Jumaat, 28 November 2008

Usman Awang


UTIH:

Aku menyaksikan dengan hati,

mataku mendengar, telingaku berkata,

sekumpulan dari sejenis haiwan!

Ah, tengoklah haiwan yang pandai berkata-kata.

Menghitung satu, dua, tiga.

Di sini, di sini mereka yang ada di mana-mana,

tak berterima kasih kepada

bumi dan tumbuhan,

langit dan awan yang memberikan hujan!

Petani yang bekerja membanting tulang,

menjadi mangsa kejahatan kelobaan!


Di situ di atas sana,

bapa kumpulan haiwan yang pandai berkata-kata.

Pandai menyanyi dan pandai makan padi.

Pandai memakai tanjak tengkolok.

Pandai membuat gelaran-gelaran darjat.

Lintah daratkah namanya?

Pacat rimbakah namanya?


Haiwan yang pandai berkata-kata...

Pandai makan lada tak sanggupkan pedasnya!

Tahukah kau,

sawah itu adalah aku,

lumpur adalah aku.

Angin itu adalah aku.

Sungai itu adalah aku.

Yang bukan haiwan pandai makan nasi,

tapi tak pernah menanam padi.

Tengoklah begitu ajaibnya haiwan bersuara.

Mengumpulkan harta benda yang dirompaknya!

Dirompak dari tangan yang membajak.

Dirompak dari tulang yang diperah.

Ke mana, ke mana akan dibawa semua ini?


Aku yang bernama Utih,

ditertawakan kerana sepatah kata 'gila'.

Dari mereka yang sebenarnya gila:

gila kerana harta benda,

gila kerana ringgit;

gila kepada pangkat darjat kebesaran.

Aku tahu harta dan ringgit,

cukup tahu.

Bukan untuk gunanya,

tapi kejahatan olehnya.

Kerana itulah aku tidak menyembahnya,

tidak menjadi hambanya.

Kerana seorang hamba dari harta dan ringgit,

hamba kepada darjat dan kebesaran,

terjadilah kejahatan kekejaman.

Seperti yang aku saksikan kini.

Aku kasihan dan sedih melihat

kau menjadi

haiwan yang pandai berkata-kata!


Ini adalah petikan dialog Utih, dalam drama Uda dan Dara, karya arwah Usman Awang. Watak Utih ini pernah dibawa oleh pelakon-pelakon yang hebat, dimulakan dengan Ahmad Yatim, Adlin Aman Ramlie dan paling baru aku saksikan ialah Fared Ayam. Ahmad Yatim ada Mercedes Benz. Adlin Aman Ramlie ada kereta mewah yang aku tak tahu apa jenisnya. Fared Ayam ada motosikal, tak silap aku. Hahahahaha...


Tak apa, biarlah dia orang nak pakai kereta apa pun, nak hidup macam mana pun, sebab aku pun ada cara hidup aku sendiri. Aku difahamkan, menjadi pelakon mesti ada kereta yang sangat selesa kerana perjalanan ke lokasi penggambaran tentulah memenatkan jika memandu Perodua Kelisa.


Halooo... Aku bukan nak tulis pasal pelakon dan kereta. Aiseh... Aku nak tulis pasal arwah Usman Awang. Link di bawah ni bolehlah kalau nak baca pasal arwah ni serba sedikit (bagi yang tak tahu langsung siapa dia Usman Awang ni).




Bagi aku, semua sasterawan di Malaysia tercinta, semuanya rakyat. Mereka semua merakam sejarah dalam bentuk sastera dari sudut yang tepat dan jujur. Cuma zaman dan pengaruh sahaja yang berbeza dan tentu sekali pemikiran juga agak berlainan. Mungkin cangkupan idea berpusar di situ sahaja kerana kita semua dalam kelompok yang sama. Ada juga yang idea yang sudah terkeluar dari kelompok. Hehehe...


Aku menyanjung Usman Awang, kerana pertama, perjalanan hidupnya. Arwah pernah melepaskan ahli PKM sewaktu dia bertugas sebagai pulis british, dan ketika itu operasi memburu ahli PKM yang dijalankan oleh british. Cerita ini boleh dibaca dalam 'Memoir Abdullah C.D bahagian kedua'. Aku tak dapat bayangkan, bagaimana jiwa dia yang membara peri kemanusiaan ketika dia bertugas sebagai pulis. Terus aku terfikir, masih adakah pulis seperti dia ni hari ini? Mesti ada punya. Tapi susah sikit lah nak jumpa sebab kerja dia jaga lokap, takpun, tukang buka pintu pegawai di Bukit Aman. Yang aku tahu, pulis zaman dulu nyata berbeza dengan hari ini.


Kedua, bahasanya. Aku suka bahasanya. Kalau pening-pening baca kur an, bacalah sajak-sajak Usman Awang - sebab bagi manusia yang berbahasa melayu seperti aku ni, lebih dekat dan lebih senang faham dari baca kur an.


Ketiga, dia sentiasa berpihak pada yang kalah. Haa, ini aku tak tahu. Sama ada dia ni mempengaruhi aku, atau aku sendiri manusia yang sentiasa kalah. Iyalah, aku anak yang kesembilan dari sepuluh adik beradik. Lapan orang abang, adik aku sorang perempuan. Dibuli, sudah sebati dalam hidup aku. Hehehehe...


Kemudiannya, arwah terang-terang menyertai parti yang didokong oleh Ahmad Boestamam - Parti Sosialis Rakyat Malaya. Parti orang-orang kalah. Hahahaha... Tapi menang di hati.


Dramanya - 'Matinya Seorang Pahlawan' dan 'Uda dan Dara', bagi aku ianya segar sepanjang zaman. Pedulikan melayu dalam konteks budaya dan bahasa. Ambil terus pada cerita dan senarionya. Menghapuskan status dalam masyarakat, bukan kerja mudah. Tapi, inilah kerja Usman Awang. Baik dalam karyanya, mahupun di kehidupan sebenarnya. Dia sentiasa bersama buruh dan stout.


Hari ini, hujan.


Hisham (Rais) pasti juga hujan (paling tidak di hati), kerana tanpa bantuan Usman Awang, dah lama Hisham kena ISA!

Selasa, 25 November 2008

Lebuhraya.

