Isnin, 30 Jun 2008

Punei-punei hebat di Malaysia - Anwar Ibrahim, Syed Alwi & Tok Perak


Hari Sabtu itu hari, aku dikejutkan dengan berita penangkapan pembantu Anwar Ibrahim yang tidak diketahui latarbelakangnya, dan dipaksa atau dengan kerelaan hati mengaku beliau diliwat oleh Anwar Ibrahim. Semalam, aku dikejutkan lagi dengan berita Anwar Ibrahim berlindung di kedutaan Turki setelah diugut bunuh. Kemudian, reaksi Abdullah Badawi juga 'terkejut' di atas apa yang berlaku pada Anwar Ibrahim. Hey, apa dah jadi dengan Malaysia ni? Apa lagi la drama yang UMNO nak buat pulak kali ni?

Malam semalam, aku sempat menonton teater di Dewan Bahasa dan Pustaka - 'Tok Perak - Yang Mencari dan Yang Menanti - Drama Sepintas Lalu' (panjangnya tajuk...). Tok Perak, tak lain tak bukan, milik Seniman Negara Dato' Syed Alwi. Ini karyanya yang terbaru. Siapa yang pernah baca teks drama ini atau pernah menonton sebelum ini sama ada teater atau siri TV, pasti sangat kenal dengan manusia yang bernama Tok Perak ni, seorang manusia Melayu yang menjual/menjaja ubat di jalanan - ubat untuk kejantanan (ubat lemah syahwat la tu...). Akan tetapi, sentuhan Tok Perak pada tahun 2008 ni (teks asal pada tahun 1974), sangatlah berbeza dengan yang asal. Para pengkaji drama Melayu patut sangat menontonnya dan sayangnya persembahan ini berlangsung ketika ramai pelajar sekolah drama & seni persembahan sedang bercuti sakan (apa la DBP ni...).

Kali ini, Tok Perak masih lagi menjual ubat dan masih lagi dibantu seorang gadis yang sangat mengiurkan. Akan tetapi, Tok Perak tidak pula berjumpa dengan keluarga Hamid, tetapi berjumpa dengan birokrasi-birokrasi yang menghalang aktiviti Tok Perak menjual ubat. Walaupun dihalang dan diancam oleh masa (alaf baru, kononnya), Tok Perak tetap setia dengan ubat-ubatnya dan mengembara ke Utara, Selatan, Timur dan Barat. Namun, di mana-mana saja ada halangan birokrasi dengan kerenah mereka dengan alasan itu dan ini dan rasuah adalah jawapan untuk lepas dari halangan ini.

Di satu tempat, ada manusia-manusia yang hauskan ubat-ubat Tok Perak malangnya kumpulan manusia ini sangatlah berubah jauh dari akar umbi yang dibawa oleh Tok Perak. Kumpulan manusia ini (Melayu) yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai sambal belacan mereka. Kemunculan Tok Perak di tengah-tengah khalayak ini sedikitpun tidak menjanggalkan. Malah Tok Perak sedia terima arus perubahan kerana Tok Perak hanya mahu menjual ubatnya walaupun dalam bahasa Inggeris. Di sini pula, muncul lagi satu kumpulan yang merindukan Tok Perak yang seperti sebelumnya - berbahasa Melayu (ini masalah pendidikan bahasa la ni) dan terjadi perbalahan kecil dan bagi Tok Perak, "Bahasa bukan jiwa bangsa. Budaya itu jiwa bangsa" (aku tak berapa gemar sangat slogan ni sebab aku tak sokong semangat kebangsaan).

Biarlah dalam bahasa apa pun, janji tujuannya satu. Itulah yang dimaksudkan Tok Perak dalam adegan ini. Semangat globalisasi melalui bahasa yang cuba dibawakan oleh Syed Alwi ini membuktikan, kita dalam konteks Malaysia yang kecil ini, yang terkandung di dalamnya pelbagai bangsa dan bahasa, bersatulah dan hidup dalam rukun dan damai. Kita manusia ini sama saja dan hidup punya satu tujuan - mati dan hidup di alam lain. Tetapi, di sudut lain, Tok Perak dikaitkan dengan kesenian negara, dengan kemunculan Zaibo yang merupakan Sarjana Seni dan menjadikan Tok Perak sebagai idolanya dalam bidang lakonan. Yang menarik di sini, perbincangan antara Tok Perak dan Zaibo ini berlaku ketika angin ribut taufan kuat dan guruh berdentum-dentam, seolah-olah kesenian negara dibawa berbincang macam mana sekalipun, tetap ada halangan dan tidak pernah sampai ke penyudahan. Akibatnya, selepas taufan reda, maka banyak bangunan runtuh dan manusia mati bergelimpangan.

