Ahad, 28 Jun 2009

Terima kasih



Seperti biasa, aku tak ada kamera (sebab aku terus dari KL naik bas ke Teluk Intan, tak sempat nak balik Kuale ambil kamera) untuk merakam peristiwa yang berlaku di "Pentas Kita... Karya Kita..." yang berlangsung di Kampung Sungai Sumun, Bagan Datoh. Apa yang boleh aku tulis, ianya berjaya dan dengan tidak disangka-sangka, album Nik dan Meor laku dan dibeli oleh pakcik-pakcik dan makcik-makcik. Nah, di sini kita boleh lihat bahawa Mawi dan Tomok, Siti Nurhaliza dan Waheeda bukanlah selama-lamanya bertakhta di hati mereka.

Aku persembahkan dua buah monolog. Gementar weh... Bila tengok kat depan, penonton semua berkain pelikat dan berkopiah (baru balik dari masjid), rasa macam nak buat ceramah PAS pulak, ahak! Kemudian, ada budak-budak main kat keliling pentas ( ye la, kat laman rumah), kamera berdesup-desap lampu 'flash' nya. Ianya sebuah suasana baru bagi aku yang selama ini berpentas di rumah kedai dan di galeri lukisan dan di dewan seminar. Kalau lama dulu, aku berpentas di panggung yang tertib dan gah. Terus aku rasa, tak sia-sia aku kutuk Rais Yatim - hahahahaha.

Cerita yang sama oleh orang lain ada di sini sini sini.

Apapun, aku nak ucapkan jutaan terima kasih istimewa kepada Pak Karamu dan keluarga yang bersusah-payah dalam segala hal, Meor Lanterajiwa, tim Bloggers Network Perak yang dikepalai oleh Mat Saman Kati, seniman-seniman yang terlibat termasuk Abdullah Jones (hahahaha, tu la kau, dok lagi kat tepi tu, lain kali dok kat depan, jadi audiens) serta warga kampung Sungai Sumun.

4 Julai ini, selain dari menyambut hari kemerdekaan Amerika Syarikat, ayuh kita ke Kajang -

"MALAM SENI RAKYAT" (klik poster di sebelah)

Khamis, 25 Jun 2009

AYUH!

Kalau pada tahun-tahun 30an, 40an, dan 50an, pastinya pakcik-pakcik dan tokcik-tokcik semua akan tertunggu-tunggu kehadiran sebuah rombongan besar yang diberi nama Pushi Indera atau Grand Noran atau Bintang Timur untuk mempersembahkan opera bangsawan di pekan-pekan atau di kampung-kampung.

Jika di pantai timur, Kelantan dan Terengganu, setelah saja padi dituai, maka berduyunlah rakyat jelata ke jelapang bendang apabila terdengar saja geduk-gedombak-tetawak berpaluan, menandakan wayang kulit sudah bermula.

Di selatan, angklung dan gendang sunda sudah menarikan kuda kepang. Ada juga yang menjerit "hamdolok!"

Di utara, awang batil sudah berhikayat sehingga budak-budak ternganga. Ada juga yang berahikan darai ghazal party.

Tapi itu semua sudah "tinggal kenangan" bak kata Wings dalam lagunya - Sejati.

Tapi, hari ini, tanpa usaha dari Kementerian Rais Yatim yang beriya nak merakyatkan seni (tapi bikin kat KL Pac), seperti juga gig-gig yang berlangsung di Paul's Place dan di dewan MCPA, sebuah persembahan dari seniman-seniman untuk rakyat akan berlangsung di Kampung Sungai Sumun pada esok, 26hb Jun 2009. <klik> <klik> <klik>

Tinggalkan Astro sebentar, tinggalkan TV3 apalagi RTM sebentar. Ayuh, kita nonton

"MALAM SENI PENTAS KITA... KARYA KITA..."

Sabtu, 20 Jun 2009

Nama baru jika Pas masuk Sarkas

'Hadi Awang and the Gang' pernah melabel Sarkas sebagai kafir laknatullah. Jika benar Hadi bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan tajaan Sarkas, ini bererti Pas yang beragama islam ini sudah murtad. Jadi, kemungkinan menukar nama dan menggugurkan tajuk 'islam' pada kad pengenalan akan berlaku.

Maka, bermulalah sebuah kes baru di mahkamah persekutuan sepertimana kes Lina Joy. Apakah nama baru yang bakal diletak nanti?

Eh, macam mana dengan Zulkifli Noordin? Mahu ke dia kendali kes ni?

Idea kasar



Ramai orang di kaki bukit. Semuanya bersongkok dan bercapal. Ada juga yang lengkap berbaju songket berkilauan siap bertanjak tengkolok. Semua orang ada keris di pinggang. Suasana riuh-rendah. Tiba-tiba terdengar pekikan - "hidup melayu!" dan disambut orang ramai dan diulang tiga kali. Bergegar langit seketika sehinggakan malaikat tergelincir. "Tak guna punya melayu," kata malaikat.

Di antara orang ramai itu, kelihatan seorang lelaki yang paling gelisah. Ke sana tidak kena, ke sini tak boleh, ke sinun mengeluh. Beberapa orang di sekeliling memerhati dia - buatkan dia lebih tak tenteram.

"Woi Najib! Apa cerita ni?" salah seorang dari orang ramai itu bertanya. Dia - Najib berhenti mundar-mandir dan memandang orang yang bertanya dengan rasa serba-salah. "Berapa lama kita nak tunggu?" tanya seorang lagi. Kemudian tiba-tiba, bertindih-tindih soalan diajukan sehingga tak kedengaran butir kata. Najib jadi bingung. Tak tahu nak buat apa. Lututnya menggigil. Tangannya menggigil. Seluruh badannya menggigil lah. Sementara itu orang-ramai mula bising - memberontak.