Ianya sebuah perjalanan yang panjang dan lugu.
Tanpa menempuh kehidupan, hanya papantanda-papantanda yang memandu.
Dan simpang-siur berpusing-pusing lalu atas kepala,
di hujung mata.
Destinasi dah tahu tapi sampainya bila waktu?

***

Kekasih

Maaf, kerana aku masih menyisih.
Tak tertanggung jemala untuk berlela.
Aku cuma kuli yang tak terbela.

***

Senja di Chow Kit

Riuh-rendahnya bukan menjaja.
Tapi mengata.

***

Senja di Dataran Merdeka

Jalur Gemilang itu bukan kepalang ia
terbang di angkasa kota.
Di sebelah kanan mata ada Bukit Aman
yang tak pernah aman.

***

Senja di Kampung Baru

Satu kedai, dua kedai, tiga kedai,
empat kedai, lima kedai, enam kedai....
Semuanya kutanya dan jawabnya sama:
tak ada.
(rokok Surya ori dari Kediri)

***

Ke-tuhan-an Melayu

Tuhan mereka sangat jahat!
Berpura-pura dengan kata-kata suci.
Sesama manusia tak ada kasih melainkan benci.
Dan Melayu sangat bangga
bahawa nama mereka tidak tertulis dengan perkataan Melayu,
sebaliknya perkataan Arab.
Bangga berbudaya Hindu.
Bangga berperangai Zionis.
Bersultan di mata, beraja di hati;
kumpul-lah harta dan bawa ke mati!
Malunya kerana mereka tak mampu berdiri,
masih mengharap pusaka keris ngeri.
Ptuih! Ptuih! Ptuih!
Diludah-ludahnya ke mata keris
agar celik dan pergi mencarik.

Tuhan mereka sempit fikirnya.
Mahathir Mohamed jauh lebih fikirnya.
Melayu cuma ada di beberapa sekutu ja.
Tak payah fikir lah nak takluk dunia da.
Seorang angkasawan takkan mampu
bertemu tuhan la.
Ada sejarah pergi tarah.
Nak baca sendiri-sendiri,
macam rabi baca torah.

Entah, tak tahulah.
Tuhan permainkan mereka
atau mereka permainkan tuhan?

Isnin, 24 November 2008

SembangSumbang


AYUH KITA KAYUH!!! NAK TUNGGU APA LAGI?
Ahad, 28 Disember 2008
10.00 am - 01.00 pm
kayuh ke Parlimen
Rakyat biasa diseluruh dunia kini diancam krisis ekonomi yang paling dashyat sejak 1930. Inilah masanya untuk mengutarakan dan membela tuntutan-tuntutan rakyat Tuntutan utama Kempen Basikal "Rakyat Pengayuh Perubahan" ialah :
Gubal Akta Gaji Minima
Mansuhkan Akta Zalim seperti ISA , Akta Darurat , AUKU dan lain-lain
Perumahan Selesa untuk Rakyat
Harga barangan harus dikawal
Pulihkan Pilihanraya Majlis Tempatan
Hentikan penswastaan perkhidmatan asas seperti air, hospital dan pendidikan
Kempen ini kini telah mendapat sokongan daripada ratusan masyarakat biasa, kaum pekerja dan anak muda yang akan menyertai kempen ini sepanjang 16 hari kempen ini berlangsung.
Pertanyaan: 0387370766 ATAU jerit2002@gmail.com

Ahad, 23 November 2008

"Uda dan Dara" versi Mohammad Hariry

Ini kisah cinta yang menyayat hati
meruntun jiwa
hingga bintang juga tak keruan
menyaksikan

Pijot dan Syida, mereka berkasihan dah hampir lima tahun. Dua-dua kerja di sebuah kilang semi-konduktor. Pijot supervisor manakala Syida cuma operator. Masing-masing bekerja bersungguh-sungguh kerana tekad dan azam mereka akan mengakhirkan zaman bujang pada tahun depan. Berkeringatlah mereka bekerja siang dan malam sehingga terlupa memakai 'odorono'.

Pijot orang negeri selatan, Syida pula orang negeri utara. Mereka berpisah cuma seminggu dalam setahun iaitu pada hari raya sahaja. Selebihnya mereka tak pernah berpisah. Kalau berpisah pun, telefon akan dibaling ke dinding apabila salah seorang lambat membalas spr. Begitulah teguhnya ikatan percintaan mereka.

Dua bulan lalu, mereka sudah pun merancang angan-angan untuk memilih tema majlis perkahwinan mereka. Dari Jalan TAR, hinggalah ke Plaza Alam Sentral, dari majalah 'Pengantin' hinggalah majalah perkahwinan Ning Baizura, semua mereka kaji dan selidik.

Tak sabar debar di hati menanti hari kemuncak. Sudah terbayang di hadapan persandingan, Pak Soleh dan Abang Jaka bersilat pencak. Pantang bersentuh, dalam seluar pasti terpacak. Sambil bersenda gurau - auummm cak!

Allah maha berkuasa. Keimanan hambaNya diuji.

Pijot dan Syida diberhentikan kerja. Bukan saja mereka berdua, malah satu kilang! Kilang dah tutup. Bukan kilang tu je, kilang kat sebelah-sebelahnya pun bungkus!

Menganggurlah mereka. Berputar pusing mencari kerja di tengah rembang kota. Duit simpanan sedikit demi sedikit terhakis nyaris tak habis. Syida ke Sungei Wang, nak kerja butik. Mata dah sepet tapi bahasa mandarin tak pula dia celik. Pijot pula pening, pening, pening cari kerja sambil membaham ganja sebata kat rumah!

Suatu petang, Pijot jumpa Syida. Pijot pegang tangan Syida. Kata Pijot, "Abang nak balik kampung, buat kerja kampung. Nanti dah cukup duit, Abang terus datang jumpa Syida, kita nikah."

"Syida macam mana?"

"Abang rasa, elok juga Syida balik kampung. Kat sini dah tak ada harapan lagi untuk kita."

Maka sejak itu, berpisahlah mereka.

Pijot di kampung kerja di kedai runcit. Syida di kampung, tolong mak buat ikan pekasam. Nak berhubung, masing-masing dah tak ada telefon. Nak berutus surat, dah tak tahu macam mana nak tulis surat kerana kali terakhir mereka tulis surat ialah pada 'exam' BM UPSR. Masing-masing dok berharap. Masing-masing dok angau. Pijot tengok megi nampak Syida. Syida tengok ikan loma pun nampak Pijot.

