Jumaat, 26 Februari 2010

Emir Tulus

Emir Tulus
27 Februari 2006


Salam harijadi, anak.
Dah empat tahun dah... Hehehe...
Moga kasih sayang Allah Ta'ala sentiasa menyinari hati kita.

Sayang kamu!

Isnin, 22 Februari 2010

Maaf

Mutakhir ni, aku memikirkan tentang kematian, kehancuran dan kebinasaan terjadi pada diriku sendiri. Aku merasakan sangat huru-hara dan gelisah sepanjang masa sehingga menjejaskan hubungan dengan kekasih, sahabat handai dan juga keluarga. Aku merasakan diri aku sangat tidak selamat dan sangat tidak berguna. Ini terjadi sebaik saja aku putuskan untuk tidak lagi mengambil arak, ganja dan rokok. Tapi akhirnya aku tewas pada rokok. Namun arak dan ganja telah selamat disemadikan - tidak lagi terfikir untuk mengambilnya - muktamad! (Dadah-dadah lain telah lama 'out' sejak aku kena pengawasan polis dua tahun 2002-2004).

Pada usia 30 ni, aku rasakan, semua ini tak perlu lagi. Lebih-lebih lagi aku disyaki mengidap athritis. Aku juga merasakan kandungan toksin dalam badan juga terlalu banyak sehingga mental aku terganggu. Itu yang aku baca dalam surat khabar bahagian kesihatan.

Sakit. Macam nak pecah dada. Jantung tak berhenti berdebar dan berdegup laju! Makan bukan lagi wajib bagi aku. Tidur juga sudah tidak penting. Otak berfikir macam-macam - NEGATIF! Sekarang, adalah proses aku sedang berlawan! Proses 'defragment'. Dalam proses ini satu kerja pun aku buat tak ada perasaan dan jiwa. Aku langsung tidak boleh menulis apa lagi untuk melukis! Itu cukup menakutkan aku! Hidup dalam ketakutan yang amat sangat. Aku dihantui dengan adegan-adegan yang aku cipta sendiri di dalam fikiran aku. Aku takut macam-macam. Takut kehilangan paling utama. Kacau!

Saat ketika aku menulis ini, segalanya sudah semakin beransur pulih namun ada lagi sisa baki yang tiba-tiba saja menyerang. Apa yang aku buat sepanjang proses ini - MENGENAL DIRI. Aku cuba untuk solat secara konsisten, tapi aku jadi tidak ikhlas dan sangat memaksa. Aku mahu ikhlas dalam solat. Aku mahu ikhlas dalam mengingati Tuhan Yang Maha Esa. Aku sedang cuba untuk membina kembali hubungan aku dengan Allah Ta'ala, sebagaimana aku cuba membina kembali hubungan aku dengan kekasih, sahabat handai dan keluarga.

Ini kali kedua aku sakit setelah sakit yang pertama pada tahun 2006 (yang ini sangat peribadi). Cukuplah. Aku tak mahu lagi sakit seperti ini dan sebegini.

Anak, kekasih, sahabat handai dan keluarga, maafkan aku. Aku pun tak nak jadi macam ni. Tapi untuk menjadi kepada yang lebih baik dari yang teruk, memang kena jadi macam ni. Pertukaran. Hijrah. Mua'alaf.

Maafkan aku.

Selasa, 9 Februari 2010

Sakit (kedua)

Setiap perlawanan mesti mengakibatkan sakit! Untuk menempuh perlawanan mesti lalui disiplin latihan. Disiplin latihan inilah akan menjadikan kita kebas, tidak sakit lagi dalam perlawanan dan kita jadi manusia kental! Asalkan, kita pegang, yakin dan percaya pada apa yang kita percaya.

Kemenangan. Semua orang mahu kemenangan. Semua orang tak mahu tewas, kalah, jadi 'loser' atau 'gagalist'. Sperma yang berjaya masuk ke dalam ovum adalah sperma yang menang - kalahkan sperma-sperma lain yang kecundang! Apabila semua orang mahu menang, otomatik pasti ada perlawanan yang mengakibatkan kesakitan.

Menang atau kalah - tetap sakit.

Kesedaran kebenaran.