Ahad, 30 Mac 2008

Komunis mati dalam teater 'Peristiwa Di Zoo'

Pada 21 Mac, 2008 lalu, aku pergi menonton teater di MTC. Tajuknya 'Peristiwa Di Zoo', arahan kawan aku, Lenny Deenerwan (jaga-jaga Lenny, aku nak kutuk kau, hahahaha). Aku sangat teruja sebenarnya dengan karya Edward Albee yang satu ni. Ops, terlupa, 'Peristiwa Di Zoo' ni adalah adaptasi dari naskah Edward Albee, 'The Zoo Story' (1958). Aku teruja dari segi nak pentaskannya suatu ketika dulu di USM (tetapi ada masalah la...) dan apabila Lenny cakap dia pentaskan naskah ini, aku teruja untuk menontonnya.

Dah lama aku nak tulis tentang hasil karya Lenny ni, tapi aku masih lagi terngiang-ngiang dengan politik Perak. Inipun aku terpaksa berhenti menulis tentang politik sekejap untuk menghormati bapak aku yang tergolong dalam 876 Ketua Kampung yang letak jawatan tu. Hehehe...

Baiklah, bagi sesiapa yang tidak tahu tentang cerita 'Peristiwa Di Zoo' ni, silalah pergi ke http://daribawahbayu.blogspot.com/2008/02/ada-apa-dalam-zoo-2.html dan http://daribawahbayu.blogspot.com/2008/02/ada-apa-dalam-zoo-prolog.html. Aku tak ada masa nak tulis daa...

Aku tulis di sini berdasarkan apa yang aku tonton malam itu dan situasi Malaysia hari ini, ya. Aku nak jelaskan betapa relevannya (perkataan relevan ni aku teringat zaman reformasi 1998) naskah ini di sini pada hari ini (2008) setelah 50 tahun lampau Albee menulisnya di New York. Ada dua watak sahaja dalam naskah ini iaitu Jo dan Pian. Kalau naskah asalnya, Jerry dan Peter. Jo, adalah wakil kepada kelompok masyarakat kelas bawahan (ala, marhain la tu) manakala Pian wakil kelompok masyarakat kelas menengah. Kerusi (bench) yang menjadi set dalam naskah ini adalah simbol kekuasaan. Oh,ya, setnya Lenny gambarkan di sebuah taman bersebelahan Zoo Negara (ada ke taman kat situ? Dalam zoo ada la... kat tepi tasik tempat P.Ramlee dengan Sharifah Hanim dating dalam filim 'Masam-masam Manis'). Pertemuan dua watak ini telah menimbulkan satu persoalan - antara kekosongan jiwa dan kekosongan harta. Kedua-duanya berkehendakkan kesempurnaan atau keselesaan atau kepuasan. Memang sudah menjadi tabi'i manusia, tidak pernah berpuashati.

Pian, yang bekerja sebagai eksekutif, berpendapatan tetap, berkeluarga, tiap-tiap hujung minggunya dihabiskan di kerusi di taman bersebelahan zoo, membaca akhbar dan majalah,tidak diganggu oleh sesiapapun... Dan tiba-tiba dia didatangi Jo, yang penampilannya saja membuatkan orang melabel dia sebagai gila (ada ke pakai jaket musim sejuk kat cuaca khatulistiwa KL ni?) Sikap Jo yang terlampau peramah itu telah mengganggu ketenangan yang dikecapi oleh Pian. Jo menceritakan kisahnya, bilik sewanya di Lorong Haji Taib (oklah tu dari tinggal di Choo Cheng Kay), tuan rumahnya, anjing tuan rumahnya, jiran bilik sewanya, perjalanannya ke zoo dan peristiwa di zoo. Manakala, Pian apabila ditanya oleh Jo, dia menceritakan tentang keluarganya, zoo mininya dan masalah kelelakiannya.

