Kali terakhir aku hubungi dia sehari sebelum kenduri menyambut perkahwinan aku di Kuala Kangsar. Aku tak sangka, itu adalah panggilanku yang terakhir. Dan paling mengecewakan aku, berita pemergiannya aku sedari setelah lebih setahun. Teruk betul aku sehingga tak pernah ambil tahu pasal kawan. Maafkan aku, keadaan aku masih huru-hara.
Aku kenal Sam Ahmad sebagai Pikar. Nama sebenarnya Zulfikar. Dia sebaya aku. Mula kenal sejak tingkatan tiga, naik bas sekolah yang sama. Cuma dia sekolah Clifford dan aku sekolah RMM. Dia memang pendiam dan selalu senyum. Tapi, apabila bicara soal 'grunge', 'punk', 'hard-core', 'trash-metal', dan yang seangkatan dengannya, dialah yang paling fasih. Dia tak peduli langsung pada awek-awek sekolah RPK yang memenuhi bas tersebut. Senang cerita, sangat berlawanan dengan aku. Tapi, kami bersetuju atas satu tajuk - politik.
Setelah tamat tingkatan lima, masing-masing membawa haluan hidup. Takdir, kami ditemukan di Universiti Bangsar Utama (UBU). Dia datang menonton teater lakonan aku - 'Waiting For Godot'. Aku kenal dia ketika itu sebagai penuntut Undang-undang di UiTM. Sejak itu, kami selalu berhubung melalui maya. Dia ada buat satu laman web tajuk 'Arah Kiri' dan aku ada sumbangkan beberapa rencana dan sajak.
Kemudian, 'Arah Kiri' senyap untuk beberapa tahun. Dia pun lama aku tak hubungi. Tiba-tiba, sedang aku YM, dia muncul bertanyakan khabar. Kami menjalin hubungan kembali dan kali ini, dia menjemput aku untuk menyertai blog dia yang terbaru - 'Republik Kata'. Apa saja yang agak menarik pada dia di blog 'Pojok Riang-Riang' ni, akan diterbitkan juga di 'Republik Kata'.
Sampai masa, kami bertemu di Hotel Double Lion, Kuala Kangsar. Bersama Mat Saman Kati dan beberapa taulan lagi dari 'Perak Ekspres', membincangkan perihal 'Pentas Kita Karya Kita' anjuran Lantera Jiwa dan juga membincangkan perihal menubuhkan UREKA (seperti UBU, tetapi di Kuala Kangsar). Sewaktu pertemuan ini, sungguh aku tidak sangka, dia tidak lagi seperti kali terakhir aku jumpa di UBU. Dia tidak bermaya, tetapi dia gagahkan juga untuk bergerak. Kena 'stroke', katanya. Tak tahu nak cakap apa...
"Kamu jangan merokok kuat sangat... Nanti jadi ghope (seperti) aku nanti, yop... Masa aku belajo dulu, tension sikit isap rokok, tension sikit isap rokok... Penyudahnya, jadi ghope ini..."
Kami sempat mengadakan beberapa pertemuan. Maaflah, bukan aku tak mahu membantu melaksanakan UREKA, tetapi jiwa aku kacau bilau ketika itu. Aku rasa bersalah ni... Tak sangka, aku hubungi dia buat kali terakhir rupanya. Hubungi untuk menjemput dia datang ke kenduri perkahwinan aku, tetapi Allah Ta'ala menjemput dia pulang terlebih dahulu...
Al Fatihah
Ahmad Zulfikar Samsuri
1 May 1980 - 11 Mac 2011