kopi. Warga kampung yang pulang dari membanting tulang di petang hari akan ke warong dan memeriksa surat-surat mereka jika ada.

Hari ini, zaman posmen bermotor Honda EX5 seragam warna merah, telefon bimbit 3G (mungkin dah 4G, aku tak tahu), menara pencawang terpacak di mana-mana, tapi di sebalik semua ini, kenyataannya, rumah-rumah kampung ini masih tidak bernombor dan warong-warong kopi sudah tidak wujud, digantikan dengan warong tomyam. Namun, dalam proses untuk mencapai tahap perhubungan ke tahap canggih-manggih hari ini, posmen-posmen mula menjelajah rumah-rumah yang tidak bernombor dan posmen-posmen tersebut sudah menjadi sebahagian dari masyarakat kampung kerana dia lebih mengenali warganya.

Dalam hayat aku membesar di kampung, seorang posmen bernama Pi'e, adalah posmen yang berkhidmat dari abang-abang aku dapat surat tawaran universiti sampai lah zaman aku terima surat hutang! Dari Pi'e ni bujang dan 'hensem', sampai lah dia berkeluarga dan perut semakin naik. Rumah aku masih tidak bernombor, dan Pi'e mengenali seluruh anggota keluargaku yang ramai dan keluarga jiran-jiran aku dan keluarga warga kampung! Padahal, Pi'e bukanlah warga kampung aku. Tapi, Pi'e tidak lama berkhidmat sebagai posmen. Dia memilih untuk berniaga di Tasik Raban.

Tempat Pi'e digantikan dengan posmen lain yang aku tak kenal langsung. Semakin lama, semakin huru-hara jadinya. Surat-surat keluarga aku dihantar ke rumah-rumah jiran. Begitu juga surat-surat rumah jiran dihantar ke rumah aku. Malah, di sampul surat ditulis tanda soal sebesar alam dengan pertanyaan 'NOMBOR?' - maksudnya nombor rumah lah tu. Ada juga posmen yang bermulut celaka menyuruh kami warga setempat supaya meletakkan nombor pada alamat. Alasan smereka, mereka pening mencari alamat rumah. Kesan dari ini, ramai juga jiran-jiran kami yang kehilangan surat-surat dan surat-surat 'urgent' diterima lewat.

Wahai encik posmen daerah Kuala Kangsar. Jangan bikin malu orang Kuale le. Kami dah lama hidup tanpa nombor rumah. Kad pengenalan kami pun tak ada nombor pada alamat. Dah lebih 30 tahun menetap di sini tanpa nombor rumah, tapi sebelum-sebelum ni surat-surat kami terima tepat dan betul. Kenapa posmen-posmen yang ada sekarang ni tak berapa nak baik dengan warga kampung? Muka nak samseng je. Kau orang PEKIDA ke? Ke, memang kau orang MELAYU BODOH!