"Diaaammmmmm!!!!!!" Semua orang diam. Sekali lagi malaikat tergelincir kerana terkejut mendengar pekikan tadi. "Tak guna punya betina. Nasib baik tak patah tulang radius aku!" kata malaikat.

Semua orang bertumpu pada susuk tubuh di sebelah Najib. Semua orang tunduk takut. Kedengaran bisikan-bisikan di celah-celah orang ramai menyebut, "Bik Mama."

"Cuba bawa bersabar!" kata Bik Mama kepada orang ramai. "Sekejap lagi datanglah Hadi membawa kitab untuk kita semua. Najib tak pernah berbohong malah dia tak pandai berbohong!" ujar Bik Mama lagi.

Tiba-tiba suasana terang-benderang. Bersemarak cahaya dari atas bukit. Semua orang cuba menahan mata mereka dari terkena silau. Dari arah silauan itu, kelihatan siluet susuk tubuh datang ke arah mereka. Cahaya yang bersilau itu hilang beransur-ansur. Apabila pupil masing-masing dah mula mengecil, maka jelaslah kelihatan oleh mereka bahawa susuk tubuh yang turun dari bukit itu ialah Hadi. Di tangan Hadi terdapat seketul batu sungai yang bertulis jawi.

"Nah, untuk kalian!" kata Hadi sambil menjulang batu bersurat itu. Maka disambutlah dengan jerit pekik sorak sorai!!!

SembangSumbang

"Kerana kelak semasa di Mahsyar (mahkamah Allah) pasti akan dibicarakan juga. Sebagai hamba Allah yang kerdil, saya hanya mampu berusaha, berdoa dan berserah sepenuhnya kepada Allah SWT sahaja, kerana Dialah yang Maha Adil lagi Maha Berkuasa,"


- diriwayatkan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan

Jumaat, 19 Jun 2009

Membela PKM dan Chin Peng

+++diambil tanpa izin dari Malaysiakini atas tujuan ilmu.

Oleh: Lee Ban Chen

Dua puluh tahun dahulu, perjanjian damai Haadyai ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya (PKM), maka perang saudara ditamatkan, dan bermulalah suatu proses persefahaman yang menguntungkan perpaduan nasional dan pembangunan negara.

Antara lain, sumbangan PKM dalam perjuangan kemerdekaan akhirnya diakui kerajaan. Datuk Rahim Noor, bekas ketua polis negara dan ketua rombongan perunding masa itu mengumumkan bahawa sumbangan PKM dalam perjuangan kemerdekaan tidak dinafikan atau diperkitaikan oleh kerajaan.

Di samping itu, menurut Darshan Singh Khaira - peguam Chin Peng, Fasal 3.1 perjanjian damai itu menyatakan anggota PKM yang telah meletakkan senjata dan ingin kembali ke kampung halaman mereka di Malaysia dibenarkan berbuat demikian secara bebas.

Dengan kata lain, jika perjanjian damai diterima bulat oleh kerajaan, Chin Peng sewajarnya dibenarkan kembali ke Malaysia bersama-sama kawan-kawan seperjuangannya 20 tahun dahulu!

Oleh kerana permohonan Chin Peng untuk kembali ditolak oleh kerajaan, beliau terpaksa mengambil tindakan undang-undang melalui mahkamah. Mahkamah di semua peringkat hingga Mahkamah Persekutuan sama-sama tegas agar Chin Peng kemukakan surat kelahiran dan kewarganegaraannya untuk membuktikan beliau diperanakkan di sini.

Permintaan ini mustahil untuk Chin Peng, kerana dokumen-dokumen tersebut sudah hilang dalam huru-hara peperangan. Hakikat Chin Peng dilahirkan di Setiawan, Perak diketahui umum di dalam dan luar negeri, dan sanak-saudaranya dengan senang saja dapat menjadi saksi untuk memberi keterangan di mahkamah.

Rasanya permintaan mahkamah hanya merupakan alasan untuk menafikan hak Chin Peng untuk menetap di Malaysia berasaskan prinsip jus soli.

Pada 21 Mei, pengerusi Citizens International, SM Mohamed Idris merayu kepada kerajaan supaya membenarkan Chin Peng pulang atas alasan-alasan berikut:

• Melalui perjuangannya menentang imperialisme, penjajahan dan penindasan, beliau telah membawa kehormatan dan maruah kepada negara dan rakyat kita;

• Telah menjadi fakta sejarah yang sahih bahawa perjuangan yang dibawa oleh gerakan pembebasan pimpinan Chin Peng, Rashid Mydin, Abdullah CD, Shamsiah Fakeh dan lain-lain telah menyumbang ke arah kemerdekaan Malaya;

• Sumbangan gerakan ini diiktiraf sendiri oleh mantan perdana menteri Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan Tun Abdul Ghafar Baba, seorang lagi mantan timbalan perdana menteri;

• Perjanjian PKM dengan kerajaan Malaysia pada 1989 membenarkan bekas pemimpin gerakan gerila itu pulang ke tanahair dan menetap, kerajaan digesa menghormati butiran perjanjian tersebut.

• Beberapa bekas pemimpin kanan PKM seperti Abdullah C.D., Shamsiah Fakeh dan Musa Ahmad telah dibenarkan oleh kerajaan untuk kembali, malah menetap di Malaysia.

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Dr Teng Hock Nan menyokong saranan Citizens International dan turut menggesa agar kerajaan mengkaji semula keputusan menolak permohonan Chin Peng berasaskan semangat kemanusiaan, demi mengenang jasanya dalam proses memperjuangkan kemerdekaan Malaya.

Rayuan mereka berasaskan kerasionalan dan keadilan, dan sesuai dengan butiran dan semangat perjanjian Haadyai 1989.