Hah, ini Syed Alwi cuba menyatakan pandangannya - kesenian penting dalam pengisian rohani seseorang manusia dan tanpanya, kemanusiaan dan tamadun akan runtuh. Seni itu makanan jiwa (lebih kurang begitulah...). Jangan dihalang seni ini dengan birokrasi-birokrasi yang bermacam-macam ni. Seni tak boleh disekat dan seni ini sangat fleksibel sifatnya. Boleh saja dimasukkan ke dalam mana-mana tempat dan tujuannya satu - menguatkan batin (bukan punei haa... orang Melayu ni bila sebut batin je, terus teringat punei). Itu yang digambarkan melalui Tok Perak seorang seniman sebenarnya, bukan penjual ubat dan ubat lemah syahwatnya itu ialah karya seni untuk mereka yang jiwanya sedang kacau. Tuhan dah takdirkan manusia perlukan kesenian untuk kebahagian hidup waimah bagi mereka yang ATHEIS sekalipun akan tetap menyokong kenyataan ini.
Jadi, Tok Perak, tolonglah jual ubat Tok Perak kepada orang-orang UMNO, PEKAIDA (pekida le tu...), Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Ghani Patail. Mereka sangat memerlukannya... HAHAHAHA PUNEI KAMU! (sambil menyelak kain pelikatku)
*** punei (Perak) - alat kelamin lelaki

Rabu, 25 Jun 2008

PEMBERITAHUAN

Saudara,

Ayuh kita bersama-sama mendesak kerajaan BN supaya turunkan harga minyak!

Maka dengan itu, ayuh kita ke padang bersebelahan A&W PJ (depan Amcorp Mall) pada 6 Julai 2008 (Ahad) untuk menyertai perhimpunan aman serta konsert dan pidato selama 24 jam bermula jam 10 pagi.

Jangan komplen lagi pasal harga minyak. Sekarang masa untuk bertindak. Perang diwajibkan untuk kita pertahankan hak! Bak kata Karl Marx:

WORKERS ALL OF LANDS, UNITE!

p/s: pakai baju merah dan bawa lilin.

protes2008.blogspot.com/

Isnin, 16 Jun 2008

Buah 'Nyor' Busuk


Adalah tak patut aku tak ucapkan 'Selamat Hari Bapa' kepada bapak aku. Aku ada banyak kisah dengan orang tua aku ni. Sebab apa, masa bapak aku pencen askar, aku baru umur 3 tahun. Jadi, aku ada banyak masa bersama bapak aku. Abang-abang aku tak dapat sebab bapak aku selalu kena posting ke sana ke mari. Bila bapak aku dah pencen, abang-abang aku dah mula merantau masuk universiti, maktab, institut atau apa-apalah. Masa aku sekolah rendah, waktu nak tidur, kami berdua selalu dengar bunyi keretapi yang sayup-sayup je hon dia (gila nostalgia). Sekarang dah tak dengar dah... Bunyi motor je. Tiap-tiap kali dengar bunyi hon keretapi tu, bapak aku akan mula bercerita macam mana dia 'sneak out' dari asrama Clifford School, Kuala Kangsar, menuju ke stesen keretapi untuk pergi ke Singapura, menyertai 'British Army'. Masa tu, bapak aku 'frust' sebab keputusan LCE ketika itu, hanya tiga orang sahaja yang mendapat markah tertinggi dan salah seorangnya bapak aku. Jadi, ketiga-tiga orang ini sangatlah berharap nak masuk RMC (Royal Military College). Akan tetapi, cuma dua orang sahaja yang terpilih dan bapak aku punya 'frust', tanpa pengetahuan atuk aku, dia pergi temuduga askar dan dapat lalu terus saja dia cabut ke Singapura (pusat British Army di Clementy). British hantar bapak aku belajar kejuruteraan mekanikal. Jadilah bapak aku askar di kor workshop.

Itu sedikit sejarah bapak aku. Ada banyak lagi. Tapi tak mau tulis. Cerita politik dia, cerita bengkelnya, cerita kembaranya, banyak sangat. Itu yang aku tak nak tulis tu. Nanti jadi biografi. Tapi cerita politik bapak aku paling menarik lah...

Bapak aku ni, boleh tahan jugak pembacaannya. Yelah, sekolah orang putih. Lain macam sikit didikannya. Jadi, tak hairan kalau bapak aku ni tiba-tiba dia berfalsafah dengan anak-anaknya yang sepuluh orang (ok). Hey, bapak aku ni serbaboleh! Tengok, gambar dia sedang menjahit. Beg sekolah aku dulu, dia lah yang jahit.

Sini, aku nak kongsi cerita aku dengan bapak aku yang terjadi waktu aku tingkatan tiga. Cerita ni sampai sekarang, sangat peribadi. Nak kata aku kecil hati, tak jugak sebab sekarang aku dah jadi bapak, aku faham perasaan seorang bapak.

Masa aku tingkatan satu, aku ditawarkan ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (badminton) tapi bapak aku tak berapa percaya sukan boleh menjamin masa depan yang cemerlang. Dalam pada masa yang sama, aku juga ditawarkan program Rancangan Khas - RK (program ni, mana-mana pelajar yang mendapat UPSR baik, tetapi tidak ditawarkan sekolah berasrama penuh, akan dipanggil ke program ni di sekolah berasrama melimpah). Maka, jadilah aku pelajar RK di SMK Raja Muda Musa Kuala Kangsar dan buat pertama kalinya aku masuk asrama.

