Ketakutan terhadap Cina adalah tema utama individu tertentu dalam UMNO mempersembahkan dramanya. Bagi mereka (UMNO), DAP ini samalah dengan Cina. Cina pula samalah dengan tokeh. Tokeh samalah dengan duit. Melayu pula samalah dengan tanah. Boleh juga Melayu sama dengan silat. Kalau aku katakan Melayu samalah dengan bodoh? Tentu aku tak boleh balik kampung selepas ini. Hahahaha jangan marah ya.
Drama yang dipersembahkan oleh individu tertentu ini berjaya menakutkan penontonnya yang tentunya Melayu. Dengan mengatakan tanah rizab Melayu akan diambil Cina, Cina akan membalas dendam terhadap Melayu di atas tragedi 13 Mei 1969, nasib Melayu akan jadi seperti Melayu di Pulau Pinang (Balik Pulau) yang tidak terbela (habis tu, siapa yang perintah Pulau Pinang sebelum ini kalau bukan BN?).
Mengenai tanah rizab Melayu ini, sewaktu Melayu UMNO berkuasa dulu, tanah ini sudah pun terjual kepada Cina. Kenapa sekarang baru nak ditimbulkan soal ini? British telah meletakkan Melayu di kampung, Cina di pekan dan India di estet. Masyarakat di pekan tentunya lebih berduit dari yang di kampung kerana pekan adalah pusat ekonomi. Melayu di kampung hanya bergantung kepada pertanian dan genetik Melayu ialah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Apalah ekonomi yang boleh dibuat di kampung? Apabila Cina di pekan (sebenarnya individu tertentu dari UMNO yang mencadangkan) memperkenalkan produk baru dan mesti dimiliki (sebenarnya produk itu cuma kehendak, tetapi sudah menjadi keperluan asas), maka Melayu di kampung dan India di estet terpaksa bekerja keras untuk memilikinya! Dan Melayu yang tidak mempunyai harta selain tanah ini terpaksa menjual tanah termasuk tanah rizab untuk tidak ketinggalan dalam perkembangan hidup di Malaysia! Kepada siapa lagi Melayu ini hendak menjual tanahnya kalau bukan kepada Cina yang tentunya berduit! India, terus ketinggalan di estet.
Jadi, kenapa setelah lebih 50 tahun UMNO memerintah, baru sekarang mereka sedar bahawa Cina itu mengancam Melayu? Masalahnya sekarang, Cina yang memerintah hari ini bukanlah Cina dari sekongkolan UMNO! Sebab itu UMNO sangat takut kerana mungkin Cina DAP ini lebih lurus bendul dalam pentadbiran negeri. Sudah menjadi lumrah alam, penipu akan takut kepada si lurus bendul dan penipu akan terus menipu dan menipu untuk memburukkan si lurus bendul.
Aku ingin tekankan di sini, aku langsung tidak menyokong mana-mana pihak pemerintah di Malaysia ni. Selagi di bawah naungan demokrasi, selagi itu akan ada penipu yang berkepentingan. Sama ada pembangkang atau kerajaan, sama saja dua kali lima. Kedua-dua mereka akan mengambil kesempatan sama ada sikit ataupun banyak, itu Allahu'alam. Komunisme tetap suci. Hahahaha.. Untuk orang Islam, Islam lah jawapannya (yang sebenar-benar Islam). Untuk bukan Islam, komunisme lah jawapannya. Tapi Islam yang diperjuangkan PAS adalah Islam korup! Islam yang tidak mengajar hormat orang lain. Islam PAS - apabila dengar saja orang UMNO, terus emosional, melenting.
Kembali semula ke Melayu takut Cina. Aku ada cadangan yang bernas. Kalau nak pakai, pakai, tak nak, sudah. Kita, masa kita budak-budak dulu, balik dari mengaji lepas Isyak, kena lalu kat pokok besar yang dikatakan berhantu, apa yang kita buat? Kita akan berjalan rapat-rapat dengan kumpulan kita. Kita bersatu. Masa mengaji tadi, kita bergaduh dengan budak tu, tapi bila berdepan dengan hantu, kita lupakan gaduh tadi. Kita bersatu untuk keselamatan semua. Bila kita bersatu, apa yang utama ialah - HORMAT-MENGHORMATI! Dan kita berjaya melintasi pokok besar berhantu itu dengan jayanya. Tetapi, bila kita sudah dewasa dan mempelajari pelbagai ilmu dunia dan akhirat, kita tidak lagi takut kepada pokok besar berhantu itu kerana kita tahu hantu itu juga makhluk Allah Ta'ala samalah macam kita, manusia. Malah kita MENGHORMATI hantu itu dan hantu juga akan HORMAT kita. Samalah Cina pun, makhluk Allah Ta'ala juga. Cuma Allah Ta'ala izinkan otak mereka ni lebih bergeliga dari Melayu. Tetapi, kalau Melayu pegang betul-betul hadis Rasul - "tuntulah ilmu sampai ke negeri China", tentu kita tidak takut lagi akan Cina.
Hah, apalagi Melayu UMNO! Pergilah belajar bahasa Cina pulak!
Allahu'alam.