Sabtu, 17 Mei 2008

SembangSumbang

Hehehe, aku teringat dialog dalam cerita C.S.I (tak ingat sama ada Miami, New York ataupun Vegas, dah lama dah aku tengok), di mana dua orang dari anggota mereka menyiasat kes bunuh di sebuah universiti, di fakulti seni - filem. Mereka menyoalsiasat seorang Profesor dalam bidang filem. Yang lawaknya, watak penyiasat ni pun ketawa katanya "Senang betul nak dapat ijazah dengan hanya menonton filem! Aku dulu terpaksa pecah kepala belajar sains untuk dapat ijazah!" Ini dialog salah seorang penyiasat C.S.I yang aku dah terjemahkan ke bahasa Melayu. Aku pun tergelak-gelak. Dan ada satu lagi kartun dalam majalah New Yorker yang menggambarkan seorang pelukis yang murung dan seorang awek yang seksi dengan dialognya "Siapa yang nak kahwin dengan graduan seni?" Hahahaha aku terus ketawa besar (HAHAHAHAHAHA) kerana terkenangkan nasib kawan-kawan, termasuklah diri aku sendiri. HAHAHAHAHAHA... Jangan marah ha, kawan. Biarlah diorang cakap reput dalam seluar, asalkan kerja-kerja yang kita buat ikhlas. Kita ni antara golongan zuhud. Rezeki, jodoh dan maut adalah ketentuan Allah Ta'ala.

Sebenarnya, belajar filem ni pun pecah kepala jugak. Tak ada benda yang senang lah. Bukanlah apabila belajar bidang perfileman, kita belajar buat filem dan menonton filem. Kena belajar teori-mori yang macam-macam tu. Kena belajar pasal politik, ekonomi, sosial, perniagaan, falsafah timur dan barat, geografi, sejarah, ilmu bintang, pertanian, sains, matematik, fotografi, lukisan, drama, lakonan, psikologi, pertukangan, sastera, dan macam-macam lagi lah!

Dalam prospektus London Film School ada gambar bilik bujang yang di dindingnya tertulis 'Film is Art, Theatre is Life, Television is Furniture'. Kenyataan ini sangatlah terkesan kat aku. Memang betul la filem itu seni yang seluruhnya. Seni ilmu. Seseorang pembuat filem atau pengkritik filem, harus tahu tentang banyak ilmu. Katakanlah, apabila menonton filem-filem Cheng Kaige ataupun Zhang Yi Mao, kita akan menonton cerita dan fotografi yang menarik. Tetapi, kita tidak pula mengkaji di sebalik cerita yang disampaikan. Apa yang berlaku sebenarnya di negeri China itu ketika Zhang Yi Mao membuat filemnya? Adakah Revolusi Budaya yang dilancarkan oleh Mao Zedong di negeri China pada tahun 1966 itu memberi kesan? Di sini, secara tidak langsung kita sudah mempelajari politik, sejarah dan budaya negeri China.

Apabila kita hendak 'shooting' di pantai, kita kena tahu pukul berapa air laut pasang dan surut. Kalau kita hendak 'shooting' di sawah padi yang menguning, kita kena tahu jadual penanaman padi. Tidaklah nanti kita datang salah waktu. Rupa-rupanya waktu semai benih. Mana nak dapat padi yang menguning tu! Di sini, kita sudah belajar ilmu geografi dan pertanian. Begitu juga hujan yang ada banyak jenis (di sini Akira Kurosawa sangat pakar dalam hujan buatan - bayangkan dia boleh dapatkan suasana hujan panas!). Untuk penerbit filem, sudah tentunya kena belajar ilmu perniagaan. Dan kalau ada ahli produksi yang histeria, dirasuk, hah! Kan kena belajar ilmu agama jugak tu.

Filem ni, bukanlah semata-mata kita lihat selebriti di layar perak. Bukanlah gelak ketawa saja yang kita harus ambil. Bagi sesiapa yang sukakan ilmu, filem sangat membantu. Dalam bidang sains, kita lihat saja filem-filem fiksyen sains hollywood! Jadi, taraf Profesor dalam bidang filem dan graduan seni bukanlah calang-calang orang. Hehehehe... Betul tak Prof.! (tanya budak-budak UiTM kat Puncak Perdana tu, diorang tahu la siapa Prof.! - alah korang pun boleh agak siapa dia ni...)