Hey, sesuatu yang menakjubkan berlaku semasa aku di kelas ni - aku dapat nombor satu dalam tingkatan satu (seluruhnya) dan aku mula diperhatikan oleh cikgu-cikgi yang kononnya aku adalah harapan sekolah. Apabila naik saja tingkatan dua, aku mula rimas dan pelajaran aku pun merosot. Aku kena mengadap cikgu kaunseling tiap-tiap minggu. Lagi aku 'tension'. Ahah, sejak ni aku mula merokok. Tamat tingkatan dua, aku mintak keluar asrama (sepatutnya budak-budak RK ni kena dok kat asrama sehingga habis PMR). Tapi, aku dah tak tahan sebab pertama, kawan aku seorang demi seorang kantui hisap rokok, dan kedua, aku nak 'freedom'. Permintaan aku diizinkan. Maka, bermula pulak hidup aku sebagai pelajar yang berulang dari rumah ke sekolah menaiki bas sekolah (dalam tingkatan tiga).

Dalam tingkatan tiga ni, aku dah mula minat sastera. Novel yang menyentap sanubari aku - 'Atheis' oleh Achadiat K. Mihardja. Dan sini, aku mula menulis sajak dan hantar ke surat khabar. Aku tingkatan tiga tahun 1995. Waktu ni ada pilihanraya umum. Dan aku waktu tu gila-gila menyokong UMNO (ikut bapak aku la...). Gila sibuk aku waktu tu. Dengan politik, sajak, dan PMR! Aku mula hisap rokok banyak. Banyak! Sehingga aku masuk ke wad selama seminggu lebih sebab 'young hyper-tension' (darah tinggi la tu). Diselang-seli pulak dengan penangkapan aku sebagai perokok tegar di sekolah.

Waktu ini, bapak aku dipanggil ke sekolah berjumpa dengan HEM, cikgu kaunseling aku, cikgu-cikgu disiplin dan Pengetua! Aku menunggu di luar bilik Pengetua dan mencuri dengar! Dalam banyak-banyak dialog perbincangan diorang ni yang merangkumi kemerosotan pelajaran aku dan disiplin aku (yang dah mula ponteng sekolah), yang paling aku ingat ialah kata-kata bapak aku kepada cikgu-cikgi tu - "saya mati-mati tak percaya pepatah Melayu - dalam setandan nyor (kelapa) mesti ada sebijik yang busuk. Bagi saya, saya nak semuanya elok dan baik. Tapi hari ini, saya kena mengaku kebenaran." Hah! Aku lah nyor yang busuk tu! Aku nyor yang busuk! Dan kemudiannya, aku diberi amaran, kalau nak hisap rokok, berhenti sekolah. kerja, cari duit beli rokok. Kalau nak sekolah, berhenti rokok. Jadi, aku mengambil jalan tengah. Kerja dan sekolah dan merokok. Hahahaha. Aku bekerja sebagai 'conductor' bas sekolah yang aku naik tu. Dapatlah aku belanja duit rokok dan belanja sekolah.

Sejak itu, aku banyak memberontak dengan bapak aku. Bila aku difahamkan dengan fahaman PAS, lagi aku memberontak (bapak aku UMNO seperti yang disebutkan tadi). Padahal bapak aku 'rilex' je. Aku buat hal aku lah. Aku masuk ASK atas pilihan aku. Kemudian, habis ASK, aku masuk AADK (hantar air kencing tiap-tiap bulan selama dua tahun). Tapi, bapak aku biarkan je. Cuma dia pesan, "kamu jangan menyesal kemudian hari, sudah." Sehinggalah aku dapat anak dan keluarga aku menerimanya, baru aku sedar, macam mana rasanya seorang bapak. (diam dan tak terkata dah)

Ahad, 15 Jun 2008

Selamat Hari Bapa


Hahahaha... ini hari aku - seorang bapak. Tapi aku di KL manakala anak aku di kampung bersama atok dan opahnya. Semalam, atok dan opahnya bawa anak aku ke Bukit Merah Laketown Resort, mandi-manda (nak mandi kat sungai kampung aku - Sungai Chepias, dah tak best. Air paras buku lali), jadi terpaksa lah pergi ke tempat mandi yang berbayar, sambil-sambil berjalan-jalan keluar dari rumah. Kesian tengok anak aku, nak harap bapaknya bawak pergi jalan-jalan, dari rumah ke kedai je lah. Nak jalan jauh-jauh, bapaknya ni bukannya ada lesen apalagi kereta dan motor. Dah tu, balik jenguk anaknya pun sebulan sekali. Kalau bernasib baik, sebulan dua kali.

