dari kiri: Jimi, Ebot, aku dan Lan
Hahahahahahahaha
Ini ialah 'band' projek suka-suka.
Kumpulan kita orang terbentuk secara tak sengaja lebih kurang lima tahun yang lalu. Tak ingat tarikh spesifik tapi yang aku ingat, kita orang keluar pada malam raya, tak tahu nak ke mana, kita orang terus serbu studio 'jamming' Zai Am - antara studio yang dah lama bertapak di Kuale (tak silap aku, budak-budak Butterfinger pernah 'jamming' kat sini, dan jangan terkejut kalau terserempak dengan Aris Ariwatan dan Lola XPDC - mungkin Mamat Khalid kenal Che' Ri, tokeh studio).
Kemudian, setiap tahun menjelang hari raya, ketika kami berkumpul, kami jadikan 'jamming' sebagai aktiviti wajib. Ebot, si 'drummer' - cikgu sekolah Cina kat JB. Jimmy, si penyanyi - pembantu perangkaan kat Ipoh. Lan, si gitar utama - cikgu kat Kuale. Aku, si bass - dah banyak kali cuba 'exam' kerja gomen tapi tak pernah lulus! Hahahahaha. Disebabkan aku je yang bukan 'gomen servant', maka itulah nama 'Kuarters Kerajaan' dipilih.
Masa aku bekerja di KL, kami semua memang jarang berjumpa. Kami 'jamming' setahun cuma tiga kali je! Hahahahaha, dah lah sekali 'jamming' sejam je. Memang sah - hancur! Tak ada persediaan langsung - masuk, terus main.
Sekarang, sejak aku menetap kat kampung, boleh lah kerap juga 'jamming', cuma 'drummer' je yang susah nak balik sebab dia jauh sangat kat JB. Tapi, kami ada 'standby drummer' - Sham Laksa. Kali ini, kita orang dah serius sikit. Sebelum 'jamming', kita orang pilih lagu apa nak main dan praktis dulu. Mana lagu yang perlu ada gitar kedua, Lan akan telefon kawan dia.
Lagu-lagu kita orang taklah hebat mana. Lagu-lagu rock dan slow rock 80an - alah senang cerita - 'very the malay lah'!
Kita orang tak terfikir pun sampai dapat main kat kenduri kahwin walaupun masa kita orang 'jamming' kat Sungei Siput, tokeh tu ambil nombor telefon untuk panggil main kat kenduri kahwin (hahahahahaha), apalagi berhajat nak buat album (gila apa!). Tak terfikir pun... Kita orang cuma suka-suka, apa kata orang - riadhah.
Walaupun macam ni, kita orang masing-masing resah juga. Ebot akan bernikah bulan Mac ni. Jimmy dah bertunang dan akan bernikah hujung tahun ni. Lan dah ada awek, dan aku ada anak yang sedang membesar. Ketakutan utama - apakah nanti bila kita orang semua dah berkeluarga masih dapat bersosial begini?
Malam tadi, masa kita orang tunggu giliran kat kerusi panjang depan studio, sambil-sambil hisap rokok, tiba-tiba sekeluarga besar keluar dari studio - budak-budak, mak budak dan bapak budak. Hahahahaha - kita orang terus senyum sendiri dan terus saja berkata - "kita nanti macam ni lah gamaknya ya!"