Malangnya Dr Teng telah dijadikan kambing hitam oleh beberapa golongan berkepentingan politik yang cuba mengapi-apikan sentimen anti-komunis dan kebencian kaum, mereka cuba menyimpang tumpuan orang ramai terhadap kebuntuan politik mereka.

Seperti biasa, Utusan Malaysia tampil untuk mengorkestrakan gelombang anti-komunis, dan dalam beberapa hari saja, kita kembali dalam suasana seolah-olah ketakutan menjelang Operasi Lalang apabila sesiapa sahaja boleh dicap komunis atau pelampau dan ditahan bawah undang-undang ISA.

Menteri Penerangan, Komunikasi, Seni dan Kebudayaan, Rais Yatim mengancam akan mengambil tindakan terhadap blog-blog yang dianggap menyebarkan “ideologi komunis”, dan mahu sentimen yang menganggap komunisme mempunyai nilai-nilai nostalgia dan positif dilupuskan sama sekali dalam pemikiran seluruh rakyat Malaysia.

Rais seolah-olah masih terbelenggu dalam mind-set anti-komunis zaman perang dingin. Kepada beliau, PKM masih dianggap sebagai musuh sungguhpun perjanjian damai telah ditandatangani selama 20 tahun!

Dalam sebuah negara demokrasi, siapakah berhak untuk menegah orang lain daripada mengenang dan menyanjung pengorbanan dan perjuangan masa silam mereka yang membanggakan, atau bertafakur dan mengambil iktibar daripada pengalaman-pengalaman dan kejadian-kejadian lepas?

Tidak kira kamu seorang konservatif, beragama, liberal, radikal atau berlatarbelakangkan sebarang fahaman politik atau ideologi lain, kamu mempunyai hak-hak kemanusiaan terhadap kebebasan-kebebasan bersuara, pemikiran, kepercayaan dan keyakinan.

Dengan kata lain, bekas ahli-ahli PKM, termasuk Mat Amin, dan mereka yang masih percaya ada nilai-nilai positif dalam komunisme/Marxisme, atau apa-apa isme sekalipun, mereka juga berhak mempunyai blognya sendiri (seperti ruang siber menempatkan beribu-ribu blog seperti ini).

Mereka harus dibenarkan berblog, jika mereka hanya menggunakan komputer dan patuh kepada undang-undang siber negara kita, bukan melancarkan perjuangan bersenjata terhadap negara.

Kutukan Rais terhadap komunisme secara tuntas menjelang kunjungan rasmi Perdana Menteri Najib Razak ke negara komunis China adalah tidak wajar dan melanggar kesusilaan diplomatik, terutamanya apabila hubungan setiakawan dan ekonomi kedua-dua negara sedang meningkat ke tahap kerjasama strategik.

Menteri Pertahanan Dr Ahmad Zahid Hamidi juga tiba-tiba terhidu semacam ada usaha yang berbau komunis cuba hidupkan di negara kita. Saya tidak pasti gerangan apa yang dimaksudkan Zahid sebagai “ideologi dan nilai-nilai komunisme” yang amat abstrak itu.

Kini, kita hidup dalam dunia di mana semua ideologi dan nilai sedang mengalami perubahan yang pesat. Tanpa diberi definisi yang tepat, tuduhan beliau itu boleh ditafsirkan dengan sesuka hati untuk tujuan memomokkan orang ramai.

Bagaimanapun, jika sengaja dikaitkan pihak-pihak seperti Gerakan, DAP, PAS, PSM dan seterusnya – yang pernah mengakuri sumbangan PKM dalam memperjuangkan kemerdekaan negara kita – sebagai ingin menghidupkan semula komunisme di negara kita, maka mungkin Rais dan Zahid sendiri juga tidak percaya!

Zahid tidak setuju Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia, beliau berpendapat jika Chin Peng kembali, ia merupakan penghinaan terhadap keluarga hampir 50,000 anggota pasukan bersenjata penjajah British dan kerajaan Malaysia yang maut semasa era darurat di Malaya.

Bercakap bagi pihak British, bukan bagi pihak PKM yang memperjuangan kebebasan nasional, membuktikan Zahid mengabdikan diri kepada kepentingan penjajah.

Perlu juga Zahid menerangkan kenapa bilangan kematian pasukan bersenjata British dan kerajaan Malaysia diperbesar-besarkan sehingga 50,000, sedangkan ahli sejarah pernah menganggarkan jumlah itu kurang daripada 2,000 bagi anggota pasukan bersenjata British dan kerajaan yang gugur dalam perang, dan kematian pasukan PKM pula mencecah 7,000.

Dua perkara penting berikut perlu dijelaskan. Pertama, dalam mana-mana perang sekalipun, tentu ada kematian dan kesengsaraan bagi kedua-dua pihak yang terlibat, cerita satu pihak saja tentu tidak adil kepada pihak yang satu lagi.

Padahal, dalam perang berjangka panjang seperti dalam perang anti-Jepun, perang pembebasan anti-British dan perang saudara selepas British meninggalkan negeri kita, jumlah kematian pihak PKM sebenarnya lebih beberapa kali ganda berbanding dengan jumlah kematian pihak British dan kerajaan Malaysia.

Di samping itu, beribu-ribu ahli dan penyokong PKM telah digantung mati, dipenjarakan, diseksa dan dibuang negeri. Rumah-rumah penduduk desa dimusnahkan, dan mereka dipaksa untuk pindah ke khemah-khemah tahanan (kampung-kampung baru) di merata negeri.

Kenapa kesemua pengorbanan dan kesengsaraan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PKM dan penduduk-penduduk desa tidak disebut langsung oleh media-media arus perdana dan menteri-menteri berkaitan?

Yang kedua, kita perlu membezakan antara perang adil dengan perang tidak adil. Jelas sekali, perang anti-Jepun dan perang anti-British yang dilancarkan PKM adalah perang adil untuk mempertahankan negara dan rakyat.