Sabarlah, Emir... Wa cari rezeki sambil-sambil cari ilmu (dan mak lu yang baru, lu nak tak? - hehehehe). Kita jadikan kisah Ibrahim dan Ismail dalam Quran (BIBLE: Abraham & Ishmael - tapi dalam Bible kisah Ishmael dan Hagar/Siti Hajar dihantar ke sebuah gurun dan menemui telaga zam-zam dan tempat itu menjadi sebuah negeri yang makmur. Kisah Ishmael sehingga dia berkahwin sahaja. Bible melebihkan kisah Abraham dan Isaac/Ishak, malah kisah korban juga disebut sebagai Isaac bukan Ishmael, dan turun kepada Jacob/Yaakub yang merupakan punca keturunan Bani Israel) sebagai iktibar hidup kita - bapak dan anak. Berkorban adalah perkataan yang mesti kita pegang. Lu sekarang anak wa. Wa pun anak kepada bapak wa iaitu atok lu. Kita sama-sama jantan. Sebagai jantan, banyak perkara yang kita kena korbankan (di mana jika di perhatikan dengan teliti, setiap detik kita mengorbankan sesuatu paling tidak pun masa yang terbuang begitu saja tanpa buat apa-apa kecuali berfikir) untuk menjadi seorang manusia dan pemimpin. Apa-apa pun, pelan-pelan kayuh.

Sini, aku ada lagu M. Nasir - 'Oh Anak', untuk anakku yang gelojoh.

Bintang-bintang ke syurga
pertama percaya

dua tak putus asa

tiga terus terima

empat tak berubah-ubah

kelima rela berserah

enam pentingkan yang sedia

tujuh terpaling istimewa - keikhlasanmu

kalau ada bendanya mesti ada namanya

kalau ada isinya mestilah ada bekasnya

perlahan-lahan makan anak sayang

jangan sampai tercekik paku seluruh alam
berhati-hati minum sayang

jangan sampai tersedak buih satu lautan
perlahan-lahan jalan anak sayang

jangan sampai tersadung bendul gunung impian
berhati-hati tatang alahai intan

jangan sampai tertumpah setitis pun kasih sayang

kelak kau kan hidup dalam kekesalan berpanjangan...

Sabtu, 14 Jun 2008

Rabu, 11 Jun 2008

PAS, sudah tiba masanya...

Kassim Ahmad

Baru-baru ini aku membaca autobiografi beliau - "Mencari Jalan Pulang, Daripada Sosialisme Kepada Islam". Beliau seorang ahli falsafah dan pemikir sebenarnya. Bukan ahli politik (walaupun dia 'claim' diri dia sangat minat dengan politik). Buku "Hadis - Satu Penilaian Semula" telah menggemparkan seluruh umat Islam yang berbangsa Melayu di Malaysia ni. Mereka menghukum beliau sebagai anti-hadis (ini geng Anwar Ibrahim, ABIM yang menghukum). Dahulu, beliau merupakan ketua umum Parti Sosialis Rakyat Malaya dan akhirnya, setelah dia berjumpa dengan apa yang dicarinya iaitu Islam dalam ertikata yang sebenar, beliau memasuki UMNO walaupun pada asalnya bukanlah niat beliau hendak masuk UMNO pun.

Aku menyokong Kassim Ahmad secara terus-terang mengenai pandangan beliau terhadap hadis yang perlu dinilai semula. Pandangan beliau mengenai Islam yang bagaimana harus dipakai oleh umat Islam hari ini, yang sejajar dengan kemodenan dan perkembangan sains dan teknologi. Beliau telah membuang segala falsafah-falsafah Karl Marx dan Lenin yang dipegangnya bertahun-tahun kerana menemui Islam yang terdapat di dalam Quran itu lebih hebat dari Marx dan Lenin itu. Mengenai hadis, memang terdapat hadis palsu yang dicipta demi kepentingan politik sesebuah negara. Ini berlaku sudah sekian lama dan umat Islam sehingga ke hari ini, telah diajar supaya taat pada ulamak dan hadis ialah kata-kata Muhammad junjungan umat Islam yang tidak boleh dipertikaikan. Tetapi, bagaimana dengan hadis yang bercanggah keterangannya dengan Quran? Ini yang cuba disingkap oleh Kassim Ahmad.

Aku sangat bersetuju dengan Kassim Ahmad ini mengenai Islam yang kita terima hari ini ialah Islam keturunan. Yang turun temurun dari nenek moyang. Kita didendangkan dengan bacaan Quran, marhabban, berzanji tetapi kita tidak pernah disuruh untuk mengkaji Quran itu sendiri. Kita akan dimarahi jika salah baca taranum dari dimarahi jika kita tidak membaca tafsir Quran. Di sini, mungkin ini genetik Melayu yang merupakan 'orang laut', orang yang tidak berminat untuk membaca tulisan, tetapi lebih berminat membaca alam. Orang-orang Euthopia bangsa Melayu ni yang hidupnya penuh dengan lagu. Hidupnya tak mahu kompleks. Hanya mudah. Makan, cari makan, berhibur dan tidur.