Nah, di sini kita pisahkan kedua-dua watak ini. Kita lihat Pian tidak pernah langsung menjalinkan hubungan dengan alam. Amat berbeza sekali dengan Jo, yang menjalin hubungan dengan semua orang di kediamannya termasuk anjing tuan rumahnya, lrt, jalanraya, binatang di zoo dan kita juga lihat bagaimana Jo menjalinkan hubungan dengan Pian. Apa yang aku nak sampaikan di sini ialah Jo ialah manusia yang berhubung dengan setiap makhluk dalam lingkaran masyarakatnya (komuniti) manakala Pian sangat terhad perhubungannya dengan masyarakat dan dia lebih mementingkan kerjanya. Orang yang lebih mementingkan kerja ini bolehlah aku golongkan sebagai kerabat IMPERIALIS. Orang yang suka bermasyarakat ini bolehlah aku kategorikan sebagai KOMUNIS.

Hah, Lenny, sepatutnya kau letakkan seorang lelaki tua berjanggut putih, berambut panjang putih (bukan A. Samad Said, tetapi Karl Marx) menjadi orang lalu-lalang kat taman tu dari tak ada orang langsung. Hehehe cadangan... cadangan....

Di penghampiran puncak cerita ini, mereka bertengkar dan berebutkan kerusi yang diduduki oleh Pian. Ada dialog yang diucapkan Pian ketika itu sangat terkesan pada otak aku - "Aku duduk kerusi dah lama tak ada orang kacau, tiba-tiba engkau datang, senang-senang nak rampas!" Hahahaha perasan tak kalian ini dialog siapa di Malaysia pada hari ini? Ini dialog orang-orang BN! Orang-orang BN yang dah selesa dengan kedudukan mereka dan hari ini kedudukan mereka tergugat! Hahahaha... Lenny, kau patut letak poster pilihanraya kat set kau tu (cadangan aku je la...). Kembali pada Jo dan Pian (Komunis lawan Imperialis), Pian takkan berganjak dari kerusinya dan mempertahankannya. Jo pula semakin mendesak supaya Pian boleh tinggalkan kerusi itu. Kemuncaknya, Pian mengajak Jo bergaduh sebagai lelaki tulen. Memandangkan Pian seorang yang tidak langsung terdidik dengan kesusahan, Jo mencadangkan Pian menggunakan pisau yang dibawa oleh Jo (komunis dan senjata memang tidak dapat dipisahkan kerana hanya itulah caranya untuk menumpaskan imperialis yang boleh membeli manusia dengan duit).

Tetapi di sini, untuk menggambarkan bahawa KOMUNIS ITU SUCI, Jo memberikan pisaunya kepada Pian. Mereka bergelut dan akhirnya Jo tertikam. Jo akhirnya didudukkan di kerusi yang mereka rebut tadi. Tapi apa maknanya mendapat apa yang dijuangkan kalau sudah tidak bernyawa. Memang dasar imperialis, akan membunuh komunis. Dalam cerita ini, tidak ditunjukkan sama ada Pian tertikam Jo ataupun Pian sengaja tikam Jo. Yang pasti Jo kena tikam. 1959, Fidel Castro berjaya menawan Cuba dan imperialis Amerika mengenakan sekatan dagangan terhadap Cuba dan pemerintahan Castro namun Cuba dan Castro tidak dapat dipisahkan.

Albee menulis naskah ini pada tahun 1958. Setahun kemudian Castro berjaya merevolusikan Cuba. 1948, Parti Komunis Malaya melancarkan serangan ke atas imperialis British. Adakah Albee ini seorang nujum yang tahu kesudahan komunis ini tidak ke mana ataupun memang itulah hakikat kemurnian dan keaslian akan pupus ditelan plastik?

Sabtu, 29 Mac 2008

Drama 8 terjunam! (2)

Ketakutan terhadap Cina adalah tema utama individu tertentu dalam UMNO mempersembahkan dramanya. Bagi mereka (UMNO), DAP ini samalah dengan Cina. Cina pula samalah dengan tokeh. Tokeh samalah dengan duit. Melayu pula samalah dengan tanah. Boleh juga Melayu sama dengan silat. Kalau aku katakan Melayu samalah dengan bodoh? Tentu aku tak boleh balik kampung selepas ini. Hahahaha jangan marah ya.