Oleh itu, mereka adalah patriot tulen, jasa-jasa mereka yang membanggakan ini patut dicatat dalam buku sejarah di peringkat persekolahan kita. Mereka yang berperang sebagai proksi British tidak berhak untuk menuntut simpati daripada rakyat.

Mungkin kamu akan bertanya: kenapa PKM masih berperang selepas British meninggalkan Malaysia? Mereka sebenarnya terpaksa meneruskan perang kerana inisiatif mereka untuk mencapai perjanjian damai di Rundingan Baling pada 1955 telah digagalkan oleh penjajah British dengan meletakkan prasyarat PKM mesti menyerah diri.

Jawaban Chin Peng ialah: “Jika kamu menuntut kami serah diri, kami rela melawan hingga orang terakhir!” PKM padahal tidak meminta lebih daripada apa yang pernah Tunku Abdul Rahman tawarkan.

Saya petik daripada memoir Chin Peng yang telah diterbitkan:

“Memandang lurus merentangi dua meja, saya katakan, dulu Tunku pernah sebut jika perjuangan bersenjata kami dihentikan, parti kami akan diberi kedudukan setaraf agar kami dapat memperjuangkan kemerdekaan melalui cara perlembagaan. Namun syarat-syarat pengampunan sekarang tidak mengandungi perkara tersebut.” (alias Chin Peng, My Side of History, halaman 379)

Jadi, siapa yang harus disalahkan, Chin Peng atau Tunku?

Khamis, 18 Jun 2009

Kulup sarkas (tak ada kena-mengena dengan KulupSakah)


Kedengarannya, berdenting-detup bunyi parang menetak orang di Kamunting. Ini bukan pelanggaran Penjara Kamunting yang boleh mencetus api revolusi sepertimana pelanggaran Penjara Bastille di Perancis pada 1789. Ini bunyi pergadohan antara kaum! India dan Melayu! Sudah seminggu berlangsung.

Halamak... ini sungguh memalukan! Dey, potong kasi anjing makan la... Aiyo...

Aku tidak menyalahkan sesiapa pun dalam soal ini. Begitu juga sejarahnya 13 Mei 1969, dan 4 Mac 2001. Ada lagi beberapa siri yang sengaja disembunyikan. Seperti yang aku bagitahu, kita kenyang dihidangkan oleh agenda tersembunyi.

Kenapa berita ini disembunyikan? Ahah, senang - sebab pekikan Najib 'Satu Malaysia' sedang dirakam di Angkasapuri, Sri Pentas dan Astro; 'banner' dan 'bunting' sedang dicetak; begitu juga risalah-risalah serta Mat-mat Belia sedang praktis lagunya - ini semua melibatkan kos yang tinggi.

Kalau imej pergadohan antara kaum ni muncul di tivi dan akhbar, alamat gagal lah pekikan Najib ni. Najib sendiri tahu bahawa idea dia ni sebenarnya tak boleh pakai. Tapi disebabkan dia dilantik menjadi PM, maka mengikut resam 'Sarkas' (alif, miim, nuun, wau, = sarkas), seorang PM mestilah punya slogan yang unik apabila pertama kali berucap di rostrum sebagai PM.

Bagaimana dia (sebut: Najib) hendak melaksanakan 'Satu Malaysia' nya sedangkan partinya yakni Barisan Nasionale dipecahkan kepada beberapa cabang! Maksud 'Satu Malaysia' nya itu seperti hendak diuli hingga sebati. Tidak lagi diklasifikasikan.

Jika ini maksudnya, Najib mesti membubar semua parti komponen Barisan Nasionale-nya menjadi sebuah parti yang esa, tunggal, satu, wahid, one, une, yat, seperti babi tunggal adanya. Malah, bukan sahaja Barisan Nasionale, tetapi Pakatan Rakyat juga. Antara mereka mesti hilangkan prejudis. Wujudkan sepertimana negara idola kita - Amerika Syarikat - sistem dua parti. Setelah itu, barulah dibuat agihan ekonomi yang adil dan saksama tanpa mengira kaum.

Selagi wujudnya harga bumiputera dan sekolah jenis kebangsaan, impian Najib takkan kesampaian. Malah impian Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Karpal Singh sekalipun.

Tidakkah perasan, bahawa ura-ura Hadi Awang dan Najib dalam merangka-bentuk apa yang dipanggil sebagai 'Kerajaan Perpaduan' ini sebenarnya bukanlah usaha menyokong konsep 'Satu Malaysia'. Tapi dalam usaha 'Sarkas' untuk meramaikan ahlinya dan sub-teks 'Satu Malaysia' itu ialah sebenarnya 'Satu Melayu'. Mereka masih lagi bermain dengan perkauman! Kenapa Najib tidak saja mengajak DAP dalam membentuk 'Kerajaan Perpaduan' tu?

'Sarkas' ni hanya tahu berkawan dengan anu yang dah disunat je. Yang masih berkulup, 'Sarkas' ni kena jual hidup-hidup. Dia tak tahu, kulup tu sebenarnya akal yang lebih cerdik dan bijak. Cerdik dan bijak sebenarnya bukanlah terpancar pada berkilatnya gondol kepala Najib.

Hahahahahahaha cuba tengok Mahathir Mohamed punya anu - entah-entah ada kulup kut!

Aku, kalau orang tanya, "habis tu kau apa kalau bukan Melayu?" Jangan harap lah aku nak layan soalan ni... Kakakakakakaka

Rabu, 17 Jun 2009

SembangSumbang

Mesti baca:

http://bedulous.blogspot.com/2009/06/ke-arah-satu-malaysia.html

Pentas Kita... Karya Kita...