Tapi, Pijot bukan sebarang orang. Dia anak jantan sejati. Rindu dendamnya tak dapat lagi ditahan. Mukanya ketat seketat seluar jeans levi's 501. Rambutnya masai semasai sabut dalam 'seat' proton saga. Badannya cengkung. Rusuknya terjojol. Matanya bengkak, hitam!

"Jodoh di tangan tuhan... Ptuih!" Seranah Pijot. Dengan penuh tekad dan keazaman, Pijot berjalan kaki dari selatan ke utara semata-mata untuk menemui Syida.

Di lebuhraya, Pijot ditahan polis, Pijot mengamuk, lalu merampas pistol dan menembak polis. Pijot lari ke hutan. Seluruh anggota PDRM, askar-askar, semua mengepung hutan untuk menjejak Pijot.

Berita tersebar dengan cepat. Para blogger menganggap Pijot wira baru. Perdana Menteri minta Pijot serah diri. Tapi dalam hati Pijot berkata, "butohlah kamu semua!"

Syida menangis bagai nak rak.

Pijot di hutan bertemankan babi.

Polis dan askar bergelak ketawa menjalankan misi.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sudah mula hilang percaya.

Rafidah dan Shahrizat juga bergaduh tak habis-habis.

Anwar Ibrahim tersengih nakal.

Nik Aziz sedang berkebun.

Mahathir Mohamed tengah tulis skrip teater.

Aku tengah taip ayat ni.

Korang tengah baca.

Ops, tak lupa juga - AGONG TENGAH BERKUDA!!!

Selasa, 18 November 2008

Rousseau dan 'Kontrak Sosial' nya

Ini adalah beberapa petikan dari buku 'Social Contract'.

Jika kita soal apakah matlamat sebenar sesuatu sistem perundangan supaya ia dapat memberi kebaikan kepada orang ramai, kita dapati ia tertumpu pada dua perkara: "kebebasan" dan "persamaan". "Kebebasan" dari sebarang ikatan bermakna kuasa itu diambil dari kerajaan, sementara "persamaan" dalam konteks ini sangat penting kerana "kebebasan" tidak boleh wujud tanpanya.

Saya telah memberi definisi kebebasan awam. Berhubungan dengan persamaan, kita perlu fahamkan bahawa darjah kuasa dan kekayaan yang dimiliki tidak sama bagi semua orang, sebaliknya kuasa yang ada itu jangan disalahgunakan hingga mengakibatkan berlakunya kezaliman, dan kuasa yang digunakan mestilah mengikut pangkat dan undang-undang; berhubung dengan kekayaan pula, jangan ada rakyat yang terlalu kaya sehingga boleh membeli orang lain dan jangan ada yang terlalu miskin sehingga terpaksa menjual diri. Ini bermakna, orang-orang besar perlu bersifat sederhana kaya dan sederhana dalam kedudukan, sementara rakyat pula mestilah sederhana dalam kemahuan dan mencari harta.

Persamaan sedemikian rupa ialah satu ideal yang tidak praktik, yang tidak boleh wujud. Tapi kalau penyelewengannya tidak dapat dielakkan, adakah ini bermakna sekurang-kurangnya kita tidak patut mencuba membuat undang-undang yang berhubung dengannya. Memandangkan bahawa tekanan keadaan yang selalu membawa kehancuran terhadap persamaan, maka kuasa perundangan sepatutnya cuba mengekalkan persamaan ini.

Walau bagaimanapun, matlamat umum sistem perundangan yang baik ini perlu diubahsuaikan pada tiap-tiap negeri mengikut keadaan tempatan dan tingkahlaku penduduknya; dan keadaan ini mestilah menentukan sistem institusi yang paling baik bagi negeri yang berkenaan.

Apa yang menjadikan perlembagaan sesebuah negeri itu kuat dan kekal ialah sifatnya yang mematuhi apa yang sewajarnya, supaya hubungan semula jadi akan bertepatan dengan undang-undang pada tiap-tiap perkara, sementara undang-undang hanya menjamin, mengikuti dan membetulkannya. Tetapi kalau pembuat undang-undang tersilap tujuan dan menerima dan menerima dasar yang bertentangan dengan keadaan; kalau dasarnya menyebabkan perhambaan, sedangkan keadaan mahukan kebebasan; atau kalau ia menyebabkan kekayaan, sedangkan keadaan mahukan penyebaran; atau kalau ia menyebabkan perdamaian sedangkan keadaan mahukan penaklukan, undang-undang itu akan hilang pengaruhnya, perlembagaan akan berubah dan negeri tidak bebas dari kekacauan sehingga undang-undang itu dimansuhkan atau diubah, sementara keadaan alam terserah kepada suratan azali.

Sekiranya penggubal undang-undang atau rakyat seluruhnya mengenepikan dasar umum dan menumpukan perhatian kepada perkara tertentu sahaja, ini bererti mereka melakukan satu amalan yang tidak baik. Malah tidak ada yang lebih bahaya daripada pengaruh kepentingan persendirian dalam hal ehwal awam, sementara kerajaan yang bertindak menyeleweng dari undang-undang tidaklah mendatangkan kesan yang begitu buruk jika dibandingkan dengan rasuah yang dilakukan oleh penggubal undang-undang untuk kepentingan persendirian. Dalam perkara ini, kerajaan perlu diubah dari asalnya tetapi untuk memperbaikinya ianya mustahil dapat dilakukan. Mereka yang tidak menyalahgunakan kuasa kerajaan tidak akan menyalahgunakan kemerdekaan; mereka yang memerintah dengan baik tidak perlu diperintahkan supaya berbuat demikian.

Tidaklah memadai sekiranya perhimpunan rakyat menetapkan perlembagaan negeri itu sekali sahaja iaitu dengan meluluskan beberapa undang-undang; tidaklah mencukupi sekiranya perhimpunan tersebut mendirikan sebuah kerajaan yang kekal atau menggubal undang-undang sekali sahaja untuk melantik hakim. Selain daripada perhimpunan luarbiasa yang diperlukan dalam keadaan yang tidak disangka-sangka, perhimpunan berkala yang tetap yang tidak boleh dimansuhkan atau dibatalkan mestilah ada, supaya pada hari yang ditetapkan menurut undang-undang rakyat dengan sah dipanggil tanpa perlu dijemput secara rasmi.