Drama yang dipersembahkan oleh individu tertentu ini berjaya menakutkan penontonnya yang tentunya Melayu. Dengan mengatakan tanah rizab Melayu akan diambil Cina, Cina akan membalas dendam terhadap Melayu di atas tragedi 13 Mei 1969, nasib Melayu akan jadi seperti Melayu di Pulau Pinang (Balik Pulau) yang tidak terbela (habis tu, siapa yang perintah Pulau Pinang sebelum ini kalau bukan BN?).

Mengenai tanah rizab Melayu ini, sewaktu Melayu UMNO berkuasa dulu, tanah ini sudah pun terjual kepada Cina. Kenapa sekarang baru nak ditimbulkan soal ini? British telah meletakkan Melayu di kampung, Cina di pekan dan India di estet. Masyarakat di pekan tentunya lebih berduit dari yang di kampung kerana pekan adalah pusat ekonomi. Melayu di kampung hanya bergantung kepada pertanian dan genetik Melayu ialah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Apalah ekonomi yang boleh dibuat di kampung? Apabila Cina di pekan (sebenarnya individu tertentu dari UMNO yang mencadangkan) memperkenalkan produk baru dan mesti dimiliki (sebenarnya produk itu cuma kehendak, tetapi sudah menjadi keperluan asas), maka Melayu di kampung dan India di estet terpaksa bekerja keras untuk memilikinya! Dan Melayu yang tidak mempunyai harta selain tanah ini terpaksa menjual tanah termasuk tanah rizab untuk tidak ketinggalan dalam perkembangan hidup di Malaysia! Kepada siapa lagi Melayu ini hendak menjual tanahnya kalau bukan kepada Cina yang tentunya berduit! India, terus ketinggalan di estet.

Jadi, kenapa setelah lebih 50 tahun UMNO memerintah, baru sekarang mereka sedar bahawa Cina itu mengancam Melayu? Masalahnya sekarang, Cina yang memerintah hari ini bukanlah Cina dari sekongkolan UMNO! Sebab itu UMNO sangat takut kerana mungkin Cina DAP ini lebih lurus bendul dalam pentadbiran negeri. Sudah menjadi lumrah alam, penipu akan takut kepada si lurus bendul dan penipu akan terus menipu dan menipu untuk memburukkan si lurus bendul.

Aku ingin tekankan di sini, aku langsung tidak menyokong mana-mana pihak pemerintah di Malaysia ni. Selagi di bawah naungan demokrasi, selagi itu akan ada penipu yang berkepentingan. Sama ada pembangkang atau kerajaan, sama saja dua kali lima. Kedua-dua mereka akan mengambil kesempatan sama ada sikit ataupun banyak, itu Allahu'alam. Komunisme tetap suci. Hahahaha.. Untuk orang Islam, Islam lah jawapannya (yang sebenar-benar Islam). Untuk bukan Islam, komunisme lah jawapannya. Tapi Islam yang diperjuangkan PAS adalah Islam korup! Islam yang tidak mengajar hormat orang lain. Islam PAS - apabila dengar saja orang UMNO, terus emosional, melenting.

Kembali semula ke Melayu takut Cina. Aku ada cadangan yang bernas. Kalau nak pakai, pakai, tak nak, sudah. Kita, masa kita budak-budak dulu, balik dari mengaji lepas Isyak, kena lalu kat pokok besar yang dikatakan berhantu, apa yang kita buat? Kita akan berjalan rapat-rapat dengan kumpulan kita. Kita bersatu. Masa mengaji tadi, kita bergaduh dengan budak tu, tapi bila berdepan dengan hantu, kita lupakan gaduh tadi. Kita bersatu untuk keselamatan semua. Bila kita bersatu, apa yang utama ialah - HORMAT-MENGHORMATI! Dan kita berjaya melintasi pokok besar berhantu itu dengan jayanya. Tetapi, bila kita sudah dewasa dan mempelajari pelbagai ilmu dunia dan akhirat, kita tidak lagi takut kepada pokok besar berhantu itu kerana kita tahu hantu itu juga makhluk Allah Ta'ala samalah macam kita, manusia. Malah kita MENGHORMATI hantu itu dan hantu juga akan HORMAT kita. Samalah Cina pun, makhluk Allah Ta'ala juga. Cuma Allah Ta'ala izinkan otak mereka ni lebih bergeliga dari Melayu. Tetapi, kalau Melayu pegang betul-betul hadis Rasul - "tuntulah ilmu sampai ke negeri China", tentu kita tidak takut lagi akan Cina.