Tapi, yang aku tidak setuju dengan Kassim Ahmad ini ialah, kemasukan beliau terhadap UMNO. Di sini, beliau masih memperkatakan tentang perjuangan nasionalis - kebangsaan. Beliau masih berpegang pada Melayu. Bagi aku, Quran tidak menyuruh kita berpuak-puak. Semua manusia adalah sama. Tidak ada Melayu atau Cina atau India. Dan di sini, sebagai manusia yang dikatakan kenal benar dengan Quran itu telah lupa bahawa dasar perjuangan UMNO ialah kebangsaan. Sepatutnya ini tidak berlaku. Sebagai manusia yang faham Quran, ada lebih penting dari perjuangan bangsa - KEMANUSIAAN. Dan seperti yang aku tulis sebelum ini, UMNO bukanlah parti yang memperjuangkan kemanusiaan, sebaliknya mempertahankan hartanah milik peribadi dan membela korporatikus!


Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Aku tak mahu bercerita tentang sejarah PAS. Ini internet. Saudara semua boleh cari sejarahnya hanya menaip PAS dan klik 'search' di Google. Apa yang aku nak tulis di sini mengenai PAS ialah tatasusila ahli PAS dan pembawaannya oleh ulamak jumud.

18:17 And the LORD said unto me, They have well spoken that which they have spoken.

18:18 I will raise them up a Prophet from among their brethren, like unto thee, and will put my words in his mouth; and he shall speak unto them all that I shall command him. Defenders Notes >>

18:19 And it shall come to pass, that whosoever will not hearken unto my words which he shall speak in my name, I will require it of him.

(BIBLE, Deuteronomy)


16:12 I have yet many things to say unto you, but ye cannot bear them now.

16:13 Howbeit when he, the Spirit of truth, is come, he will guide you into all truth: for he shall not speak of himself; but whatsoever he shall hear, that shall he speak: and he will shew you things to come. Defenders Notes >> Defenders Notes >> Defenders Notes >>

16:14 He shall glorify me: for he shall receive of mine, and shall shew it unto you.

(BIBLE, John)


Sengaja aku letakkan petikan dari Bible ini untuk memberitahu ahli-ahli PAS bahawa di dalam kitab 'Bible' milik Kristian dan Yahudi ini mengakui bahawa kemunculan Muhammad sebagai pembawa kebenaran. Cuma ditakdirkan Allah Ta'ala mereka sesat. Tidak menemui Quran sebagai pembawa kebenaran. 'Holy Spirit' atau Ruhul Kudus yang dimaksudkan di dalam perjanjian baru itulah sebenarnya Muhammad. Umat Islam yang berpegang pada Quran, seharusnya menjadi manusia contoh seperti yang digambarkan pada Muhammad itu sendiri dan dipanggil oleh pengikutnya sebagai 'sunnah rasulullah'.

Tidak ada di dalam Quran ayatnya ditujukan kepada sesuatu bangsa, akan tetapi ditujukan kepada seluruh umat manusia. Muhammad dijadikan sebagai contoh manusia yang sempurna. Bukan contoh bangsa Arab yang baik. Akan tetapi, umat Melayu di sini, tidak mengikut contoh akhlak Muhammad. Apa yang mereka ikut ialah pakaian. Agaknya memang sudah menjadi adat fesyen orang Melayu yang suka mengikut fesyen pakaian dari dunia luar (bab ini bagus dan Melayu harus dipuji kerana mempunyai pemikiran terbuka terhadap fesyen, tetapi tidak pada Islam).

Aku sangat berbesar hati mendesak bahawa PAS menukar dasar perjuangannya yang selama ini mereka membawa dasar-dasar Islam. Itu bagus tapi dasar yang mereka bawa ialah ISLAM TERTUTUP dan menakutkan bangsa lain sehingga bangsa lain memandang Islam sebagai sebuah agama yang tidak maju. Baru-baru ini, PAS melancarkan Kelab Penyokong PAS yang terdiri dari kalangan bukan Islam/Melayu, tidak menjadi ahli tetapi menjadi penyokong. Nampaknya PAS sudah lebih terbuka terhadap bukan Islam.

Apa yang perlu berubah dalam PAS? Selain dasar-dasarnya diperkemaskan dan tidak secara terus mengatakan dasar Islamnya, seharusnya mereka memperjuangkan KEMANUSIAAN dan setiap ahlinya mesti ditekankan tentang dasar kemanusiaan ini. Tidakkah mereka (ahli PAS) sedar bahawa mereka menyokong PAS samalah dengan penerimaan mereka sebagai manusia Islam secara total. Mereka menerima PAS semata-mata parti itu ialah parti Islam. Untuk menampakkan mereka ini Islam, mereka menyokong PAS. Mana yang sedikit liberal, menyokong UMNO. Apa yang menyedihkan, ahli PAS (yang di kampung), rata-ratanya bersifat 'defensive'. Tidak boleh berteguran dengan orang UMNO. Memulaukan masjid yang dikuasai oleh orang UMNO. Tidak menolong jika ada orang UMNO yang buat kenduri. Akan meletak perasaan benci jika hendak meminta tandatangan Ketua Kampung yang merupakan ahli UMNO. Jika ini berlaku, mereka masih belum Islam! Islam ialah manusia dan kemanusiaan. Sebagai manusia, panduan yang perlu ada ialah Quran.