Jean-Jacques Rousseau (1712-1778), dia ni ahli falsafah politik moden yang ulung. Dia ni diibaratkan sebagai garis pemisah antara falsafah politik lama dengan yang moden. Buku 'Social Contract' dia ni, dah jadi satu penggerak kepada Revolusi Perancis. Jika dilihat balik, apa yang diunsurkan oleh Rousseau ni samalah dengannya sistem demokrasi zaman Aristotle dan juga dalam Manifesto Komunis. Begitu juga, sebelum Rousseau ni dapat wahyu, Moses, Jesus dan Muhammad juga mendapat wahyu yang sama.

Warga, apabila membaca petikan 'Social Contract' tu, dan bandingkan dengan situasi kita sekarang di sini, Malaysia kita, adakah kerajaan kita dan sistem feudal yang ada di sini masih berguna atau tidak?

Jika warga merasakan ianya sudah tidak berguna, AYUH, apa tunggu lagi, ayuh kita jeritkan hasrat tak puas hati kita!!! Kita rakyat, kita yang bekerja dengan bayaran sejam RM5, sehari RM40, sebulan RM840 dan kita rakyat yang dibebankan dengan pelbagai kerenah keperluan hidup seperti beras dan minyak serta sekolah dan hospital dan jumlah semua keperluan ini melebihi dari gaji! Kita rakyat yang sering dijamukan dengan iklan-iklan KFC dan McDonalds serta iklan pelangsing badan! Kita rakyat yang dimomokkan dengan RINGGIT itu penting ketika ini kerana segalanya hari ini sudah menjadi dunia plastik dan polystrene, maka kita sering saja menjadi mangsa bank yang menawarkan pinjaman ekspress dan syarikat kredit menghalalkan hutang-piutang untuk segala jenis barangan yang tidak perlu! Kita juga dikhutbahkan dengan 'Multi-level marketing' supaya kita menjadi kaya-raya dan akhirnya kita yang jauh ketinggalan berputih mata!! Dan kita rakyat yang diharamkan untuk hidup secara haram! Dan untuk SENIMAN dan BUDAYAWAN, kita kena desak untuk mengubah semula DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN!

Isnin, 17 November 2008

SembangSumbang

[1]Demi Kuda Perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya,
[2]Serta mencetuskan api dari telapak kakinya,
[3]Dan meluru menyerbu musuh pada waktu subuh,
[4]Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu,
[5]Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh;
[6]Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya.
[7]Dan sesungguhnya ia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian;
[8]Dan sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba).
[9](Patutkah ia bersikap demikian?) Tidakkah ia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur?
[10]Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada?
[11]Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka - pada hari itu.
KORAN 100:1-11
Ini adalah antara surah kegemaran aku.

Sabtu, 15 November 2008

SembangSumbang

Sontoloyo!

pantang-pantang melanggar pantang
turunlah dewa dari siguntang
di tanah kami tak ada manusia
hanya binatang!

ku kejapkan muka ke bumi
sambil menyumpah adam
noah abraham isaac jacob
ismael
kusumpah semuga mereka terus di situ
tak bergerak datang ke mari
tidur lena di bantal bulu angsa
yang tuhan sediakan di syorga

kalian punca segala
dan tinggalkan kami sengsara

dan kau tuhan,
kadang-kadang aku katakan kau meroyan
sehingga aku juga diserang sawan
tak terdaya melawan
tapi aku cuba juga

pasti, aku mahukan rehat!