Poster oleh LanteraJiwa


Tarikh :

26 Jun 2009 (Jumaat)

Masa :
8.30 malam

Tempat :
Laman Teratak Budi Ust. Ariffin Ngah Nasution @ Pak Karamu
Sungai Sumun, Bagan Datoh, Perak.
(selepas stesen minyak BHP Sungai Sumun)

MASUK PERCUMA, JAMUAN MAKAN DISEDIAKAN

*** Penghargaan kepada Pak Karamu atas budi tajaan tempat, pentas, cahaya, sistem bunyi dan makanan. Terima kasih.

Para Seniman:
Pyanhabib, Meor, Nik, KulupSakah, Mohammad Hariry, AirMas, Mat Saman Kati, LanteraJiwa & Bloggers Network @Perak.


Kepada sesiapa yang berminat untuk bersama-sama menyertai malam seni ini dengan mempersembahkan bakat samada mendeklamasikan puisi atau mendendangkan lagu dengan diiringi muzik akustik (secara langsung), sila hubungi unsur cinta berahi, putus cinta dan apa-apa yang berkaitan dengan nafsu Adam dan Hawa. Keaslian karya ciptaan sendiri adalah diutamakan.

Terima kasih.

Ong Boon Hwa lawan demokrasi

Ihsan Wikipedia

Kenapa hari ini, kita acapkali (aku segan nak guna perkataan ni sebab aku pertama kali dengar ingat maknanya 'melancap banyak kali') mendengar di corong-corong radio, di tiub-tiub tivi dan di kertas akhbar, bahawa komunisma itu jahat. Manusia yang bernama Ong Boon Hwa atau Chin Peng ialah komunis. Dia ialah jahat. Jahat ialah macam raksaksa dalam cerita ultraman. Jahatnya hendak menghancurkan bumi. "Mesti dilawan habis-habisan!" kata manusia-manusia di Persetubuhan Kebangsatan Melayu Bersatu.

Seboleh-bolehnya, mereka ini cuba untuk menyedarkan rakyat jelata dengan menceritakan kembali sejarah darurat 1948-1960, mencuit nostalgia bekas-bekas tentera dan polis-polis pencen yang berkhidmat dari waktu itu sehingga termeterainya Perjanjian Damai 1989. Menayang semula wagam 'Bukit Kepong' dengan semboyan syahdunya. Tersebut juga sejarah asal-usul bangsa Cina ke Tanah Melayu dan kedatangan Lee Kuan Yew juga dilihat sebagai ancaman. Kata mereka, "DAP ialah PAP, juga KOMUNIS!"

Singkat sungguh... Kesian.

Dalam pada masa yang sama, mereka ini melaungkan 'demokrasi' dan 'pergi jahanam Israel'. Mereka juga melabonkan 'ketuanan Melayu'. Seperti yang sedia maklum, dan kalian semua pembaca yang bijak pandai, bahawa konsep ketuanan Melayu itu tidaklah beza matlamatnya dengan konsep zionisma. Penat jari aku menaip dan aku nak bagitau juga - baca Qur'an betul-betul la...

Jikalau mereka ini pengamal demokrasi, kenapa mereka tidak ajarkan kenapa Parti Komunis Malaya ditubuhkan dan apakah itu komunisma? Kenapa tidak ajarkan kepada rakyat jelata bahawa musuh utama komunisma ialah kapitalisma? Kenapa tidak didedahkan bahawa sistem ekonomi sosialisma dilihat sebagai sistem ekonomi yang lebih adil?

Wop! Bercakap soal demokrasi ye...

Pengamal demokrasi mesti mempunyai sikap yang terbuka dan cintakan ilmu. Sesuatu ilmu itu tidak dikuasai oleh sesetengah pihak sahaja. Mesti disebarkan ke seluruh rakyat jelata. Dan individu rakyat jelata yang sudah di-ilmu-kan, akan membuat pilihan ke arah kesejahteraan ummah. Tidak ada agenda tersembunyi kerana boleh menimbulkan konspirasi dan ini sudah dikira mencemar duli yang maha mulia demokrasi.

Jadi, sebagai demokrat tulen, soal komunisma dan Ong Boon Hwa bukanlah masalah besar. Masalah besarnya ialah, para demokrat yang mentadbir negara tercinta ini ialah terdiri di kalangan peniaga-peniaga atau bahasa carutnya - kapitalis. Mereka ini sudah melabelkan demokrasi sebagai sebuah perniagaan yang sangat menguntungkan. Sudah lebih 50 tahun mereka berjaya menipu rakyat jelata dengan jenama demokrasi. Kita ni pun dok beli lah. Padahal kita tak tahu pun sebenarnya demokrasi tu bukan setakat undi pangkah siapa je.

Mereka takut bahawa sejarah sebenar terbongkar bahawa sebenarnya Persetubuhan Kebangsatan Melayu Bersatu ini ialah francais kepada imperialis British. Mereka ini yang mendesak dan memprovok Parti Komunis Malaya supaya mengangkat senjata kerana tujuan mereka hanya satu - hapuskan komunisma yang menjadi musuh kapitalisma. Mereka menggunakan tentera dan polis. Mereka mainkan api perkauman. Mereka gunakan ISA.

Lebih memalukan lagi, para demokrat kita ini menganut agama suci murni iaitu islam (kata mereka lah suci murni). Prinsip-prinsip sebagai seorang muslimin sangat jauh berbeza dengan apa yang dibawa oleh para demokrat kita yang nama mereka guna bahasa Arab.

Halamak, susah-susah sangat, buang lah sultan-multan ni. Adoi la... Bikin rosak rakyat punya program daa...