Di sini tanggungjawab ulamak yang memimpin PAS. Bukanlah sekadar menyampaikan ayat-ayat Quran dan Hadis semata. Tetapi, tugas ulamak ialah berusaha sebaik mungkin dalam pembentukan akhlak-akhlak pengikutnya yang semberono memilih PAS. Jangan diajar tentang kebencian. Sebaliknya, didiklah mereka dengan mencintai ilmu yang bukan semata-mata Quran dan Hadis. Tetapi, didiklah mereka dengan ilmu lain yang lebih penting untuk kehidupan di dunia fana ini. Juga ajarlah mereka tauhid dan makrifat yang tiada lain hanya Allah Ta'ala. Juga ajarlah mereka menghormati manusia lain dan alam agar mereka tidak lagi menjadi Melayu Islam tetapi menjadi manusia.

Sajak

Aku tengah dok selongkar buku-buku aku, tiba-tiba aku terjumpa sajak-sajak aku yang dah lama aku tulis. Sini, aku nak kongsi dengan saudara semua sajak aku yang tak seberapa ni tapi bagi aku sangat bermakna.

kehilangan
(buat Natalie Portman
kalau-kalau dia datang ke kampungku)

kampungku tiada salji
tiada bunga sakura
tiada daun maple luruh

hanya kubang dan bendang
dan masyarakat yang riang
setiap kali pesta tuai
pasti berjoget dendang
kau kuharap dapat menerimanya

kampungku tiada stout dan bir
melainkan tapai dan nira
tiada suit untuk kita
lempiaskan penat malam pada empuk
tilam
yang ada cuma pondok buruk
beratap nipah dan tikar mengkuang
buat alas pinggang tika sejuk
mencengkam

kalau kau rindukan neon
kau kiralah bintang
kalau kau rasa kehilangan
dakaplah aku kerana aku
juga kehilangan sepertimu.


uda dan fantasi

aku manusia yang jauh hati
dalam kelompoknya.
ketawaku bohong
senyumku lakonan
demi kebahagiaan mereka.
inginku lari
tapi kotakafir ini penuh duri
aku manusia yang mudah rasa sakitnya
aku pernah sakit dan tak mahu sakit lagi
aku mahu lari
setelah fantasiku berjaya larikan diri
terbang, terbang anganku
terbang ke bulan mengambang
jauh kau pergi dan tak mahu pulang
aku di sini gelisah
terhimpit oleh bayang kubukukuh kota
malang
tiang menara bertukar jadi pagar penjara
dudukku kesal di ceruk lorong gelap -
terperosok
sambil didendangkan
nyanyian bomba
berlagu malang

kenapa aku sering ditinggalkan
sedang anganku terbang
melayang di segenap ruang.


merdeka

merdeka jadikan aku menderhaka
jadikan aku keparat
dalam nafas-nafas korporat
aku bukan mani Jebat
apalagi mani bertuah
aku ini mani dari kuli
yang tak mengerti.


sofa

aku ibarat sebuah sofa buruk
sudah beberapa kali dibuang
namun dikutip kembali
atas rasa simpati dan nostaljik.

aku ibarat sofa buruk
di ruang bilik padu ini
mana saja diaturkan
nyata aku tidak lagi diperlukan.


Isnin, 9 Jun 2008

Rumah Amal



Food Not Bomb (FNB) ialah sebuah badan amal bebas yang bergerak di Amerika, Eropah, Australia, Afrika dan Timur Tengah. Tugas mereka ialah memberi makanan (terutama yang berasaskan sayur) kepada gelandangan (homeless). Ini penerangan yang sangat ringkas yang aku boleh bagi. Di Kuala Lumpur, waktu agihannya ialah pada hari Ahad, di Gereja St. Andrews, belakang Muzium Telekom dan betul-betul sebelah disko 'Boom Boom' yang dah lama tutup. Setiap hari Ahad, ramailah manusia gelandangan di KL ni yang datang untuk mengambil makanan yang disajikan. Hey, KL pun ramai gelandangan tau. Jangan tak tahu ni. Siapa yang rajin sangat mengatur pemberian ikhlas ni? Aha, ada lah dua tiga orang budak Melayu. Dan siapa pula gelandangan yang menerima makanan ni? Melayu jugak ke? Ye la tu... Hah? Melayu kat gereja? (ini isu lama yang Harian Metro angkat dulu). Apa salahnya Melayu kat gereja. Noor Kumala Sari pun masuk gereja dalam filem apa entah tapi Jins Shamsudin punya filem lah.

Sini, aku bukan nak persoalkan Melayu dan gereja tu. Tapi aku nak persoalkan apakah fungsi sebenar BAITULMAL yang diletakkan di bawah MAJLIS AGAMA ISLAM? Ini yang nak aku persoalkan. Jika Baitulmal membantu orang miskin dan yang memerlukan, jadi apa salahnya FNB? Sama saja. Cuma kaedahnya lain. FNB masak makanan, dan jamu kepada semua orang. Manakala Baitulmal kena isi borang, kena siasat, dan pemohon mesti bersyarat (beragama Islam sudah tentu)! Dana FNB adalah dari derma orang ramai dan Baitulmal pula hasil dari kutipan zakat dan sumbangan ikhlas. Jadi ianya benda yang sama dan dijalankan oleh dua badan yang sangat berlainan fahaman.