Khamis, 13 November 2008

'Rentak Haram Jadah' versi Mohammad Hariry

Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya.
- Koran 3:19 -
Aku mengesyorkan kepada manusia yang tertulis 'islam' di kad pengenalannya (kad pengenalan Malaysia sahaja), supaya pergilah baca 'Holy Bible'. Dan kepada manusia yang tidak tertulis 'islam' di kad pengenalannya (ini aku pelik, kenapa tak tulis agama-agama lain - kristian, judaisme, hindu, buddha), pergilah baca 'Holy Koran'.
Tak ada haramnya membaca kitab agama lain seperti yang majlis fatwa dok buat sekarang ni - dok sibuk mengharamkan 'penkid' dan 'yoga'. Kalau betul dah tak ada kerja, kenapa mereka tidak membuat fatwa supaya haramkan saja bas metro? Ataupun haramkan warna 'pink' yang menjadi warna kegemaran Sutun dan Puteri UMNO ni? Ada banyak lagi benda yang nak diharamkan seperti talifon awam, parkir imam besar di masjid wilayah, PDRM, sultan-sultan... Percayalah, tak lama lagi, majlis fatwa ni akan mengharamkan pemakaian bulu mata palsu dan ketika ini, Rozita Che Wan pasti gelabah anjing.
Hahahahahaha huhuhuhuhuhuhu hihihihihihihihi hehehehehehehehehe
Orang Malaysia dengan perkataan haram memang tak dapat dipisahkan. Aku rasa, itu pasal Salleh Ben Joned bikin sajak 'Rentak Haram Jadah'. Hey, masyarakat melayu bodoh ni akan memanggil anak aku tu sebagai 'anak haram' sebab aku tak bernikah! Bagi melayu yang terdidik bahawa babi itu haram, maka dengan sepantas halilintar (woh, teringat aku komik 'halilintar' masa aku darjah 3) akan meletakkan anak haram sama dengan babi. Raut muka mereka akan terzahir perasaan geli dan menghina. Kemudian, barulah mereka akan berkata - "budak ni tak salah. Mak bapaknya yang salah..."
Satu lagi, aku tertarik dengan kata-kata Yati Abdullah (eh, seperti terkenang-kenang nampakya aku ni) apabila ditanya mengenai agamanya - "agama yang minum bir tak haram, tapi makan babi haram". Apalagi agama yang begini di Malaysia ni kalau bukan islam yang tertulis di perlembagaan!
Aku tak tahu, siapa yang mula membawa perangai ni ke dalam kepala otak pemikiran manusia-manusia islam di Malaysia tercinta ni. Pengharaman sesuatu (menurut majlis fatwa) akan diikuti dengan alasan 'pemesongan akidah'. Kalau dalam yoga tu ada doa yang menyebut 'aum', ini belum tentu akidahnya terpesong. 'Aum' dalam bahasa hindi atau sanskrit atau urdu, aku tak pasti, bermaksud tuhan! Begitu juga dalam doa buka panggung dalam persembahan wayang kulit juga ada menyebut 'om' - bahasa siam yang bermaksud tuhan. Bukankah ini bagus!
Pertama bagusnya ialah - yoga itu satu senaman, dan kedua bagusnya - sambil senaman sambil ingatkan tuhan! Bukankah itu minta terus-menerus dari tuhan dan ini samalah seperti solat! Dan aku sangat bersetuju dengan Abdullah Jones dalam entrinya - 'zinza'. Silat-silat melayu banyak doanya berlapis-lapis minta izin jin, jembalang, saiyidina ali, hussin, hassan, muhammad, jibril, mahathir, najib, paklah... (hahahahahahahaha).
Hmm, 'penkid'. Kesian diorang ni, tau. Diorang ni manusia juga - samalah dengannya kita ni semua. Apa yang boleh diorang buat kalau orientasi seksnya begitu? Bukan 'penkid' saja, malah 'pondan' pun. Ianya melalui jalan yang sukar untuk menukar orientasi seks. Kalau tak percaya, cuba tanya menteri pelancongan kita. Kadang-kadang, orang lelaki ni, suka juga nonton 'blue' pasangan lesbian. Betul tak?
Baru-baru ni, 10 november, berlangsung seminar isu-isu semasa, menyentuh topik akidah di masjid wilayah, anjuran JAWI. Yang hadir semuanya kakitangan kerajaan. Kenapa tidak JAWI buat satu seminar terbuka? Takut ke JAWI oi... Kalau takut, tukar nama kepada RUMI.
Dan ini cerita merapu yang terakhir - keputusan UPSR mencatat peratusan terbaik berbanding tahun lepas. Apa ni? Tiap-tiap tahun, berita keputusan peperiksaan mesti guna ayat yang sama - "peratusan terbaik berbanding tahun lepas". Ini samalah juga dengannya penggunaan ayat yang dituturkan menteri kewangan kita - "ekonomi negara kita masih stabil walaupun ekonomi dunia sedang goyah". Dan juga digunakan oleh menteri kesihatan - "kementerian berjaya mengawal wabak JE" (padahal dah ramai yang mati).
Inilah dasar sebenar perlembagaan Malaysia yang dibentuk oleh UMNO. Dasar ini diberi nama DSHSBK - 'Dasar Sapu Habuk Sembunyi Bawah Karpet'. Inilah dasar yang menyekat kita untuk mengenali agama lain, adat resam bangsa lain, MENYEKAT CERITA-CERITA BARU DALAM FILEM KITA (ini untuk Nam Ron dan Where aka Wan Azli), juga kita dikongkong dengan label-label yang memisahkan komuniti, dan paling penting dalam dasar ini ialah YANG KAYA SEMAKIN KAYA!!!
Jadi, marilah kita minum wiski 'black label' atau kepada sesiapa yang tak minum, ambil botolnya sahaja, kasi baling ke bangunan PARLIMEN dan ISTANA NEGARA! Agong sekarang sibuk memperkudakan kita rakyat jelatanya! Dia tak perasan tu, dia tak perasan...

Selasa, 11 November 2008

SembangSumbang

Kepada warga (baca: 'blogger') yang ada kaitan dengan negeri Perak, tak kira dia lahir kat Perak kemudian membesar kat tempat lain, ATAU memang lahir dan membesar kat Perak, ATAU bernikah dengan warga Perak, ATAU terbuang ke negeri Perak atas perintah mahkamah, ATAU ada kekasih warga Perak (eh, boleh ke? entah tak pasti pulak aku), ATAU kampung dia kat Kangar, tapi dalam perjalanan dari Kuala Lumpur, kereta dia rosak kat Ipoh... bla bla bla bla....

Ah, senang cerita, klik link yang aku bagi kat bawah ni, baca sendiri!

http://go-perak.rentaprevolusi.com/

Sekian, terima kasih... hehehe

Jumaat, 7 November 2008

Kita adalah WARGA

Hahahaha, aku gelak besar masa aku dengar berita yang Gabungan Melayu Perak jumpa Sultan Azlan, serah memorandum. Kononnya, mintak bangsa-bangsa lain (baca: india dan cina) supaya jangan dok ejek melayu lebih-lebih. Orang melayu ni nampak je garang, tapi hati - buah hulu! Celup dalam kopi 'o' panas, lembik terus. Hahahahahaha huhuhuhu hihihihihi... Melayu, melayu...

Yang mereka ni pergi jumpa sultan ni buat apa? Apa yang sultan ni boleh buat? Bagi titah ucapan je lah. Kemudian, sultan ni akan pergi lepak tengok hoki, ataupun tersenyum puas bila 'dewan merdeka' yang banyak berjasa dan kenangan pada rakyat sudah dirobohkan kerana menghalang pemandangan MCKK! Kapardam dia pentingkan MCKK. Mentang-mentanglah itu sekolah dia dan kerabat-kerabatnya seantero Malaya!

Setiap makhluk tuhan, setahu aku, dicipta ada kelemahan dan ada kekuatannya. Kekuatannya digunakan apabila merasa diancam. Seperti tumbuhan liar kemuncup - dia akan gunakan kemuncupnya untuk melindungi dirinya. Begitu juga sesumpah atau pok kei - akan bertukar warna mengikut persekitarannya, apabila diancam.

Dan bangsa melayu ada sultan untuk melindungi mereka dari diancam. Pada mulanya, mereka ada UMNO. Tapi nampaknya perlindungan dari UMNO ni tak berapa jalan, maka akhirnya, mereka jumpa sultan. Tak tahulah, jalan ke tidak perlindungan dari sultan ni. Kalau tak jalan juga, dengan ini mereka akan keluarkan senjata mereka yang terakhir iaitu PEKIDA.