Sabtu, 13 Jun 2009

Muzikal, pentas bergerak & murid


Sebuah teater muzikal ampu (Najib) 'Razak' akan dipersembahkan di Istana Budaya, tak tahu bila, mungkin bulan Ogos. Saja malas nak ambil tahu sebab langsung tak berminat. Baru-baru ni aku menonton persembahan tari di ASWARA dan di lobi Panggung Eksperimen terpamer sebahagian dari set muzikal ampu (Najib) 'Razak', iaitu dua buah kerusi dan meja kopi, pasu bunga dan apa benda lagi entah perabot yang ditaruhnya. Mungkin itu pejabat Tun Razak atau ruang tamu rumah Tun Razak. Maaf, aku tak tahu langsung.

Bila aku tak tahu langsung pasal muzikal ampu ni, tak bermakna aku langsung tak mengambil tahu pasal sejarah dan mungkin kau orang boleh tuduh aku langsung tak baca biografi Tun Razak ataupun sewaktu pertandingan melukis darjah enam dulu, aku langsung tak melukis potret Perdana Menteri kedua ni. O, bukan sampai macam tu tahapnya...

Dengarnya, muzikal ampu ni pernah dipentaskan di Panggung Eksperimen ni, dikerjakeraskan oleh ASWARA. Seperti biasa, sebuah projek ampu akan mendapat tempat yang dilabelkan oleh pengampu-pengampu ni sebagai tempat yang lebih mulia lagi bermartabat iaitu Istana Budaya. Wop, jangan ingat aku tak dapat buat kerja di Istana Budaya sebab tu aku kutuk Istana Budaya, ya!

Aku bukan apa, cukup-cukuplah buat projek membazir ni. Banyak keburukannya. Dan yang paling buruk sekali kesannya ialah - yang terlibat dalam projek ampu ni semuanya hebat-hebat belaka dan ada tanggungjawab iaitu anak murid. Di dalam kelas, mereka melarang anak murid mereka jangan buat seperti ini, tapi mereka buat! Ini lebih teruk kesnya dari 'cikgu kencing berdiri, anak murid kencing berlari'. Dan lebih dahsyat lagi apabila mereka yang hebat ni menyokong kepuraan - tu, program 'Anak Wayang Astro' tu!

Apa kata anak murid mereka bila melihat cikgunya taklah sehebat dan segah mana. Cikgu-cikgu mereka ni hanya bernostalgia zaman primadona! "Aku hebat suatu ketika dahulu dan inilah hasil yang aku buat hari ini". Hasilnya dilihat sebagai ... (tak ada perkataan kerana lebih teruk dari tahi)! Kemudian, apabila melihat hasilkerja anak murid, mereka menyalahkan anak murid kerana tidak memahami apa yang diajar. Halo, macam mana nak faham kalau kau orang bagi contoh macam ... (tak ada perkataan kerana lebih teruk dari tahi)!

Teruk kan jadi cikgu... Hehehehe. Tapi lebih teruk untuk berlaku jujur dan ikhlas.

Bila difikirkan balik, ada bagusnya juga bila wujud istilah dan label 'teater ampu' atau 'teater islam' (ni satu lagi kes - kakakakaka - islam konon, cait! Teater islam mesti pakai tudung Waheeda - hahahahaha - untung makcik-makcik yang jual tudung ni kat Masjid India). Sebagai murid yang bijak dan bersungguh dalam belajar, murid-murid ini akan melihat keburukan dan mereka akan belajar dari situ. "O, jangan buat begini - tak bagus." Paling tidak pun murid ini akan fikirkan "bagaimana untuk tidak menggunapakai pentas wagon di Istana Budaya".

Cis, sebenarnya aku nak tulis pasal teater 'Dumb Waiter' hasil tulisan Harold Pinter <klik> yang dipentaskan di Kotak Hitam, ASWARA, 7 Jun itu hari. Sebuah projek penilaian akhir. Aku datang dengan harapan yang menggunung tinggi bahawa ianya sebuah teater yang, yang 'wow'! Tapi aku juga dah bersedia untuk kecewa dan selepas menonton, aku terus kecewa. Tak mahu menilai lebih-lebih, tapi aku syorkan kepada penyelia murid-murid ni supaya memikirkan sama keselesaan penonton. Aku tahulah teater murid-murid ni bukan muzikal ampu yang tak ada permaidani merah dan bunga manggar, tapi jangan lah lepas tangan habis-habisan.

Aku taklah menganggap mereka tu semua sibuk dengan muzikal ampu sehingga lupa mereka ada anak murid, tidak.... Aku cuma mengingatkan bahawa muzikal ampu itu memanglah lumayan tapi merosakkan pemikiran dan menjadikan pentas Istana Budaya tu seperti pasar malam, adalah dosa besar. Kakakakakaka

Kepada penulis skrip muzikal ampu ni, aku cadangkan di penamatnya, akan muncul sebuah kapal selam dari bawah pentas dan jalur gemilang dikibarkan dengan meriahnya.

Apa dia? Hah! Aku salah cerita? Bukan cerita Tun Razak Hussein? Habis tu cerita siapa? Hah? Razak Baginda? Alamak...



Hahahahahahahahaha



Khamis, 11 Jun 2009

Salut terakhir


Al fatihah kepada Mansor Ghazali.

<klik>


SembangSumbang

‘SETALI’

lakonlayar filem pendek

Mohammad Hariry



FADE IN



DALAM. STUDIO JAMMING. MALAM


Lagu ‘thrash metal’ dimainkan dengan padunya oleh Kamrol, 28, pemain bass. Dia ialah watak utama dalam cerita ini. Dia bermain bass dengan fasihnya. Dua orang lagi ahli kumpulan Kamrol ialah Din, pemain dram, dan Alim, pemain gitar.


CUT TO:


LUAR. RESTORAN MAMAK. MALAM


Kamrol, Din dan Alim sedang minum-minum sambil menonton perlawanan bolasepak di tivi.