Ini kerja amal. Kerja-kerja kemanusiaan. Tak kisahlah di mana pun ia berada. Janganlah persoalkan gereja ataupun tidak. Kalau ada pihak Majlis Agama Islam rasa tercabar, kenapa tidak buat seperti yang mereka buat? FNB sifatnya lebih turun padang. Sebab itu gerakan ini diminati oleh belia Melayu sekarang. Tak perlu pakaian formal dan mengusung beg yang berisi borang untuk kerja amal ini. Kerja amal, kerja amal lah! Tak ada protokol.

Baru-baru ini, aku baca buku Kassim Ahmad - Melcari Jalan Pulang Daripada Sosialisisme Kepada Islam. Ada petikan ucapan beliau sewaktu menerima Ijazah Doktor Kehormat di UKM, di mana beliau menegaskan bahawa sebagai pengarang, beliau akan membongkar kebenaran! Jadi di sini, aku juga ingin membongkar kebenaran.

Baitulmal KL pernah menganjurkan ***majlis perkahwinan beramai-ramai. Pasangan pengantin yang layak mohon (akan dipilih 20 pasangan sahaja) ialah bermastautin di KL dan bergaji di bawah RM1,000 akan menerima sumbangan sebanyak RM3,000 seorang (sepasang dah dapat RM6,000) dan bersanding di majlis yang dihadiri YDP Agung. Bagus usaha murni ini. Bagus... Tapi, tahukah saudara persiapan untuk majlis ini jumlahnya lebih mahal! Pelamin saja sudah RM40,000. Bunga telur untuk Agung dan VVIP yang bersalut emas harganya satu unit RM2,000! Set baju songket lagi! Makan-makan lagi? Ini kerja amal ke apa? Ke, nak tunjuk kat PM bahawa Baitulmal pun ada buat kerja lah! Ni kes bodek lah ni...

Kenapa perlu membazir? Kalau nak buat kerja amal, buat betul-betul la... Tak payah la majlis-majlis yang membazir ni. Duit tu banyak lagi benda lain boleh pakai! Walaupun duit untuk persiapan majlis tu bukan duit Batulmal, duit peruntukan dari Kerajaan Pusat, akan tetapi, tak perlulah membazir. Baitulmal maksudnya 'RUMAH AMAL'.

Di sini, aku fikir, orang bukan Islam lebih bagus sifat perikemanusiaannya.

*** Akan dibincangkan majlis perkahwinan Melayu dan pengaruh filem animasi Cinderella.

Minggu Keluarga Ultraman


Sejak dua minggu yang lalu, hidup aku sedikit tidak teratur. Libang-libu sikit, kata orang Perak. Aku sibuk dengan persediaan untuk exam yang aku duduki esok dan lusa (10 Jun & 11 Jun). Exam apa? Aha... exam Pengetahuan Am. Kelam kabut aku baca buku. Dua minggu yang lalu juga, aku balik kampung, jumpa anak aku. Hehehe, aku tak boleh lupakan waktu dia menunggu aku di stesen bas. Apabila dia nampak saja kelibat aku, dia terus 'fire' (sebiji macam gambar) aku. Kononnya Ultraman lah tu. Hehehe... Jadi aku ni raksaksa la bagi dia dan dia kononnya penyelamat dunia. Bertuah punya anak. Hehehe...



Rupanya, dalam musim cuti sekolah ni, Astro Ceria menayangkan cerita Ultraman pelbagai tajuk. Ada Ultraman Dyna la, Ultraman Tiga la, Ultraman Mebius la... Macam-macam lah. Ada pulak salasilah keluarga Ultraman ni. Cerita Ultraman inilah yang anak aku dok ulang tengok beratus-ratus kali agaknya (maklumlah, Astro). Sehinggakan bapak aku nak tengok berita pun tak dapat sebab cucu dia seorang ni nak tengok Ultraman. Kalau tukar rancangan lain, dia akan mengamuk. Hmm... Tak nak dia mengamuk, terpaksalah kami sekeluarga melayan cerita keluarga Ultraman. Bapak aku bengang je. Aku cakap, "nak tengok berita, internet kan ada..." hehehe.

Apa istimewanya Ultraman ni. Padahal, budak besar anak aku (2 tahun 3 bulan) tu bukannya dia faham cerita. Dia cuma tengok aksi je. Yang paling best, setiap kali habis cerita Ultraman tu, dia akan lompat kat aku dan pukul aku (memang sah, aku ni raksaksa pada dia). Dan yang peliknya, anak aku ni macam tahu je yang cerita Ultraman ni ditayangkan pada sekian-sekian waktu. Kalau dia pergi depan TV tu, dia akan cakap "Amen... amen..." sampailah tukar rancangan ke Astro Ceria (padahal aku tengah seronok tengok drama Melayu).