Kepada seluruh warga, tak mengira bangsa dan agama, aku mengesyorkan dengan beraninya, bersamalah kita hapuskan sistem feudal atau raja ni. Dengan adanya mereka ni, selagi itulah kita dicengkam isu perkauman sebab mereka ini raja melayu dan orang melayu pun merasa bongkak riaknya lalu bangsa-bangsa lain terutama peribumi orang asal (baca: negrito, jahud, mah meri) akan ditindas mereka. Dan sudah sifat bangsa melayu yang ingin senang dengan mudah, maka mereka terlupa bahawa sultan inilah yang memanggil penjajah Inggeris, dan bangsa melayu inilah juga yang menjual tanah rizab melayu dan juga kakitangan awam melayu ini jugalah yang menerima rasuah lalu bangsa cina (yang terkenal sebagai kapitalis dan fundamentalis) akan membuat pelbagai angkara. Kemudian, bila terjadi musibah dan ancaman dari cina dan india, mereka menyalahkan cina dan india sudah lupa sejarah asal-usul.

Siapa yang lupa sejarah?

Dato' Maharajalela takkan lawan Inggeris kalau hak cukainya tidak diganggu Birch. Apabila hak cukainya diganggu, maka diserunya kepada rakyat jelata bahawa Inggeris jahat (memang jahat pun).

Nabi Muhammad yang menjadi junjungan melayu ini sehingga nama dan pakaian mereka pun diadaptasikan dari negara Arab ini pun bersabda: "tuntutlah ilmu sampai ke negeri cina" dan sabda ini bukanlah bermaksud supaya kita pelajari tamadun kertas dan bom yang dipelopori oleh cina semata. Tapi, menuntut ilmu fundamental dan gunakan ilmu fundamental itu kembali sebagai perisai dari ancaman fundamentalis dan kapitalis serta imperialis!

Parameswara itu 'hindu' agamanya sebelum memeluk islam. Kenapa nak benci bangsa india yang beragama 'hindu' sedangkan inilah agama asal nenek-moyang sultan-sultan melayu ini!

Quran yang menjadi pertandingan tilawah setiap tahun oleh bangsa melayu ini juga ada tertulis - "agamamu, agamamu. agamaku, agamaku".

Kalau di wajah melayu ini penuh dengan kebencian terhadap kaum lain, bagaimana kaum lain ini hendak menghormati mereka? Aku tertarik dengan katabual dalam filem 'Talentime' arahan Yasmin Ahmad. Katabual ini diucapkan oleh wanita india yang kematian adik lelakinya yang dibunuh oleh melayu - "mereka menyembah tuhan mereka banyak kali sehari, tetapi kenapa mereka sanggup berbunuhan?" Lebih kurang beginilah.

Sekali lagi aku menyeru, hapuskan feudalisme! Hapuskan kelas-kelas masyarakat! Semua manusia adalah sama. Semua manusia adalah WARGA! Tidak ada raja dan rakyat! Hanya WARGA!!!

Rabu, 5 November 2008

Tolong bagi cadangan untuk nama baru 'White House'


Hehehe, tahniah Obama Barrack - akhirnya rakyat Amerika bersikap terbuka terhadap dasar perkauman dan warna kulit. Akhirnya demokrasi di Amerika Syarikat ni terbukti dan arkitektur di Washington bolehlah dibanggakan sebagai pengaruh dari Athens.

Parti Republikan dan Demokrat memang saling silih berganti di Amerika Syarikat kerana perlembagaan mereka hanya mengamalkan dua parti. Asas kedua-dua parti ini sangat berbeza. Republikan mementingkan perniagaan senjata dan dasar imperialis manakala Demokrat mementingkan kemanusiaan dan kepentingan domestik Amerika Syarikat sendiri. Apabila George Bush melancarkan Perang Teluk di Iraq pada awal 1990-an, ini telah meresahkan rakyat mereka lalu memilih Bill Clinton dari Demokrat untuk menamatkan keresahan ini. Tetapi, Demokrat gagal dari segi ekonomi, lalu rakyat memilih kembali Republikan. Ini sudah menjadi turun-temurun di Amerika Syarikat. Tetapi, kali ini, ekonomi Amerika Syarikat di bawah Republikan mengalami kemerosotan yang terburuk dalam sejarah! Ini salah satu sumbangan kepada kemenangan Demokrat sambil dibantu karisma Obama.

Kulit hitam dalam demokrasi Amerika Syarikat memang menghadapi perjalanan yang sukar. Tapi, mereka ini tetap gigih. Mungkin sejarah juga mengajar mereka. Aku memang salut kat mereka ni. Akhirnya kulit hitam di Amerika Syarikat tidak lagi dianggap sebagai hero dalam filem Hollywood ataupun penyanyi 'soul R 'n' B' yang seksi ataupun 'rapper'. Mereka hari ini dipandang sebagai Presiden Amerika Syarikat - sekaligus menghapuskan dasar warna kulit.

Soalan yang bergejolak dalam kepala aku sekarang ialah - bila Malaysia boleh menghapuskan dasar perkauman ni dan bersama membina demokrasi tulen?

Apapun, aku lebih berminat buat masa ini untuk sama menyingkap sejarah perjuangan kulit hitam di Amerika Syarikat dan aku telah memilih tokoh pentingnya - El-Hajj Malik El-Shabazz.

Sila buka link ini untuk sejarahnya:

http://en.wikipedia.org/wiki/Malcolm_X

Zabur Si Daud


Psalm 23

A psalm of David.


The LORD is my shepherd, I shall not be

in want.


He makes me lie down in green pastures,

he leads me beside quiet waters,

he restores my soul.


He guides me in path of righteouness

for his name's sake.


Even though I walk

through the valley of the shadow of death,

I will fear no evil,

for you are with me;

your rod and your staff,

they comfort me.


You prepare a table before me

in the presence of my enemies.

You anoint my head with oil;

my cup overflows.


Surely goodness and love will follow me

all the days of my life,

and I will dwell in the house of the LORD

forever.

Selasa, 4 November 2008

Teater 'The Birds'

Aku menontonnya di auditorium Muzium Negara, pada 25 Oktober. Pada mulanya, aku malas nak tulis pasal teater ni sebab aku berbelah bagi nak tulis ke tak nak atas beberapa perkara mengenai teater ni. Tapi, satu malam, baru-baru ni, aku bercerita kepada kawan aku Pok Mey, dan dia menyarankan, aku mesti tulis pasal teater ni sebagai majlis ilmu.