CUT TO:


DALAM. SEVEN ELEVEN. MALAM


Kamrol dan Din masuk, terus ke kaunter. Din memesan rokok pada Juruwang (awek), manakala Kamrol membelek duitnya yang cuma ada sekeping not RM10. Kemudian, Kamrol memandang Din.


KAMROL:

Din, kau ada sepuluh ringgit?

Gantung dulu.


DIN:

Ye lah!


Kamrol ke belakang, ke peti sejuk. Din masih di kaunter memerhati Kamrol.


KAMROL:

Kau nak tak?


DIN:

Aku nak Drumstick!


Kamrol sampai di kaunter bersama dua tin bier dan satu aiskrim Drumstick. Juruwang perhatikan mereka berdua.


KAMROL:

(kepada Juruwang)

Kami belia benci dadah!


Juruwang terpinga-pinga.


CUT TO:


DALAM. APARTMENT BUJANG. MALAM


Kamrol masuk ke rumah. Tiba-tiba dia diserang oleh Fared. Mereka bergumpal seketika. Seorang lagi kawan serumah mereka – Hairul, keluar dari bilik, cuba leraikan. Hairul menarik Fared. Kamrol hendak menumbuk Fared tapi segera dihalang Hairul.


HAIRUL:

Woi, pukimak! Sudah. Karang

dua-dua aku hentak!


FARED:

(kepada Kamrol)

Woi, mak kau dah mati! Tadi!


Suasana diam dan tegang. Kamrol terus-menerus pandang Fared. Hairul macam tak tahu nak buat apa. Kelihatan seorang gadis sedang berdiri di pintu bilik Hairul, berkelubung selimut.

Kamrol terduduk. Tak tahu apa perasaannya.


DISSOLVE TO:


DALAM. RUMAH KAMPUNG. SIANG


Pak Him sedang menggesek rebab lagu tarik nasib. Tiba-tiba pintu rumah dibuka dengan kuat. Pak Him terhenti menggesek. Di pintu, Kamrol tercungap-tercungap memandang Pak Him.


CUT TO:


LUAR. PERKUBURAN. SIANG


Kamrol kehairanan memandang kawasan perkuburan. Dilihatnya seorang gadis di hadapan sebuah kubur baru, iaitu kubur mak Kamrol. Kamrol terus menghampiri gadis tersebut.


KAMROL:

Ini kubur mak saya ke?


Gadis tadi terkejut terus memandang kepada Kamrol. Gadis bingkas bangun dan beredar. Kamrol memerhatikan gadis itu pergi.


KAMROL:

Hey!


Gadis itu terus pergi. Kamrol membiarkan gadis itu pergi. Kemudiannya memandang kubur itu dan duduk. Lama dia diam, kemudian dia menangis sepuasnya.


CUT TO:


DALAM. RUMAH KAMPUNG. MALAM


Di atas katil Kamrol terdapat bungkusan kain batik. Kamrol membuka bungkusan itu dan didapati ianya sebuah rebab. Tiba-tiba Pak Him muncul di pintu bilik.


PAK HIM:

Itu wasiat mak kamu. Pesannya,

kalau kamu tak nak mainkannya,

kamu simpan pun tak mengapa.


KAMROL:

Dah puas hati kau? Hah?

Bapak aku kau bunuh, sekarang

mak aku pun kau bunuh! Puas hati?



Pak Him gamam. Kamrol terus keluar bilik dan terus keluar dari rumah. Tinggal Pak Him yang masih gamam.


DISSOLVE TO:


LUAR. PANTAI. SIANG


Kamrol tidur di sebuah pondok tinggal. Kamrol terjaga kerana terdengar sayup-sayup dengungan lagu mak yong yang berselang-seli dengan bunyi ombak. Dengan perlahan Kamrol bangun dan mencari arah dengungan itu. Di kejauhan, Kamrol terlihat seorang gadis sedang menari mak yong di bawah pokok, di tepi pantai.


Kamrol menghampiri gadis. Apabila menyedari Kamrol datang, gadis berhenti mendengung.


KAMROL:

Kau yang kat kubur mak aku

semalam kan?


Gadis diam.


KAMROL:

Hey, aku tak percaya dalam

zaman sekarang ni ada lagi anak

dara pemalu macam kau ni!


GADIS:

Saya tak bercakap dengan

orang yang tak bagi salam.


Gadis bangun dan beredar.


KAMROL:

Alamak... Okei, hey,

Salamengkum!


Gadis terus berlalu meninggalkan Kamrol.


CUT TO:


DALAM. BILIK AIR. SIANG


Kamrol menceduk air perigi dan siramkan ke tubuhnya. Dia kesejukan.


CUT TO:


DALAM. RUMAH KAMPUNG. SIANG


Di dapur, Kamrol menyelak tudung saji, dan didapati ada seteko kopi dan dua bungkus nasi. Kamrol, mengambil cawan dan pinggan.


CUT TO:


DALAM. RUMAH KAMPUNG. SIANG


Di ruang tamu, Kamrol memerhatikan foto-foto maknya sebagai primadona makyong.


CUT TO:


DALAM. RUMAH KAMPUNG. SIANG


Dalam bilik, Kamrol membuka semula bungkusan rebab wasiat maknya. Kamrol membelek-belek rebab itu. Kamrol ambil penggesek, dan cuba menggesek rebab itu. Bunyinya sangat sumbang.


Tiba-tiba Pak Him muncul di pintu. Kamrol berhenti menggesek. Kamrol terus jadi emosi. Kemudiannya Pak Him beredar.


CUT TO:


LUAR. PANTAI. SIANG


Di pondok tinggal, Kamrol cuba menggesek rebabnya. Dengan harapan, dia dapat bertemu dengan gadis. Sedang dia menggesek rebabnya, Kamrol terlihat gadis di bawah pokok semalam. Kamrol terus bangun dan menghampiri gadis.


