P. Ramlee. Aku tak tahu apasal dan kenapa ramai sangat yang memuja dia. Termasuklah aku. Dulu, sebelum aku didedahkan dengan ilmu filem, aku samalah seperti orang lain yang minat P. Ramlee. Ambil dialog-dialog dia buat lawak dengan kawan-kawan, nyanyi ikut stail dia (tak sedap pun suara aku - langsung!), dan akan menonton filem-filemnya berulang kali tak jemu-jemu! Pelik kan?
Sehinggalah aku diajak oleh Sobrie Annuar (ehem) menulis skrip 'Dari Jalan Ampas Ke Jalan Ampang' (tak siap pun skrip ni), kisah hidup P. Ramlee. Aku dan Sobrie pun pergilah ke Rumah P. Ramlee di Taman Furlong (Taman P. Ramlee) di Setapak. Dapatlah aku banyak maklumat tentang dia sehingga aku pun terpengaruh lalu aku menghisap 'Lucky Strike' (tapi sekarang aku tak nak bayar cukai kat kerajaan, jadi aku hisap 'Gudang Garam Nusantara' bebas cukai). Kemudian, aku pergi pula ke Rumah Kelahiran P. Ramlee, bersebelahan dengan Taman Budaya Pulau Pinang. Di sini, aku diceritakan tentang P. Ramlee oleh penjaga rumah itu yang juga kawan P. Ramlee sewaktu remaja. Dah tua sangat orangnya.
"P. Ramlee ni ada menuntut. Bukan kosong..." kata pakcik tu. "Pernah dia bergaduh dengan Cina, Cina tu ramai, dia sorang." sambung pakcik tu lagi bercerita. "Pernah jugak ada anak dara yang selalu ulang-alik depan rumah P. Ramlee sebab nak tengok muka P. Ramlee." Hah, aku tak hairan lah macam mana P. Ramlee boleh dapat Norizan dari Sultan Perak. Tapi, korang semua boleh bayangkan tak bagaimana rupa P. Ramlee waktu remaja? Dengan kurusnya, dengan jerawat penuh kat mukanya, ada jugak anak dara yang tergila-gilakan dia. Dahsyat... Aku tahu rahsianya setelah aku tengok gambar dia waktu muda. Di bawahnya ada tandatangan dia dan bertulis "dari insan hina lagi berjerawat". Hehehehehe.... P. Ramlee sangat merendah diri orangnya. Ada satu lagi kes yang menarik di mana P. Ramlee hendak berjumpa dengan Kasma Boothy. P. Ramlee pakai baju pagoda yang koyak di belakang lalu dia sarungkan baju kot. Dahsyat kan dia? Memang patut dia jadi macam ni sekarang - dipuja-puja.
Baru-baru ini, aku baca buku 'Bapakku P. Ramlee' tulisan anak tunggalnya, Nasir. Buku ini sangat tersentuh. Korang bacalah sendiri.
Aku nak tulis pasal filem-filem dia. Pertama sekali aku nak tulis pasal P. Ramlee dan anti-feudal. Gerakan anti feudal ni dah lama dah bertapak. Sejak zaman Nabi Ibrahim lagi yang menentang Raja Namrud. Kemudian diikuti kisah Ashabul Kahfi, kisah Nabi Musa dan Firaun, sehinggalah zaman Jean-Jacques Rousseau yang melancarkan Revolusi Perancis, seterusnya diikuti oleh Bonaparte, Karl Marx dan Engels, Lenin, Gandhi, Trotsky, Che Guevara, Burhanuddin Al Helmi, Chin Peng, Hang Jebat dan ramai lagi. Kenapa aku kata P. Ramlee ni anti-feudal?
