Selasa, 5 Ogos 2008

Pak Lebai bernama TV3


Mutakhir ni, disebabkan aku tak tahu nak buat apa di rumah, maka jam 8 malam, aku pun layanlah Buletin Utama. Ada dua perkara yang membuatkan aku terkejut hingga hampir aku memeluk agama Yahudi apabila aku menonton rancangan sitcom ni.


Pertama - setiap slot dalam sitcom ni dah ada penaja tersendiri. Slot berita dalam negeri ditaja oleh Petronas (mestilah, nak bagitau yang Petronas ni milik negara). Berita luar negeri ditaja oleh Bank Islam (nak tunjukkan kerajaan Malaysia ni masih Islam dan peka kepada masalah saudara di Palestin). Sukan pula ditaja oleh LG (sebab sukan dah jadi hiburan di Malaysia ni).


Kedua - sejak akhir-akhir ni aku perasan, sitcom ni dah masukkan dakwah-dakwah Islamiah. Pada Israk Mikraj yang lalu, tiba-tiba sitcom ni bertukar kepada rancangan agama Hal Ehwal Islam. Aku ingatkan ada berita yang mengatakan haiwan syurga bernama bura' tu ditemui. Akan tetapi, menerangkan apakah itu Israk Mikraj. Kemudian, tadi, dilaporkan berita kemalangan motosikal dan statistiknya. Sempat lagi pemberita tu nasihatkan supaya penunggang motosikal memakai topi keledar dan jangan lupa baca doa naik kenderaan! Hahahaha sejak bila TV3 ni masuk Islam? Apa nama Islam kepada TV3 ni - Haji 'Ta' 'Va' Al-Salasa? Hahahaha


Hey, kalian jangan salah faham. Aku tidak menghina Islam di sini. Aku cuma terkejut, betul-betul aku tak sangka. Bagi aku, baguslah usaha TV3 ni nak berdakwah sampai dalam rancangan sitcom Buletin Utama pun nak berdakwah. Ini baru betul-betul sitcom! Tapi, apakah yang menggerakkan hati hitam TV3 ni kepada cahaya kudus? Adakah TV3 ni dah sampai ke Gunung Sinai bertemu Allah? Ataupun, TV3 ditegur oleh Amy Search dan Sheila Rusly?


Kalian jangan fikir TV3 dah pergi Haji 3 kali, dan umrah 109 kali lalu mereka tergerak hati nak sampaikan dakwah. Tidak... Ini bukan soalnya. Soalnya di sini ialah dakwah TV3 ni samalah dengannya sebagai propaganda politik UMNO. Perhatikan betul-betul ya. UMNO hari ini tidak lagi membicarakan soal Melayu. UMNO hari ini sudah mula membicarakan soal ummah (samalah tu dengannya Melayu/Islam). Ini semua adalah umpan untuk memancing pengundi PAS. UMNO tahu, PAS tidak akan layan jika memperkatakan tentang nasib Melayu. Lalu di sini, UMNO terus menukar umpannya - perpaduan ummah. Ini semua taktik UMNO untuk mendapatkan kembali tanah dan fail-fail mereka yang kini di tangan Pakatan Rakyat. UMNO hari ini tidak bermain isu Melayu ditindas Cina, tetapi isu Islam diancam kafir! Hahahaha lawak, lawak...


Kalian harus berhati-hati dengan permainan UMNO yang baru ni. Segala taktik dan lakonan mereka ni akan terus-menerus menyerang pemikiran pakcik dan makcik di Kampung Sungai Korok. Isu agama adalah isu sensitif yang tak boleh dipermainkan di Malaysia ni kerana termaktub dalam perlembagaan - agama rasmi Malaysia ialah Islam (padahal perlembagaan pertama di dunia - Piagam Madinah, langsung tidak meletakkan Islam sebagai agama rasmi). Jadi apabila Pak Lebai TV3 ni memutarkan ayat-ayat Quran dan Hadis, maka manusia Sikh Karpal Singh dan manusia Buddha Lim Guan Eng dan manusia Hindu Sivarasa takut untuk mempersoalkan tentang Islam. Jika mereka mempersoalkan tentang Islam, maka seluruh penganut Islam akan melenting! Inilah yang UMNO mahukan! UMNO ingin membuktikan bahawa hanya UMNO sahajalah parti Melayu yang dirahmati Allah! Jika UMNO dapat dapat bergabung dengan PAS, maka mereka bukan saja dirahmati, malah 'confirm' masuk syurga! Hahahahaha...


Mungkin ada yang akan kata aku ni anti-Melayu dan ejen memporak-perandakan perpaduan di antara kaum. Tidak, aku tidak bermaksud untuk itu. Aku anti-perkauman! Habislah prinsip aku sebagai penganut kepercayaan Monotheis jika aku memecah-belahkan umat manusia. Tindakan UMNO mengislamkan TV3 itulah yang akan memporak-perandakan perpaduan. Percayalah. Kita, manusia di muka bumi bukanlah hamba kepada raja-raja, tetapi kita semua adalah hamba kepada Allah Ta'ala, Tuhan yang Maha Esa.


Tapi, kalau niat Haji TV3 ni betul, telus lagi integriti, tulus dan ikhlas kerana Allah Ta'ala, apa salahnya. Teruskanlah usaha murnimu itu.