Bila aku balik saja ke KL, aku sibuk pulak dengan kerja yang banyak. Ke hulu, ke hilir atas lebuhraya, sekejap ke sana, sekejap ke mari, kerja. Dalam pada masa yang sama, aku kena juga baca buku. Jadi, aku hanya dapat tidur cuma 3 jam sehari (err... ye kut). Tapi, bila ada masa senggang, aku akan telefon ke kampung, bertanyakan anak aku. Jawapan yang sama aku terima dari mak aku - "Emir tengah tengok Ultraman." La, tak habis-habis lagi. Bila mak aku suruh anak aku cakap dengan aku (melalui telefon), anak aku akan bercakap dengan aku cuma "Amen..." dan terus dia bagi gagang ke opahnya. Sampailah semalam aku telefon, itulah aktiviti dia.

Apa yang bagus pada Ultraman ni? Satu saja, pertahankan manusia dari kejahatan. Kuasa akan datang apabila kita dalam keadaan yang sangat tertekan. Kita akan memberontak dan melawan kejahatan apabila kita sangat terdesak. Dari mana datangnya kuasa tu? Jika kita ada niat untuk melawan kejahatan, dan kita sangat berharap untuk dapat melawan, kita akan dapat. Itulah kuasa Allah Ta'ala sebagai tuhan sekalian alam. Ultraman bukanlah perjuangan seorang. Lihat saja bagaimana Ultraman muncul. Melalui manusia yang bernama Deigo dari anggota GAT (untuk siri Ultraman Tiga). Gabungan kuasa kejujuran seorang manusia dan harapan dari rakyat jelata yang tertindas, dicampur pula dengan kuasa ajaib dari bintang (Ultraman la tu), maka kuasa kebaikan dapat mengatasi kuasa kejahatan.

Apa pula kejahatan? Adakah maksudnya sama dengan Mat Rempit? Kejahatan yang digambarkan dalam Ultraman ini bukanlah jahat yang macam Najib dan rakan-rakan lakukan tu. Tapi kejahatan yang dimaksudkan di sini ialah unsur-unsur yang merosakkan kemanusiaan dan keharmonian hidup. Ini yang mesti ditentang habis-habisan!

Jadi, saudara sekalian. Pada musim cuti sekolah itu hari kita sudah dihidangkan dengan kisah keluarga Ultraman melawan kejahatan. Dalam minggu itu juga kita semua menerima unsur kejahatan - KENAIKAN HARGA MINYAK oleh SAMSENG TAIK MINYAK bernama Abdullah Badawi. Tak guna kalau kita semua cuma NAIK MINYAK di stesen minyak dan kedai kopi semata-mata. Tak guna kalau hanya segelintir sahaja manusia yang menyertai perarakan anti kenaikan harga petrol di hadapan KLCC dan di Kampung Baru. Kalau perkara ini sudah menyebabkan kalian semua rasa tertekan dan terasa amat tertindas, jadi apa tunggu lagi? Bulatkan suara, buat kata sepakat - GO TO HELL WITH UMNO!

Isnin, 2 Jun 2008

Sakit

Ini gambar koleksi abang aku (dikirim melalui e-mail) yang bertugas di Sahara Barat sebagai pegawai perubatan di bawah panji PBB.


Aku tak pasti pulak apa yang ditulis di sebelah kanan gambar tu. Tengah-tengah tu sahlah kalimah 'Allah'. Sebelah kiri 'al-Maliki'. Sebelah kanan tu, tak dapat nak sebut dengan betul sebab tak ada baris. Boleh jadi 'al-wadh'. Ataupun 'al-wadhi'.



Kenapa manusia muslim menulis kalimah 'Allah' di muka bumi sedangkan cukup, hanya percaya wujudnya Dia. Tak perlu tulis lagi. Biasanya, dalam situasi seperti di atas terjadi dalam tempat atau manusia itu sedang berperang. Ini samalah dengan mereka yang menulis 'God With Us' bagi mereka yang masih percayakan Tuhan. Tetapi, untuk mereka yang sangat tertekan dengan peperangan, akan berkata 'Tuhan Sudah Mati' atau 'God Is Death'!

Aku tak pernah merasa perang peluru - perang yang melibatkan kematian di sana-sini. Tapi, aku pernah mengalami perang jiwa. Hehehehe... Aku 'sakit' itu jam. Dan inilah yang aku buat - tulis kalimah 'Allah' pada dinding bilik menggunakan akrilik. Itu jam, aku yang dah tak percaya agama - langsung, tapi kembali mencari agama dan merasakan tiada apa-apa pertolongan pun yang Tuhan bagi. Tapi, aku tekadkan semangat, aku tak mahu 'kehilangan' lagi. Jadi aku tulis kalimah tu sebagai peringatan. Dan kerana aku tak nak kehilangan Tuhan lagi, aku kena terima yang aku telah kehilangan banyak benda lain termasuk yang paling baru, aku sudah tidak lagi boleh melukis (mungkin ini psikopath).





Tapi, bagaimana dengan diorang yang beli hiasan kalimah 'Allah' dan gantungkan di dinding rumah? Adakah itu sebagai peringatan atau syarat mengatakan ini rumah Melayu-Islam ataupun sebuah penghargaan pada seni? Tetapi, tanpa mereka sedar, mereka tetap tidak menghormati Tuhan mereka tu?