Hah, apalagi Melayu UMNO! Pergilah belajar bahasa Cina pulak!

Allahu'alam.

Drama 8 terjunam!

Pada 26 Mac, 2008, seramai 876 Ketua Kampung di seluruh Perak telah meletak jawatan berkuatkuasa 1 Mei ini dengan alasan tidak sehaluan dengan kerajaan negeri yang baru yang terdiri daripada DAP, PAS dan PKR. 876 Ketua Kampung ini dahulu adalah yang dipilih oleh kerajaan BN sebelum ini dan secara otomatiknya 876 Ketua Kampung ini semestinya ahli UMNO/BN. Semasa PRU 12 baru-baru ini, 876 Ketua Kampung ini bermati-matian bekerja keras di bilik gerakan BN. Dan 876 Ketua Kampung ini sangat yakin bahawa parti junjungan mereka akan menang.

Tetapi malangnya kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari.

Dan paling malang sekali, mereka ini Melayu. Aku tertanya-tanya, apakah dan siapakah yang membuatkan 876 Ketua Kampung ini bersatu untuk meletak jawatan?

Di sini, kita dapat lihat bagaimana UMNO telah menyempitkan pemikiran ahlinya. UMNO tidak pernah mengajar 876 Ketua Kampung ini supaya berfikiran terbuka. UMNO juga tidak pernah menerangkan kepada 876 Ketua Kampung ini apakah itu demokrasi. Mereka tidak pernah diajar untuk menghormati orang lain kerana mereka merasakan diri mereka berkuasa. Mereka lupa bahawa keris yang menjadi simbol kekuasaan Melayu cara UMNO itu hanyalah besi buruk yang ditempa dan disepuh. Semangat "Hidup Melayu" atau semangat kebangsaan mereka telah menidakkan kekuasaan Allah Ta'ala yang disimbolkan pada alam jagat ini. Walaupun UMNO berjaya menghantar angkasawannya, tetapi mereka lupa bahawa bagaimana hendak mengurangkan beban rakyatnya dalam belanja seharian, yang termengah-mengah bekerja untuk tidak mahu ketinggalan.

UMNO/BN, seperti yang kita tahu, mereka ini sebuah parti yang mempunyai cita-cita yang teramat besar. Cita-cita besar mereka ini kebanyakannya bukanlah untuk kepentingan rakyat pun. Projek yang mereka buat untuk kemudahan rakyat akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung beban projek tersebut. Terowong SMART contohnya, rakyat hanya meminta supaya atasi masalah banjir. Rakyat langsung tidak meminta malah tidak terlintas pun di kepala otak mereka untuk dibuatkan sebuah terowong yang dikenakan tol. Sebenarnya, ini adalah projek untuk keuntungan individu tertentu sahaja, yang kepala otaknya adalah duit.

Dan individu tertentu inilah yang terkena demam panas, sakit jantung (ada yang meninggal dunia), demam kapialu, setelah menerima kekalahan pada PRU12 baru-baru ini. Kekuasaan individu tertentu ini telah hilang, maka hilanglah sumber pendapatannya yang lumayan. Dan oleh kerana umat Melayu ini didedahkan dengan rancangan TV yang beremosi realiti seperti 'Bersamamu', 'Jejak Kasih', 'Akademi Fantasia' dan drama perletakan jawatan Dr. M pada persidangan UMNO, maka individu tertentu ini telah belajar teknik lakonan untuk kasi orang menangis dengan jayanya. Lalu mereka pun mulalah mencari satu watak yang sangat sesuai untuk meraih simpati, empati penonton (mungkin hantu arwah Stanilavski datang mengajar).

Drama episod pertama dipentaskan. Penonton yang datang seramai 876 orang. Setelah selesai persembahan, penonton yang seramai 876 orang tadi bangun lalu memberikan tepukan gemuruh sambil airmata bercucuran. Kisah yang dipentaskan itu sangat menyentuh perasaan. Mereka yang 876 orang tadi pun bersemangat untuk membantu watak dalam cerita yang dipersembahkan.