Kita tengok semula filem-filem dia - Nujum Pa' Belalang, Musang Berjanggut dan Antara Dua Darjat. Bagaimana P. Ramlee memperbodohkan Sultan dalam filem Nujum Pa' Belalang dan Musang Berjanggut paling ketara - Sultan yang tak ada anak, mengambil anak angkat dari kalangan rakyat kebanyakan dan akhirnya genetik dari rakyat kebanyakan itu lebih bijak pandai dari Sultan yang memerintah. Dan paling serius P. Ramlee melontarkan rasa anti-feudalnya ialah dalam filem Antara Dua Darjat di mana dialog Ghazali kepada Engku Mukhriz - "kau banggakan darah keturunan kau, tapi hari ini darah kau dan darah aku adalah sama!" (beginilah lebih kurang dialog dia. Rai, kalau salah tolong betulkan ye...). Apakah yang menyebabkan P. Ramlee ni anti-feudal? Adakah kerana Sultan Perak menghina dia lalu diberinya Norizan ataupun P. Ramlee hidup di tempat yang tak ada Sultan? Iyalah, dia lahir dan membesar di Pulau Pinang dan bekerja pula di Singapura. Bukankah kedua-dua negeri ini tergadai pada Inggeris akibat kebodohan Sultan.
Ini jawapannya. P. Ramlee lahir dari kalangan orang miskin di Pulau Pinang. Biasanya cita-cita orang miskin ni sangatlah besar dan cita-cita P. Ramlee ialah ingin menghapuskan kelas kehidupan (kasta) yang membezakan orang miskin dan orang kaya. Baginya, semua manusia adalah sama. Rezeki mestilah diberi sama rata. Tidak ada istilah 'ini aku punya harta'. Dan ini adalah Manifesto Komunis dan juga ajaran Islam yang dibawa oleh Muhammad SAW. Hah, aku suka hati nak terangkan simbol sembahyang jemaah dalam Islam di mana seorang menjadi Imam dan diikuti oleh makmum yang ramai. Tidak ada kelas kasta di sini. Kau PM ke, kau Raja ke, kau duduklah di saf yang mana kau sampai. Kalau kau nak duduk depan, kau datanglah awal ke masjid. Inilah komunis! Aku taknak kelirukan korang dengan komunis dan Islam. Senang cerita, Islam itu komunis, komunis itu Islam. Cuma Islam berpaksikan Allah Ta'ala dan komunis berpaksikan siapa ketua. Pelaksanaan sebagai manusia di muka bumi, sama saja Islam dan komunis.
Jadi, P. Ramlee telah membawa pendekatan Islam dan komunis dalam filem-filemnya - Tiga Abdul, Ali Baba Bujang Lapuk, Penarek Becha, Ibu Mertuaku, filem-filem ini dengan terangnya P. Ramlee anti borjois. Orang kaya yang bongkak yang digambarkan oleh P. Ramlee dalam filem-filemnya akhirnya menerima kebangkitan orang miskin. Paling ketara ialah di dalam filem Tiga Abdul di mana P. Ramlee sangat menekankan zakat. Di dalam al Quran, banyak ayat yang menyuruh kita infakkan rezeki kepada fakir miskin - berzakat. Dan inilah perjuangan P. Ramlee! P. Ramlee secara peribadinya juga suka bersedekah. Tanyalah kawan-kawan dia tentang P. Ramlee yang sangat bermurah hati sehingga dia tidak ada duit untuk anaknya yang hendakkan sebuah gitar - padahal dia 'big star' tu ketika itu.
Pada hari ini, Malaysia yang masih di bawah pemerintahan UMNO, telah menyanjung P. Ramlee sebagai wira mereka. Tidakkah mereka sedar yang perjuangan P. Ramlee dan UMNO sangatlah berbeza jauh. UMNO mementingkan projek-projek mega dan merampas tanah orang miskin untuk didirikan kondominium mewah! UMNO menggunakan polis-polisnya untuk membelasah orang miskin yang menuntut haknya sebagai rakyat! UMNO sangat mengutamakan RASUAH! Tidakkah orang UMNO yang menyanjung P. Ramlee ini berasa malu kerana ideologi mereka sangat berbeza? O, baru aku faham. Rupa-rupanya UMNO menjadikan P. Ramlee sebagai 'brand' yang boleh dijual!