Sabtu, 29 Mac 2008

Drama 8 terjunam!

Pada 26 Mac, 2008, seramai 876 Ketua Kampung di seluruh Perak telah meletak jawatan berkuatkuasa 1 Mei ini dengan alasan tidak sehaluan dengan kerajaan negeri yang baru yang terdiri daripada DAP, PAS dan PKR. 876 Ketua Kampung ini dahulu adalah yang dipilih oleh kerajaan BN sebelum ini dan secara otomatiknya 876 Ketua Kampung ini semestinya ahli UMNO/BN. Semasa PRU 12 baru-baru ini, 876 Ketua Kampung ini bermati-matian bekerja keras di bilik gerakan BN. Dan 876 Ketua Kampung ini sangat yakin bahawa parti junjungan mereka akan menang.

Tetapi malangnya kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.

Dan paling malang sekali, mereka ini Melayu. Aku tertanya-tanya, apakah dan siapakah yang membuatkan 876 Ketua Kampung ini bersatu untuk meletak jawatan?

Di sini, kita dapat lihat bagaimana UMNO telah menyempitkan pemikiran ahlinya. UMNO tidak pernah mengajar 876 Ketua Kampung ini supaya berfikiran terbuka. UMNO juga tidak pernah menerangkan kepada 876 Ketua Kampung ini apakah itu demokrasi. Mereka tidak pernah diajar untuk menghormati orang lain kerana mereka merasakan diri mereka berkuasa. Mereka lupa bahawa keris yang menjadi simbol kekuasaan Melayu cara UMNO itu hanyalah besi buruk yang ditempa dan disepuh. Semangat "Hidup Melayu" atau semangat kebangsaan mereka telah menidakkan kekuasaan Allah Ta'ala yang disimbolkan pada alam jagat ini. Walaupun UMNO berjaya menghantar angkasawannya, tetapi mereka lupa bahawa bagaimana hendak mengurangkan beban rakyatnya dalam belanja seharian, yang termengah-mengah bekerja untuk tidak mahu ketinggalan.

UMNO/BN, seperti yang kita tahu, mereka ini sebuah parti yang mempunyai cita-cita yang teramat besar. Cita-cita besar mereka ini kebanyakannya bukanlah untuk kepentingan rakyat pun. Projek yang mereka buat untuk kemudahan rakyat akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung beban projek tersebut. Terowong SMART contohnya, rakyat hanya meminta supaya atasi masalah banjir. Rakyat langsung tidak meminta malah tidak terlintas pun di kepala otak mereka untuk dibuatkan sebuah terowong yang dikenakan tol. Sebenarnya, ini adalah projek untuk keuntungan individu tertentu sahaja, yang kepala otaknya adalah duit.

Dan individu tertentu inilah yang terkena demam panas, sakit jantung (ada yang meninggal dunia), demam kapialu, setelah menerima kekalahan pada PRU12 baru-baru ini. Kekuasaan individu tertentu ini telah hilang, maka hilanglah sumber pendapatannya yang lumayan. Dan oleh kerana umat Melayu ini didedahkan dengan rancangan TV yang beremosi realiti seperti 'Bersamamu', 'Jejak Kasih', 'Akademi Fantasia' dan drama perletakan jawatan Dr. M pada persidangan UMNO, maka individu tertentu ini telah belajar teknik lakonan untuk kasi orang menangis dengan jayanya. Lalu mereka pun mulalah mencari satu watak yang sangat sesuai untuk meraih simpati, empati penonton (mungkin hantu arwah Stanilavski datang mengajar).

Drama episod pertama dipentaskan. Penonton yang datang seramai 876 orang. Setelah selesai persembahan, penonton yang seramai 876 orang tadi bangun lalu memberikan tepukan gemuruh sambil airmata bercucuran. Kisah yang dipentaskan itu sangat menyentuh perasaan. Mereka yang 876 orang tadi pun bersemangat untuk membantu watak dalam cerita yang dipersembahkan.

Drama ini akan terus dipentaskan untuk menarik penonton yang lebih ramai. Suatu hari nanti, tidak hairanlah jika drama ini akan mempunyai rating yang tertinggi, mengatasi drama ' Janji Diana'.

Allahu'alam.