Imej pertama yang aku lihat semasa menonton teater 'Paper Crane' - belakang pentas.
Ada 1001 drama di belakang pentas sebenarnya. Drama yang ada di pentas, yang dipertontonkan itu cuma 2 hingga 3% sahaja. Selebihnya adalah drama belakang pentas. Drama yang sebenar. Tetapi, 'Paper Crane' me-muzikal-kan drama ini sebab untuk dibawa ke Pentas 1, klpac. Sebuah pendedahan sebenarnya.
Jika kita masih mempunyai persoalan kenapa, mengapa, industri teater Malaysia tidak maju-maju? Aku sarankan, tontonlah 'Paper Crane' kerana di situ ada jawapannya. Tak perlu buat tesis atau kajian atau andaian atau tunjuk kepandaian dalam memberi jawapan kepada persoalan di atas. Cukup sekadar menonton sebuah muzikal yang 'simple', dan dalam bahasa Kantonis. Pada pendapat aku, eloklah dalam bahasa Kantonis kerana jika aku faham apa yang dicakapkannya, mungkin aku akan lagi sakit hati - hehehe...
Ego dan kebodohan. Ini masalah utama yang bersarang dalam industri teater Malaysia. Inilah kisah yang dibawa. Bukanlah masalah kewangan (masalah utama juga), tetapi paling utama ialah masalah komunikasi antara generasi senior dan generasi amatur. Yang Senior berlagak macam dia maha hebat. Yang Amatur pula bodoh semberono. Semua mahu dilanggar, sehinggakan kuih pau yang dijamu kepada tuhan pun dia tibai (Tuhan pun dia tak hormat)! Senior memang patut berlagak kerana auranya. Amatur yang mahu masuk ke dalam industri kerana dua perkara - nak makan dan glamor. Bukan kerana betul-betul mencintai kesenian teater.
Apabila nama si Amatur ni sudah berjaya dan menggantikan tempat Senior, dia mula lupa diri. Lebih-lebih lagi dapat bercinta dengan anak Tokeh Panggung. Kawan baik pun dia buang. Paling sedih, Tokeh Panggung pun dia halau. Nampak tak betapa bongkaknya si Amatur ni. Inilah sikap yang dilarang Tuhan - bongkak, sombong. Tuhan tidak menyuruh kita membenci Israelite. Tetapi Tuhan menyuruh kita supaya jangan ada sikap sombong dan bongkak seperti yang dibawa oleh Israelite. Bermula dari sikap ini, ia merebak kepada tamak, dengki, khianat, cemburu, dan bermusuhan. Inilah yang dinamakan sebagai penyakit hati.
Nah, kenapa cerita ini berlaku di belakang pentas - kerana ia cerminan kepada hati kita sendiri. Belakang pentas juga semiotiknya dalaman, jiwa, batin, hati kita. Jika hati kita rosak, nescaya zahirnya diri kita tak keruan, menerima balasan Tuhan. Balasan Tuhan, kebanyakan orang mentafsirkannya dalam bentuk bencana alam, ribut taufan, tsunami, dan sebagainya. Tetapi, perbuatan manusia lain ke atas kita juga sebenarnya balasan Tuhan - 'deus ex-machina' - watak Senior yang ambil colok / mancis dari tokong, lalu membakar pentas. Tabiklah Yusman Mokhtar, kau kasi Pentas 1 terbakar!
Akhirnya, akibat dari kebodohan dan kesombongan, di penghujung usia, si Amatur tadi hidup dalam nostalgia - tak ke mana. Inilah yang berlaku dalam industri - karyawan-karyawan Malaysia ramainya bernostalgia zaman kegemilangan, kesannya - tak berkembang.
Apapun, tabik dan 'salute' kepada Joe Hasham (pengarah), Yusman Mokhtar (sinografer) dan Lex Lakshman (koreografer), serta seluruh tenaga kerja, walaupun berlainan agama, bangsa dan bahasa, tetapi mereka bersatu hati menyampaikan cinta...
'Paper Crane', mungkin juga sebuah doa dari Joe Hasham dan Faridah Merican. ;-p
Sila klik sini dan sini untuk maklumat lanjut.
*** Paper Crane (origami burung jinjang) adalah simbol kepada panjang umur, kebahagiaan, tuah dan keamanan.
*** Paper Crane (origami burung jinjang) adalah simbol kepada panjang umur, kebahagiaan, tuah dan keamanan.