Rabu, 7 Mei 2008

SembangSumbang

Semasa aku di Akademi Seni Kebangsaan (bukan ASWARA ye... Tempat belajar aku dah tak ada. Namanya pun dah padam, kampusnya pun dah roboh di Jalan Ampang sana dan kampus di Empire Tower kini milik orang, aduh, sedihnya... - ini cerita ranting je), aku disuruh oleh seorang pensyarah yang juga isteri kepada komposer terkenal tanahair supaya keluar untuk mencari cerita untuk ditulis. Tamat sahaja pengajian, aku sempat menulis skrip 'Saksi' yang dikembang-kuncupkan oleh U-Wei Hj. Shaari menjadi 'Wangi Jadi Saksi'. Semasa dalam pengajian, aku sempat menulis 'Episod Terakhir Caesar' dan akhirnya menjadi 'Gedebe'.

Aku tak ada cerita nak ditulis (sebenarnya ada tapi terlalu banyak sehingga tak tahu nak masuk mana cerita-cerita yang aku kutip). Jadi, di kesempatan yang ada, aku meminjam karya orang seperti 'Julius Caesar' dan 'Hikayat Hang Tuah' lalu aku olah menjadi cerita yang hampir dengan kehidupan dan pemikiran aku. Di sini, aku nak bercerita tentang kaum pekerja di Malaysia amnya, di Kuala Lumpur khususnya. Kita kongsi pengalaman ye. Selama ini aku tidak menulis kerana aku sedang mengumpul cerita. Dan hari ini, aku rasa, aku patut berkongsi cerita yang banyak aku simpan. Aku tak duduk di kafe sambil minum wain, memerhati gelagat manusia, aku tak duduk di depan komputer, memikirkan cerita, aku juga tidak hanya membaca dan mengarang. Aku turun padang, jumpa masyarakat, bercampur-gaul, berpakaian biasa, lepak di lorong-lorong dan paling penting - 'selamat tinggal red wine, selamat datang stout!' Hahahaha

Maka sahibul hikayat, diceriterakan zaman pemerintahan UMNO yang cemerlang, gemilang, terbilang, yang integriti amalan kita, yang Malaysia Boleh!, yang... Eh, berapa banyak slogan daaa? Tersebutlah alkisah di negeri Sloganisia (hahaha), di sebuah ceruk pekan yang sedang enak membangun dengan kompleks membeli-belah, kondominium mahal dan lebuhraya bertol sehingga rumah-rumah papan yang sudah bertapak berpuluh-puluh tahun dirobohkan semata-mata demi pembangunan...

Di ceruk pekan ini terdengarlah keluh-keluhan, sedu-sedan dan sungai yang mengalir sehingga banjir bukanlah semata air bukit dan longkang tetapi termasuklah air peluh kudrat keringat dan air mata (nak sebut jugak ke air mani? Sebutlah ye) dan air mani (hahahaha) penduduk-penduduk di ceruk pekan ini yang bertungkus-lumus mengejar pembangunan. Dan ceritera ini dikhususkanlah kepada sekelompok manusia di antara jutaan penduduk ceruk pekan ini.

CERITA SATU

Sekumpulan seniman yang bekerja di kelab malam, bekerja seperti biasa, menghias kelab (kumpulan ini dipanggil 'penghias neraka'). Kerja mereka mudah (kerana mereka ini golongan mahir, sebab itu mudah). Gaji mereka tidaklah setinggi pegawai kerajaan yang ada diploma walaupun mereka masing-masing punya diploma dan ijazah. Gaji mereka samalah dengan pegawai kerajaan yang ada diploma 15 tahun lepas. Tetapi, kerana minat, mereka bekerja dengan hati yang riang gembira.

Tibalah satu hari, entah bagaimana tokeh kelab yang berbangsa Cina ini sudah mendapat projek buat prop untuk produksi filem yang berskala besar dari negeri orang putih. Maka kumpulan ini dikerah tenaga sehabisnya untuk menyiapkan prop sehingga terlupalah mereka ini akan penat dan anak bini kerana terlalu khayal membuat kerja. Masa yang diambil untuk menyiapkan prop ini ialah sebulan dan akhirnya siap. Untuk pengetahuan pembaca, projek ini tidak ada kena mengena dengan kerja seharian sebagai penghias neraka itu. Dalam pada menyiapkan projek mega ini, kumpulan ini terpaksa membuat kerja harian mereka yang semakin lama semakin bertambah.