Drama ini akan terus dipentaskan untuk menarik penonton yang lebih ramai. Suatu hari nanti, tidak hairanlah jika drama ini akan mempunyai rating yang tertinggi, mengatasi drama ' Janji Diana'.

Allahu'alam.

Isnin, 10 Mac 2008

Perak, D.A.P dan ....?

Betapa sukanya aku kali ini kerana 4 buah negeri (Kedah, Penang, Perak & Selangor) telah menerima kerajaan baru. Selain Kelantan berjaya dipertahankan oleh PAS. Syukur kepada mereka yang percayakan Tuhan & tahniah kepada mereka yang tidak percaya Tuhan. Ini adalah permulaan kepada demokrasi dan rakyat mula memahami istilah demokrasi yang sebenar. Kali ini, BN tidak lagi berasakan rakyatnya masih lagi bodoh, yang hanya mengikut telunjuk. Begitulah sebaliknya, rakyat tidak lagi mengikut BN sebulatnya.

Kedah telah diamanahkan kepada PAS, Penang kini milik DAP, Perak masih lagi kedengaran suara ketidakpuasan hati dan Selangor dirampas oleh PKR. Negeri-negeri di Pantai Barat Malaysia ini langsung tidak dapat dijangka keputusannya. Ini adalah sebuah kejutan. Kejutan kepada semua orang. Seperti kata Dr. Mahathir ketika ditemuramah oleh wartawan, "ada yang tak betul dalam Barisan Nasional. Rakyat marah dengan Barisan Nasional tetapi bimbang dengan kewibawaan pembangkang dan akhirnya rakyat tiada pilihan." Dan inilah hakikatnya. Kepada BN, muhasabahlah, carilah di mana silap. Kepada pembangkang (kini boleh dipanggil sebagai kerajaan negeri manakala BN menjadi pembangkang) tadbirlah dengan sebaik-baiknya.

Selepas sehari menerima keputusan PRU12, aku menerima SMS bertalu-talu. Ada yang ucapkan tahniah (untuk apa? Aku bukan bertanding pun), ada yang berpuas hati kerana BN kini sangat tergugat, ada yang buat lawak tentang Khir Toyo dan Samy Vellu, ada yang risau tentang nasib orang Melayu di Perak di bawah pemerintahan DAP.

Perak. Aku orang Perak, Kampung Lubok Merbau Kuala Kangsar. Kini, aku bekerja dan terpaksa menetap di KL. PRU12 baru-baru ni, aku tak balik pun mengundi (dah dua pilihanraya dah). Alasan aku - aku tak suka kedua-dua calon dan aku tak nak undi mana-mana calon yang bertanding di DUN Lubok Merbau dan Parlimen Padang Rengas. Jadi, buat apa aku balik mengundi? Jika ditanya aku nak calon yang bagaimana, dengan besar hati aku jawab seorang yang komunis (nanti akan dibincangkan kemudian). Selepas menerima keputusan yang Perak kini di tangan Kerajaan Campuran, aku terus menelefon bapakku (orang kuat BN) dan bertanyakan khabar. Yelah, orang tua, risau jugak... Jawab bapakku, "BN dah telungkup... Jawatan Ketua Kampung aku pun habis... Lagi bagus, aku nak rehat." Terdiam sekejap aku dengar jawapan bapak aku.

Ada seorang kawan aku dari Manong telefon aku katanya, "kena bukak pub la jawabnya. DAP dah memerintah". Seorang lagi kawan aku SMS risaukan hak orang Melayu akan dikuasai oleh DAP. Okey, begini jawapan kepada kerisauan kawan-kawan aku. Perak kini dimiliki oleh Kerajaan Campuran yang terdiri dari parti-parti DAP, PAS dan PKR. Majoriti yang menguasai DUN Perak ialah DAP maka manifesto yang layak memerintah Perak ialah DAP. Dan majoriti ahli DAP rata-ratanya bangsa CINA. Inilah sebenarnya yang merisaukan rakyat Melayu Perak. Aku menjawab di sini sebagai seorang individu yang tidak langsung mewakili mana-mana pihak. Jangan nanti tiba-tiba aku kena cop penderhaka.