KAMROL:

Assalammualaikum.


GADIS:

Alaikumsalam...


Kamrol duduk di sebelah gadis. Diam, tak berbicara sepatah pun. Cuma bunyi ombak memecah sunyi.


CUT TO:


LUAR. RUMAH KAMPUNG / SERAMBI. MALAM


Pak Him sedang termenung sambil menghisap rokok daun. Tiba-tiba muncul Kamrol bersama dua buah rebab. Pak Him kehairanan memandang Kamrol.


KAMROL:

Aku tahu, aku banyak buat salah

kat pakcik. Aku tuduh pakcik

bunuh bapak aku sebab nak kahwin

dengan mak aku. Tapi aku tahu,

pakcik orang baik.


PAK HIM:

Walaupun kamu anak tiri aku,

tapi aku tak pernah pun anggap

kamu ni anak tiri.


KAMROL:

Aku tahu. Aku nak mintak maaf.


Kamrol hulur rebab kepada Pak Him. Pak Him seperti tidak menyangka, mengambil rebab itu. Kamrol duduk berhadapan dengan Pak Him, seperti murid bertemu guru.


KAMROL:

Mengadap rebab.


Pak Him mengangguk. Pak Him mula menggesek. Diikuti Kamrol. Pak Him menegur gesekan Kamrol yang salah. Pak Him mengajar Kamrol. Kamrol akur. Kamrol cuba juga sedaya upaya.


DISSOLVE TO:


LUAR. PANTAI. SIANG


Gadis menari ‘mengadap rebab’ sementara Kamrol menggesek rebab dengan penuh yakin.


CUT TO:


LUAR. BANGSAL. MALAM


Pak Him dan ahli kumpulannya sedang bersedia untuk berlatih makyong. Kamrol duduk di tepi, memerhati.


Para penari-penari bersedia untuk menari. Lagu buka panggung dimainkan kemudian terus masuk lagu mengadap rebab. Kamrol kebosanan kerana dilihatnya barisan penari-penari itu tak seorang pun anak dara.


Sedang asyik memerhati penari-penari, tiba-tiba Kamrol terlihat kelibat gadis yeng lengkap berkostum sedang menari di celah-celah penari lain yang cuma berpakaian biasa. Kamrol terus jadi teruja, dicapai rebabnya, lalu bermain di sebelah Pak Him, mengambil alih Pak Him. Pak Him terpaksa berhenti bermain tetapi Pak Him arahkan penari dan pemuzik lain teruskan.


Kamrol bermain dengan asyik sekali sehingga dia merasakan bahawa cuma dia dan gadis saja di situ. Suasana ini sangat berseri.


Pak Him dan kumpulannya mula memainkan lagu ‘main peteri’. Bertih ditaburkan.

Kamrol masih lagi dengan dunianya bersama gadis. Asyik sekali.


Tok Peteri sedang menjampi Kamrol yang mengamuk dan meronta. Kamrol dipegang oleh beberapa orang.


Gadis yang menari dengan asyiknya tadi mula mengeluarkan keris.


Kamrol masih meronta dan Tok Peteri masih menjampi. Lagu main peteri semakin rancak.


Gadis tadi menari menghampiri Pak Him. Lalu menikam Pak Him. Ketika ini juga, Kamrol terlepas dari pegangan lalu mencapai rebab, menghentak kepala Pak Him sekuatnya. Pak Him rebah, kepala berdarah. Lagu yang tadi rancak, tiba-tiba terhenti. Semua orang tak tahu nak buat apa.

Sunyi. Kamrol tersedar. Dilihatnya Pak Him rebah dihadapannya.


FADE OUT


~PILIHAN TAMAT LAIN~:


LUAR. RUMAH KAMPUNG / SERAMBI. SIANG


Pak Him duduk termenung. Kepalanya berbalut. Dia memandang rebabnya yang patah.


CUT TO:


DALAM. PEJABAT. SIANG


Teoh, pegawai sumber manusia sedang menemuduga Kamrol yang meminta kerja sebagai pemuzik.


TEOH:

Lu gila ka? Mana ada olang

mau dengar ini er hu.


KAMROL:

Halo, mister Teoh. Er hu itu

Cina punya. Ini rebab.


TEOH:

Tak kila la apa lancau lebab

ka er hu. Lu ingat gua punya

tempat apa? Tourism centre ka

ada culture show? Ini super

six star shopping mall. Sini

punya food court talak loti

canai sama teh talik. Olang

mali sini mau makan itu French

food. Olang mesti mau dengar

jazz. Lu mau kasi itu olang

suma dengar ini traditional

ka? Aiyak. Baik makan sana

CM ka, Matic ka...


Kamrol diam. Tak menjawab sedikit pun. Tapi dia terkawal dan tenang.


CUT TO:


DALAM. SHOPPING MALL / FOOD COURT. SIANG


Kamrol berjalan melintasi pentas yang terletak di tengah-tengah food court. Kamrol terhenti dan memandang kelilingnya. Dilihatnya orang tak ramai di meja makan. Semuanya dari golongan elit.

Kamrol memanjat pentas, lalu dibukanya bungkusan rebabnya, Kamrol terus menggesek. Semua orang bertumpu kepada Kamrol.


Teoh tiba-tiba muncul. Dilihatnya orang sukakan persembahan Kamrol, Teoh pun tersenyum. Dia menunjukkan tanda bagus kepada semua orang.


Sedang Kamrol asyik bermain rebab, tiba-tiba dia terlihat kelibat gadis di celah-celah orang ramai itu. Tapi kali ni gadis itu tidak menari makyong, gadis itu cuma seorang palayan di food court. Kamrol senyum pada gadis, dan gadis membalas.


FADE OUT