Ini produksi budak-budak tahun pertama seni persembahan UM, tapi budak-budaknya bukanlah budak-budak. Budak-budaknya ialah Shahrul Mizad, Rosman Ishak, Juhara Ayub yang menyambung pengajian ijazah mereka. Dengar saja nama ini, boleh dikatakan, pentas mana saja yang diorang tak jejak. Sampai ke tahap itu, lah diorang ni dengan teater...

Kerana mereka inilah membuatkan aku berbelah bagi nak tulis. Aku faham Puan Rose (Roselina Khir), tentu susah dia nak mengawal budak-budak ni.

'The Birds', sebuah komedi Greek karya Aristophanes. Terus-terang aku katakan, inilah kali pertama aku menonton komedi Greek kerana sebelum aku dihidangkan dengan tragedi Greek dan tragedi Sauk - Hahahahaha.

Teks ini, sangat kuat dan ada juga relevannya dengan apa yang berlaku di negara Malaysia kita yang tercinta ni. Aku rasa, kerana relevan inilah Puan Rose memilih teks ini kerana budak-budaknya kali ini bukan lagi lepasan STPM, maka Puan Rose mengharapkan sesuatu akan berlaku - dan malangnya ia tak berlaku.

Kita tengok dulu apa yang berlaku di Malaysia hari ini ya. Kita hari ini di dalam zaman peralihan sistem pemerintahan dari demokrasi autokrasi Mahathir kepada demokrasi berpelembagaan tulen atau mungkin juga akan menjadi demokrasi liberal Anwar Ibrahim. Demokrasi hadhari Abdullah Badawi cuma sebagai iklan, dan waktu iklan inilah rakyat membuat pilihan sama ada untuk terus menonton telenovela demokrasi autokrasi Mahathir yang akan disambung oleh Najib Razak ataupun, tukar ke rancangan demokrasi liberal Anwar Ibrahim. Ini yang berlaku di Malaysia hari ini. Sila ambil nota.

Kenapa Puan Rose memilih 'The Birds'? (ini cuma tanggapan aku)

Kita jenguk pula ilmu sains politik dan sejarah ya. Dalam politik, ada corak pemerintahan yang dinamakan 'autokrasi' yang mempunyai sistem pemerintahan yang bercorak mutlak dan menyeluruh atau totalitarian seperti yang pernah diamalkan oleh Mussolini di Itali dengan Fasisnya, Hitler di Jerman dengan Nazinya dan Stalin di Soviet dengan Komunisnya. Lawan kepada sistem ini ialah sistem 'demokrasi'.

Pemerintahan beraja atau monarki mutlak juga tergolong di dalam sistem autokrasi.

Pada zaman Greek, pemikir ulung Plato dan anak muridnya Aristotle sudah membicarakan tentang sistem demokrasi. Plato menegaskan - perlunya pendidikan dan asuhan yang teratur dikenakan kepada rakyat agar mereka mempunyai sifat mengenali apa yang baik dan tidak baik untuk kepentingan bersama. Beliau khuatir kekurangan asuhan dan pendidikan akan mengakibatkan rakyat tidak berkeupayaan untuk mengendalikan demokrasi. Beliau juga menasihatkan supaya rakyat berhati-hati dalam mengamalkan demokrasi yang memungkinkan pemilihan pemimpin tidak setia kepada kepentingan negara.

Aristotle pula mencirikan demokrasi di Athens -

1. peluang penyertaan yang sama rata kepada semua rakyat dalam hal menentukan kepentingan bersama bagi rakyat.

2. perbincangan yang terbuka mengenai semua dasar yang ingin dilaksanakan.

3. penghormatan yang tinggi yang diberikan kepada peraturan negara yang dicapai secara muafakat.

Kita lihat pula sejarah Athens yang pada asalnya mengamalkan sistem demokrasi. Kemudian apabila berlaku perang antara Sparta dengan Athens, tentera Sparta telah berjaya memenangi perang ini sekaligus manghapuskan sistem demokrasi di Athens dan menggantikannya dengan sistem beraja mutlak dan kejam.

Apa itu sistem beraja mutlak?

Raja jenis ini dikatakan mempunyai ciri-ciri ketuhanan serta memainkan peranan pemerintahan, sebagai ketua agama serta hakim serta menggunakan kuasa paksaan untuk memerintah. Biasanya, corak pemerintahan ini wujud apabila seorang pahlawan atau orang besar mengambil alih pemerintahan negara dengan mengalahkan pemerintah yang sedia ada. Oleh sebab ia tidak mempunyai pengiktirafan rakyat, ia akan mengumumkan dirinya sebagai orang yang diberi mandat oleh tuhan untuk memerintah.

Tengok, mungkin ini yang Sultan Melaka dahulukala buat lalu mengatakan diri mereka ialah keturunan dewa-dewa dari Bukit Siguntang! HAHAHAHAHA

Apa yang berlaku dalam teater 'The Birds'?

Pithetaerus dan sahabatnya Euelipides telah lari dari Athens dan pergi menemui Raja Burung (yang disumpah oleh dewa) untuk membentuk sebuah kerajaan baru. Kenapa burung? Lihat dalam teks ini ya - burung dikurung dan dilastik oleh manusia sedangkan burung ialah simbol kepada kebebasan. Jadi, pemilihan burung sebagai simbol di sini sudah tentunya untuk hidup bebas! Ini demokrasi. Cara Pithetaerus membentangkan ideanya di hadapan semua warga burung dan berlaku argumentasi - ini juga konsep demokrasi.

Pithetaerus juga ingin menghapuskan kesetiaan kepada dewa-dewa yang selama ini telah menakutkan serta menghadkan kebebasan. Ini dengan terangnya menyangkal sistem beraja mutlak yang kononnya dilantik oleh tuhan atau dewa-dewa. Ini juga demokrasi!

Tapi malangnya, teater 'The Birds' yang dilakonkan oleh budak-budak UM ni tidak mencapai tahap pemikiran sebenar Aristophanes! Padahal, pelakonnya bukanlah calang-calang tetapi persembahan ini saling tak tumpah macam pelawak dari kumpulan Senario, yang terkinja-kinja di atas pentas kerana dalam kepala mereka tertanam ini teks KOMEDI! Neraka jenis apa ni? (what the hell is this)

Aku datang menonton pada malam itu dengan harapan yang tinggi tentang 'The Birds' memandangkan para pelakonnya sangatlah pelakon yang terdidik, berpengalaman serta bertanggungjawab. Tidak kiralah sama ada ini cuma kelas kamu. Tapi, aduh... aku tak tahu nak tulis apa lah!