Kepada orang Melayu Perak, bukalah telinga, mata dan otak seluas-luasnya. Sekarang, kita sedang mengalami proses demokrasi dalam ertikata yang sebenar. Bila kita tak suka kat anu dari parti anu, kita memilih anu yang satu lagi dari parti anu yang satu lagi. Kalau orang yang kita pilih tu tak jalankan tanggungjawabnya selama 4 tahun tempoh yang diberi, maka bila tiba masa, kita tukar pula kepada orang lain yang rasa kita boleh bertanggungjawab. Kalau kita suka cara pilihan kita tadi, kita teruslah pilih dia. Percayalah, bila proses begini berlaku, barulah hidup kita agak bermakna kerana kita ada pilihan.

Bila sebut DAP, kita terus terbayang bangsa Cina. Apabila Cina menjadi ketua, kita terus menganggap nasib kita celakalah. Jangan fikir begitu. Orang Melayu Perak jangan mengalah. Kalau itu yang jadi kebimbangan, cari mana hak yang betul-betul tak boleh disentuh, pertahankan. Lagipun, sejarah 13 Mei 1969 telah mengajar Cina supaya berhati-hati dengan Melayu. Dan majoriti penduduk Perak ialah Melayu. Kali ini, Melayu Perak tak boleh nak duduk diam dan berserah pada keadaan. Melayu Perak kena, KENA belajar berdikari. Kena berfikir, kena mencari ilmu sebanyak mungkin, kena banyak MEMBACA!!! Senang cerita, jangan sain selagi tak baca dan faham betul-betul sesuatu perjanjian.

Lagipun, bukan DAP sahaja di DUN tu. PAS dan PKR pun ada. Ramai jugak Melayu dalam DUN tu. Pembangkang yang terdiri dari BN tu pun masih ada yang Melayu. Walaupun DAP pernah buat penyataan yang dia takkan bekerja dengan PAS, dia hanya bekerja dengan PKR sahaja, kita tak perlulah bimbang. PKR itu sama dengan Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim sama dengan Melayu. PKR boleh menjadi 'telefon' antara DAP dan PAS. Lagipun, kalau DAP tak jaga Melayu, nak mampus?

Kepada mereka yang takut dengan pemerintahan DAP, terimalah hakikat bahawa inilah demokrasi yang sebenar. Rezeki datangnya dari Allah Ta'ala. Bukan dari Barisan Nasional.

Ahad, 2 Mac 2008

Artis, artis....

Kita, sejak masuk alaf baru ni, kita dihidangkan oleh TELEVISYEN dengan macam-macam rancangan realiti yang tujuannya mengajak kita-kita ni jadi artis. "Nak jadi glamour" bak kata Osman Tikus dalam filem 'Kembara Seniman Jalanan'. Aku tak tahu kenapa orang kita dengan artis ni macam, macam... ? Tak tahu aku nak tulis macam mana. Yang aku tahu, orang kita pandang artis ni macam Tuhan. Dipuja-puja bagai nak rak. Tuhan pasti cemburu sebab orang lebih sanjung artis dari Rasul dan Tuhan.

Kita sediakala tahu, kalau sebut saja Siti Nurhaliza, pasti dapat terbayang raut wajahnya dengan tepat, tahu tahi lalatnya kat mana, bila tarikh lahir dia, nama bidan yang sambut dia, warna tilam dia, nama mamak yang trim misai laki dia (hahahaha)... Begitu juga kalau sebut saja Ida Nerina (ehem, ehem). Sebut saja Awie, Amy, Mawi, M. Nasir, Jamal Abdillah, Saleem, Ramlah Ram, Ben Nathan... semua orang tahu yang mereka ini ARTIS!

Ini pengalaman aku, aku pernah keluar dengan seorang awek cun yang kalau dilihat dan dilabel secara kasarnya, awek ni 'bimbo'. Cara pakainya dah macam artis. Nama glamournya pun memang dia nak jadi artis... Dia pun ada pengalaman jadi extra dalam banyak drama Melayu (begitu kuat pengaruh artis ni). Aku mulanya terberkenanlah dengan awek ni. Tapi, aku ni memang dilahirkan tak pandai langsung nak mengurat, jadi aku tanyalah dia "siapa PM Malaysia yang kedua?". Terpinga-pinga dia tak boleh jawab. "Anwar Ibrahim," jawab awek ni tadi. Kahkahkahkahkahkah gelak besar aku. Sah, dia ni bimbo!