Apabila projek mega ini siap dan dihantar kepada produksi filem berkenaan, gembira yang tidak terkata kerana berjaya menyiapkan dalam keadaan yang sangat mendesak. Mereka meraikan kejayaan mereka di kedai mamak, pekena roti tampal dan air suam. Beberapa minggu selepas itu, tokeh kelab yang berbangsa Cina tadi memberitahu bahawa produksi tadi sangat berpuas hati dengan hasil kerja kumpulan ini dan tokeh Cina yang untung beribu-ribu ini berbesar hati memberi saguhati (bonus) kepada kumpulan ini. Di dalam hati kumpulan ini pastinya berangan mendapat imbuhan yang sangat berbaloi dengan kerja yang begitu mencabar minda dan tenaga. Tibalah harinya tokeh Cina ini memberi saguhati kepada mereka. Alangkah terkejutnya mereka mendapati saguhati yang diterima cuma berjumlah RM66 setiap orang. Ahli kumpulan ini seramai 6 orang sahaja. Masing-masing selepas menerima saguhati, mengucapkan syukur dan terus ke pasaraya membeli lampin dan susu untuk anak-anak.

CERITA DUA

Di sebuah restoran yang tokehnya berbangsa India, menyajikan masakan India dan pekerjanya juga datang dari India. Perniagaan restoran ini sangat maju sehingga tokehnya berjaya membeli Nissan Terrano, Ford Ranger dan Kia Pregio. Pakaian tokeh dan isterinya pun tidak kalah dan sentiasa bergaya. Apabila dilihat pada pakaian pekerjanya, seolah-olah anda tidak menempuh hari esok kerana pakaian mereka hanyalah sehelai itu. Pekerja-pekerjanya bekerja tak kurang dari 12 jam sehari. Bayangkanlah bekerja sebagai pelayan restoran, yang kena berjalan dan berdiri sepanjang masa (siapa yang pernah berpengalaman sebagai pelayan restoran pasti tahu peritnya).

Dan diperhatikan pada wajah pekerja-pekerja ini, wajah mereka seperti merenung nasib dan apabila ditanya kenapa, jawabnya "gaji sudah 3 bulan tak dapat".

Tibalah satu hari yang sangat mengejutkan, restoran itu disita kerana tidak membayar sewa bulanan. Bila dah kena sita tu, pastinya sudah 3 bulan tidak dibayar. Dan wajah-wajah pekerja ini jauh lebih muram dari biasa kerana pastinya mereka memberitahu keluarga di Chennai yang dia bekerja berhampiran dengan KLCC dan harapan serta impian mereka untuk keluarga apabila kembali ke kampung tentunya pecah berderai.

Tokeh berbangsa India itu tetap tenang walaupun kedainya disita dan isterinya masih setia bergaya.

CERITA TIGA

Pemuda Parti Kebangsaan menganjurkan pertandingan boria di Pulau Pinang. Maka Pemuda Parti Kebangsaan Wilayah Persekutuan tidak mahu ketinggalan menyertainya lalu dikumpulkanlah pemuda-pemuda yang berbakat dalam nyanyian dan tarian DAN dijanjikan dengan bayaran lumayan. Di hari pertandingan, dengan takdir Allah Ta'ala, suara penyanyi utama mengalami masalah - sakit tekak. Keputusannya kumpulan ini kalah walaupun pada mulanya dianggap oleh juri sebagai kumpulan harapan untuk menang.

Sehingga ke hari ini, masih belum lagi dijelaskan bayaran kepada pemuda-pemuda yang berbakat tadi walaupun mereka sebelumnya sangat teruja sehingga sanggup membazir masa dan minyak kereta untuk berlatih.

* * *

Inilah kebenaran cerita di negeri Sloganisia.