Selangor nak naikkan mas kahwin. Sekarang ni mas kahwin negeri itu ialah RM80. Tak kisah naiklah berapa pun mas kahwin ni asalkan jangan menyusahkan orang sudah. Ada kisah yang aku dengar dari ceramah petang-petang di radio, mas kahwin dengan sepotong ayat Quran pun boleh... Tengok, betapa tolak ansurnya Islam ni. Tapi itu kepada yang disahkan tidak memiliki harta lah sebab kisahnya seorang fakir yang nak kahwin bertanya kepada Rasulullah lalu Rasulullah berkata, cukuplah mas kahwinnya dengan sebentuk cincin besi. Tapi fakir tu betul-betul punya fakir lah. Cincin besi pun dia tak ada lalu Rasulullah berkata, cukuplah dengan alfatihah. Tapi fakir ni dahlah miskin, tak tahu pulak alfatihah tu. Lalu Rasulullah pun berkata, cukuplah dengan sepotong ayat Quran...
Ok, cukup bab mas kahwin. Sekarang ni bab hantaran kahwin. Ini adat Melayu yang sepatutnya dah tak boleh pakai di zaman kenaikan harga minyak (hahahaha). Hantaran ni sebenarnya hadiah kepada keluarga pengantin perempuan. Hari ini, pada tahun 2008 ni, hantaran diletakkan paling murah pun RM6 ribu. Kalau ada yang letak RM4 ribu, alamat kena gelak lah... Sekarang ni, ada hantaran yang mengikut kepercayaan tuah nombor seperti nombor tujuh (RM77,777.77). Gila apa hantaran banyak ni. Tapi aku percaya, rakyat Malaysia ni kaya-raya dan alah, setakat RM100k tu, apa ada hal.
Itu bagi yang kaya-raya. Tak ada masalah. Macam mana pulak keadaannya dengan yang tak berapa nak kaya tetapi berhadapan dengan bakal isteri atau bakal mertua yang tak sedar diri - yang berangan nak buat kenduri macam dongeng Cinderella? Alasan mereka, kalau buat ala-kadar nanti orang kampung mengata. Alamak... Manusia-manusia jenis ni sebenarnya yang merosakkan akhlak, yang merosakkan Islam. Takut orang mengata dan tak berani nak buat revolusi kenduri kahwin.
Aku pernah berlawak (lawak serius) dengan mak sedara aku - "aku nak buat kenduri, nak jamu roti canai" dan mereka ketawakan aku dan mereka kata jangan buat malu keluarga. Tengok, sampai makanan pun diambil kira kelas atau tak kelas. Tahu tak kalian Rasulullah pernah bersabda, "sejelik-jelik makanan ialah makanan dari kenduri kahwin, iaitu makanan yang dijamukan kepada golongan kaya". Sepatutnya meraikan walimah ni ialah dengan menjemput anak-anak yatim dan fakir miskin. Kena utamakan mereka ni dulu. Orang kaya, diorang banyak duit, boleh beli francais McDonald lah (bukan beli Double Cheeseburger).
Ada 3 perkara yang MESTI diubah -
1. Mas kahwin (mahar) - berpadalah, jangan sehingga menekan ekonomi pengantin lelaki.
2. Hantaran - batalkan terus kerana hantaran inilah yang membuatkan nama-nama lelaki bercambah di fail pinjaman peribadi di bank.
3. Kenduri - utamakan anak-anak yatim dan fakir miskin dan buatlah mana yang mampu. Kalau mampu seekor kambing, itu ajelah. Jangan nak bergolok-gadai sebab nak jadikan 4 ekor lembu.
Homo-sapien Melayu/Islam ni tak pandai berfikir secara 'Gestalt' - hari ini, adalah hari ini. Esok tidak ada dan semalam sudah berlalu. Buat penat je mulut terkumat-kamit baca ayat Qursi (oh ya, ayat Qursi ni dibaca untuk halau hantu je...) tapi tak faham isi kandungan ayat Qursi.
Allah, tidak ada tuhan selain Dia. Yang Mahahidup, Yang terus menerus mengurus (makhlukNya), tidak mengantuk dan tidak tidur. MilikNya apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Tidak ada yang yang dapat memberi syafaat di sisiNya tanpa izinNya. Dia mengetahui apa yang di hadapan mereka dan apa yang di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui sesuatu apa pun tentang ilmuNya melainkan apa yang Dia kehendaki. KursiNya meliputi langit dan bumi. Dan Dia tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Dia Mahatinggi, Mahabesar.
Al Baqarah 2:255
Ayat ni, selain menceritakan kekuasaan Allah Ta'ala yang memerintah alam, juga memberitahu manusia bahawa hidup nyata manusia ialah pada ketika itu dan di saat itu. Apa yang terhidang di depan mata manusia ketika itu, itulah realitinya. Perkara yang lepas dan akan datang, bukan realiti. Itu sebabnya wujud pepatah - kita mampu merancang, hanya Allah menentukan. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku esok hari. Tawakkal dan berserahlah pada Allah sebulat-bulatnya. Namun, sebagai manusia, kita diajar belajar dari kesilapan semalam dan bersedia untuk hari esok. Dan apa kaitannya semua ni dengan kenduri kahwin ni?
Begini weh... Kita memang tak tahu apa yang akan terjadi pada diri kita ni esoknya. Tapi persediaan untuk mengelak dari terjadi benda tak bagus, kita lakukan hari ini. Kita tak tahu apa yang akan terjadi pada pengantin yang kita raikan dengan pembaziran Ringgit Malaysia pada esok harinya. Kalian semua tahu tak, cari duit ni - penat. Kalau kita bazirkan duit ni dengan kenduri kedemat yang berkonsepkan Cinderella tu, tup-tup, esoknya pengantin ni bercerai. Dah tak sebulu langsung! Apa yang terjadi dengan duit yang dibazirkan tu? Terbuang begitu sahaja... (hal ni dah berzaman aku dengar, tapi manusia Melayu/Islam hari ni tetap jugak buat). Ataupun, pada hari nikah, rumah pengantin lelaki terbakar dan duit mas kahwin tinggal 30sen. Takkan nak batal atau berhutang. Kan lebih baik jalankan yang tunai dari berhutang. Inilah toleransi Islam. Jadi untuk mengelakkan rasa penat lelah kita terbuang sia-sia, kita berfikirlah secara REAL. Apa yang kita ada ketika itu sahaja. Jangan cuba nak berangan jadi lebih dari apa yang kita ada.
Berani-beranilah buat revolusi kenduri kahwin untuk kesejahteraan ummah! Kalau hantaran kahwin tak ada, mas kahwin boleh bertolak ansur, kenduri yang mampu, aku pasti, ramai anak muda hari ini yang akan berkahwin (dalam ertikata sebenar). Kalau ulamak bimbangkan maksiat berleluasa, ulamak patut pantau bab akad nikah dan walimah ni.