Baru-baru ni, aku tengok Buletin Utama, Siti Nurhaliza dan suami membantu BN berkempen di Gemas. Kemudian, Camelia pula turun padang. Angkasawan Negara (ni kira artis la kut...) pun tak terlepas. Dan hasilnya orang-orang kampung macam dapat emas jatuh dari langit, seronok tak terkata dapat jumpa artis kesayangan mereka. Mata tak berkelip, ada makcik yang nampak macam uzur tapi masih lagi boleh menari bila artis ni menyanyi depan diorang. Peh, kalau macam ni strategi BN, makcik yang dulu sokong PAS pun boleh tukar haluan! Hantar artis je...

Membuat keputusan


Anak aku, Emir Tulus dah dua tahun usianya pada 27 Februari itu hari. Alhamdulillah, dah pandai cakap sikit-sikit. Perkataan yang paling kerap disebut ialah 'cicak' dan 'riang-riang'. Jadi, memandangkan anak aku ni sentiasa 'happy', dan dia suka sangat dengan binatang / serangga yang bernama 'riang-riang' ni, maka aku namakan blog aku sebagai "riang-riang". Hehehehe

Dalam dua tahun ni, macam-macam aku dan anak lalui. Semuanya tragedi - berebut hak penjagaan, aku diburu dan nyaris dibunuh oleh orang PEKIDA (bagi aku diorang ni tahu nak belasah orang je), aku nyaris tak ada kerja (lagi?), anak aku kejap kat orang tu, kejap kat orang ni, gila meroyan, gila talak. Kesian anak aku, gara-gara satu keputusan aku yang bodoh, yang hanya satu saat je, anak aku jadi baby yang depress. Aku lagi la depress. Tapi, atas bantuan kawan-kawan yang banyak bagi khidmat nasihat dan pandangan, aku buat satu lagi keputusan untuk memperbaiki hidup aku dan anak supaya menjadi lebih riang...

Aku sembahyang siang malam tunggang tonggek, baca Quran yang dah lama berhabuk atas almari, berkurung dalam bilik, muhasabbah, jadi pendiam (sampai housemate aku bengang gila dengan aku sebab aku langsung tak cakap apa plan aku untuk selamatkan anak aku). Oh ya, perebutan penjagaan anak aku ni rasa macam Israel dan Palestin yang masing-masing berebutkan Baitulmuqaddis. Tak tahu siapa Israel, siapa Palestin. Aku ke Israel, atau janda aku Israel? Aku tak boleh nak tulis macam mana rasanya ketika itu. Memang dahsyat. Macam mana nak tulis rasanya kena serang dengan pisau dan disaksikan manusia-manusia di Jalan Parry, KL. Macam mana nak tulis rasanya aku kena ugut bunuh dan terpaksa talipon polis dan polis datang dengan siren sehinggakan satu Bukit Bintang tengok aku? Dan aku dapat naik patrol car buat kali ketiga (sebelum ni ada 2 kes lain). Dan macam mana aku nak tulis usaha aku untuk berdamai dan rujuk kembali dengan janda aku. Masa tu, rasa menyesal aku datang gila-gila menyerang. Dengan kata lain, gila talak. Hahahahaha sehinggalah pada satu detik, aku buat keputusan untuk bawak lari anak aku ke kampung.

Tapi sekarang ni, benda-benda ni semua berlalu macam tu je. Makin lama, makin hilang. Aku dengan janda pun tak gaduh dah dan apa yang penting, masa depan anak kami. Dah jodoh tak ada dan takdir kami macam ni. Redha lah...

Alhamdulillah, sekarang ni anak aku pun dah riang, aku pun dah riang, walaupun kami berdua tidak ada keriangan dari seorang perempuan yang mana kami berdua sangat memerlukan (sound macam aku desperate gila, hahahahaha)