Rabu, 17 Mac 2010

Kembara

Lagu 'Hati Emas' lalakan kumpulan Kembara memang bikin aku mahu mengembara. Aku mahu tengok negeri orang, tempat orang. Aku mahu tengok orang. Sambil tu, aku mahu tengok diri sendiri.

Masa aku budak-budak, bapak aku suka bawa anak-anak dia berjalan bila cuti sekolah. Tapi bapak aku tak ada kereta. Jadi, pengangkutan utama kami ialah keretapi mel ataupun bas Ekspres Nasional. Kalau kenduri kahwin abang-abang aku, barulah bapak aku sewa kereta.

Semasa aku tingkatan 3, aku mula bekerja sebagai konduktor merangkap kelindan merangkap pembantu pomen bas sekolah. Ini gara-gara aku ditangkap merokok di sekolah, maka bapak aku perintahkan aku berhenti sekolah supaya aku bekerja cari duit sendiri beli rokok. Tapi, aku bernasib baik, aku dapat ke sekolah dan bekerja pada masa yang sama.

Bas sekolah tu banyak jasanya. Aku dapat pergi ke tempat orang dengan bas ni lah. Satu semenanjung aku dah pergi. Ikut rombongan. Paling kerap aku pergi ikut rombongan masa tu ialah ke KL dan Kelantan. Sehinggakan jalan di Kelantan aku lebih hafal dari jalan di Ipoh.

Tapi, apabila ditanya, aku lebih suka mengembara dengan kenderaan apa, sudah tentu lagi yakin aku jawab - keretapi. Kenapa? Mungkin sebab masa aku budak-budak, tiap-tiap malam sebelum tidur, aku mesti dengar bunyi hon keretapi yang sayup-sayup merentap jantung. Mata aku yang mengantuk waktu tu pun mula terbeliak balik. Ketika itu juga, bapak aku akan bercerita mengenai nostalgia dia dari dia lari dari sekolah ke Singapura untuk masuk askar sehinggalah cerita pengalaman-pengalaman dia (ehem, aku tidur dengan bapak aku masa budak-budak dulu).

Sehinggalah bila aku dah pandai bikin anak ni pun, aku masih lagi jatuh cinta malah ada sedikit obses dengan keretapi. Aku suka dengar bunyi 'ketak-ketak' nya yang 'fade in' dan 'fade out'. Bunyi hon nya yang teguh. Relnya. Dan paling aku ingin tahu sekali ialah peranan 'key token' nya dan pengalih rel di stesen-stesen. Bagi aku, keretapi adalah semiotik kehidupan.

Sesetengah orang tak boleh terima perjalanan dengan keretapi kerana ianya lambat. Tapi bagi aku, itulah peluang untuk melihat tempat orang. Di setiap stesen membawa ragam budaya yang berbeza. Aku dapat alami sendiri geografinya. Tidak lagi hanya melihat rajah peta topo pada atlas.

Hari ini, aku mula berminat untuk mengembara. Bukan dengan keretapi. Tapi dengan kapal. Kenapa? Hmmm... kerana hon nya lagi teguh dan padu!