Aduh... 'frust' aku. Jadi, Syahrul Fitri dan Nam Ron, aku rasa politik dan seni memang tak dapat dipisahkan sama ada politik disenikan, ataupun seni dipolitikkan. Hahahahaha

Isnin, 3 November 2008

Nak jadi apa

Masa aku di sekolah dahulu, bila cikgu bertanya tentang cita-cita untuk mengisi fail 001, aku pasti menjawab menjadi tentera, polis, peguam, doktor - ini masa sekolah rendah; tapi di sekolah menengah, cita-cita aku mula berubah. Disebabkan ada tiga pilihan, jadi aku letakkan cita-cita aku ialah penulis, pelukis dan pengarah filem. Hahahaha - yang kelakarnya, aku hari ini hanyalah seorang sambilan tukang kayu dan sambilan pelakon (sedang berusaha untuk menjadi penulis yang prolifik). Nak jadi pelukis? Tangan dah keras weh...

Dan aku masih ingat, seorang kawan bercerita tentang hal yang sama di mana rakan sedarjahnya bercita-cita menjadi 'superman'! Hahahaha, aku tak boleh bayangkan apa jadi kat dia sekarang.

Begitulah ya, hakikatnya yang dikatakan orang - kita mampu merancang, hanya tuhan menentukan. Apa saja boleh berubah dalam jangkamasa sedetik.

Kenapa aku tulis ni - aku sebenarnya nak tengok kembali keupayaan aku. Janda aku SPR (sistem pesanan ringkas) aku sebelum ni yang dia ada baca buku berkenaan dengan tarikh lahir dan peribadi. Aku, manusia yang lahir pada 22 Januari dikatakan melalui perkara yang sangat sukar dalam hidupnya dan akan belajar dari pengalaman akhirnya aku akan bahagia. Aku juga seorang 'happy go lucky' (hmmm), sesuatu yang unik berlaku pada aku (bonggol kat belakang aku kut...), dan aku patut bekerja di bahagian kreatif kerana ada banyak idea tapi tak ada kederat nak buat. Hahahaha - dulu, ada rantai kunci yang dijual di 'Tujuh Sebelas', rantai kunci ni juga menyentuh hal yang sama - tarikh lahir dan peribadi. Aku tak beli, tapi akhirnya aku dapat hadiah harijadi dari kawan aku. Rantai kunci tu tulis -

"22 JANUARY: Folkland Islands ceded to Britain 1771. First British Labour PM 1924. Francis Bacon, Statesman born 1561. People born on this day show a deep interest in other people. Occasionally they like to act the clown. This person thrives on originality. They will step into the unknown."

Sah-sah lah rantai kunci pro-British, kan. Apa yang menarik pada penyataan di rantai kunci ni ialah Sir Francis Bacon. Dia seorang penyair, ahli politik dan akhirnya menjadi Perdana Menteri England pada 1618. Bukan itu saja, dia juga seorang saintis! Dia menjadi tokoh saintis moden selepas Copernicus, Keplen dan Galileo dengan menghasilkan buku yang berjudul 'The Advancement of Learning' (1605) dan 'Navum Organum Scientiarum' (1620) dan ia menerangkan tentang cara baru kajian sains.

Jadi, aku tak hairanlah kalau aku juga mempunyai minat yang banyak dalam satu masa. Hahahahaha
Satu malam, di 'No Black Tie' (ialah sebuah bar), ada persembahan. Aku berbual dengan Chris, ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM). Kata Chris, sosialis di sini cuba menggunakan elemen seni dan sastera sebagai metod berkempen. Metod ini rupa-rupanya sangatlah kafir bagi sosialis dari Rusia yang dah tua-tua, kata Chris lah. Kemudian, aku berbual dengan Azwan Ismail pula (perkara macam ni biasa berlaku kat aku bila aku minum bir, semua orang aku nak tegur dan berbual). Sebelum tu, aku menyaksikan persembahan bacaan fragmen novel dan paling menarik - Rahmat Haron. Ada sajaknya yang susah nak ingat tajuknya, menyentuh pasal pemikir (?) seperti Hamil Wariya dan Halid Jaafar yang lepak di kafe-kafe di Bangsat Utama lalu membicarakan tentang kesusahan rakyat.
Aku pernah mengambil mood ini - lepak di kafe 'Dome', minum wain di rembang azan zohor lalu membicarakan soal falsafah dan kehidupan bersama teman-teman. Kononnya mengambil ruh semangat Jean Paul Sartre. Tapi, aku lupa aku sepatutnya tak perlu bercakap banyak - terus turun padang dan rasakan sendiri! Lalu itu, aku memilih untuk menjadi 'set artist' dan akhirnya menjadi tukang kayu. MENJADI BURUH. Rasakan sendiri hangit keringat, dan muka yang berdebu dan berminyak (bak kata Yati Abdullah dalam sajaknya - 'Nite Market'). Rasakan sendiri bagaimana berurusan dengan bank untuk membuat pinjaman semata untuk kahwin. Rasakan sendiri bagaimana semata-mata untuk mengejar taraf hidup lalu berhutang dengan AEON.
MENJADI BURUH YANG BANGGA DAPAT MINUM STOUT SETELAH PENAT BEKERJA (bukan sebab nak mabuk, tapi nak kembalikan tenaga. Stout penuh dengan vitamin B2 ya). Menjadi rakyat yang menggunakan pengangkutan awam dan basikal tentunya (kerana tak mahu berfikir tentang masalah enjin dan ansuran bulanan). KALAU DAPAT JADI PETANI LAGI BAGUS.
Dan dari sini, dari asas ini, bagi aku, barulah boleh bicarakan soal rakyat dengan penuh integriti (telus) dalam apa bidang sekalipun. Jangan lagi minum cappucino di kafe-kafe, tapi minumlah neslo ataupun kopi guaranatongkataliginseng di warung-warung bersama tikus-tikus yang berpesta kerana kucing bukan lagi musuh. Hadapi realiti.